08 November 2013

Cerpen : Masa Rehat



Loceng sekolah masih belum berbunyi. Sama ada masa rehat belum mula, atau loceng itu sendiri sudah rosak. Masing-masing dalam kelas menunggu resah. Bila agaknya loceng akan berdering. Perut sudah berirama menahan lapar. Apa yang disampaikan oleh guru dihadapan kelas sudah menjadi hambar. Langsung tidak diterima walaupun sebutir patah bicara. Cuma yang ditunggu sebaris ayat, “terima kasih kelas”. 

Jarum jam sudah lebih daripada sepatutnya masa rehat. Buku-buku diatas meja sudah mula dikatup rapi, memberi signal kepada guru bahawasanya masa sudah tamat. Ada yang sudah mengetuk-ngetuk meja tanda protes dengan kelewatan guru membenarkan mereka keluar rehat. Namun, guru terus pengajarannya. Tanpa sedikit pun endah dengan apa yang dilakukan pelajarnya. “baiklah, saya mahu semua siapkan latihan yang saya berikan tadi sekarang juga, kalau tak siap, awak semua tak boleh keluar rehat”. Arahan jelas. Kedengaran pelajar mengeluh geram. Protes lagi. Guru terus dengan arahannya, tanpa sebarang tolak ansur. Dia nekad. 

“siapa yang sudah siap, awak boleh hantar, dan awak boleh keluar ke kantin”. Juga jelas arahan guru. Beberapa pelajar bangun, membawa buku latihannya dan diletakkan dihadapan guru itu. Jumlahnya 9 orang. Maknanya berbaki 24 orang lagi belum siap. Guru terus memandang ke arah pelajarnya. Masing-masing tekun menatap buku latihan sambil tangan menari laju menyiapkan latihan yang diberikan. Pandangan mata bersepah melihat buku latihan kawan. Mencari jawapan. Ketika ini, apa yang diharapkan adalah menyiapkan latihan secepat mungkin, sementara masa rehat masih berbaki. Lambaian nasi lemak mula memanggil ghairah. Masing-masing tidak mahu ketinggalan menikmati setiap suapan nasi lemak yang rasanya cukup lemak, ditambah dengan kepedasan sambal ikan bilis mampu membuatkan liur kecur tanpa diundang, sambil dihias dengan hirisan timun dan butiran kacang yang rangup menambah rasa pada hidangan. Namun begitu latihan mesti disiapkan. Masing-masing mula majukan kelajuan, demi menyiapkan kerja yang diberikan.

Seorang demi seorang mula menamatkan tulisan. Saat mencoretkan aksara terakhir jawapan, satu kelegaan timbul memuncak tanda kejayaan. Tanpa sebarang semak semula, keyakinan menjadi satu keberanian. Buku ditutup seraya menuju ke hadapan guru. Menghempas buku tanda protes untuk kali ketiga. Tangan guru dicapai, dihalakan ke muka lantas dicium, “terima kasih cikgu”. Usai tangan dilepaskan masing-masing meluru laju ke pintu keluar, untuk membalas lambaian nasi lemak yang kegersangan. 

Tinggal tiga orang lagi masih belum menamatkan perlumbaan demi menyiapkan latihan. Namun tiada sebarang riak resah menanti masa rehat sudah. Tangan terus menyalin jawapan rakan, bukan dengan usaha sendiri mencari jawapan. Guru membiarkan, tanda dia memberi kelonggaran. Walaupun segarang mana guru dilihat oleh anak muridnya, masih terselit sekelumit rasa kasih dan sayang, meskipun tidak dizahirkan. 

Masa rehat sudah berlangsung 10 minit. Maknanya tinggal lagi 15 minit. Tiga pelajar ini masih ralit menyalin. Membiarkan guru sendirian memandang timbunan buku dihadapannya. Sekali sekala jam tangan dipandang, serentak berdehem beberapa kali. Memberi petanda kepada anak muridnya agar cepat menyiapkan latihan. Namun tiga pelajar ini masih begitu. Jari jemari dibiarkan terus menari mencoretkan jawapan. Tanpa sebarang riak kesan provokasi yang dilontarkan guru. Mereka membalas dengan ketenangan. 

Guru semakin resah. Masa rehat berbaki 10 minit. Dia mula memikirkan sama ada anak muridnya sudah makan atau belum, ataupun mereka sengaja melambatkan masa untuk mengelakkan diri ke kantin kerana tiada wang sebagai belanja harian. Macam-macam difikirkan guru. Semuanya menjurus kearah negatif. Buruk sangka mula menguasai jemala kepala. Dia bingkas berdiri, melangkah menghampiri ketiga-tiga anak muridnya. Dia terus melihat kearah buku latihan anak muridnya. Masih belum disiapkan. Tinggal beberapa bahagian yang kosong. Dia jadi resah. 

Akhirnya dia bersuara, “sudah, awak semua siapkan dirumah”. Ketiga-tiga anak muridnya mengalih pandangan kearah gurunya. Mempamerkan wajah polos. Tanpa sebarang perasaan. “baik cikgu” balas ketiga-tiga anak muridnya. Mereka berdiri, dan berlalu pergi. Tanpa sempat menghulurkan tangan bersalaman dengan gurunya seperti kebiasaan. Dia menjadi pelik. 

Dia tinggalkan kepelikan dan kebingunan itu. Lantas dia menyusun buku-buku latihan diatas meja dihadapannya, dan mahu bergegas ke bilik guru, kerana selepas ini dia ada sesi pengajaran di kelas lain pula. Buku-buku itu didakap rapi dalam dadanya. Dia melangkah keluar daripada kelas 2RK1, dan melalui ruang koridor bangunan tingkatan dua. Dia berselisih dengan dua pelajarnya yang keluar awal kelasnya tadi. “ lambatnya cikgu keluar kelas kami, cikgu buat apa?” tanya Azar dan Izham. “kawan kamu la lambat, Faris, Ezwan dan Fathullah”. Balas guru itu bengang. Azar dan izham saling berpandangan. Riak wajahnya berubah pelik. Lantas dia berkata, “cikgu, Faris, Ezwan dan Fathullah tak datang la hari ni, demam”. Guru itu terdiam. Memandang tepat wajah Azar dan Izham. “kamu biar betul Azar” tanya guru itu untuk kepastian. “betullah cikgu, cikgu tak nampak ke dalam buku rekod pergerakan pelajar, Faris, Ezwan dan Fathullah tak hadir”. Baru guru itu teringat, dia tidak memeriksa buku rekod pergerakan pelajar yang merekodkan setiap pergerakan dan kehadiran pelajar. Dia menjadi pelik. Kalau Faris, Ezwan dan Fathullah tak hadir, habis siapa ketiga-tiga pelajar yang ditunggunya sebentar tadi? Bulu romanya mula berdiri. Persoalan itu berlegar bergegas mencari jawapan. Tidak juga dia temui jawapan. Akhirnya dia memilih untuk berlalu pergi, meninggalkan Azar dan Izham sendiri. Biarlah hanya dia mengerti, apa yang terjadi untuk hari ini. Persoalan itu, kekal mati tanpa jawapan yang pasti. Disatu sudut hujung koridor, tiga susuk tidak berwajah tajam memerhati...

*cerita ini rekaan semata-mata tanpa ada kena mengena dengan yang hidup ataupun yang mati... 


03 November 2013

Cerpen : Kisah 73 hari..




Hari ini hari ke-73 hari aku sebagai kekasih dia, dan hari ini juga hari terakhir aku kenal dia sebagai kekasih. Tamat sudah riwayat kasih kami, yang bercambah mekar disulami kuntuman sayang yang mewangi menghiasi perjalanan hubungan kami. Terlalu indah perjalanan kami, penuh dengan senyuman dan tawa, Cuma sesekali terselit cemburu tanda sayang yang setia. Teringat lagi saat mulanya hubungan kami. Dia menyapaku ringkas, lantas aku membalas pantas. Perbualan menerusi aksara akhirnya membuah kepada lantunan suara menembusi ruang jauh hingga ke telinga. Ya, dia jauh. Jauh daripada pandangan mata, namun kehadirannya sangat dekat dalam hati. Subur mewangi sentiasa menyinari setiap hari yang aku lalui. 

Masih aku ingat, saat dia gundah aku ceritakan kisah lucu, supaya dia tersenyum melupakan saat gundah yang dialaminya. Pabila aku berdepan dugaan, dialah tempat aku meluah cerita dan sengsara. Dia cekal mendengar setiap butir bicara aku. Rajin memasang telinga saat aku bercerita. Setia dicorong telefon menanti buah bicara aku satu persatu. Akhirnya kami terlena dalam buaian suara saling bercerita. Indahnya saat dan ketika itu aku rasa. 

Tidak terhenti disitu ceritera cinta kami. Janji setia sentiasa menggauli butir bicara, ataupun kiriman aksara ringkas buat dia. Dia membalas dengan penuh cermat, diisi balasan setia yang dipateri bersama. Setiap hari kami begini. Tiada jemu atau benci. Tiada perasaan yang mampu merosakkan kasih dan cinta kami. Terlalu indah yang aku lalui. Sehinggakan pernah aku kirimkan nota buatnya, tiada lelaki lain didunia selepas diriku ini, akan menyayangi dirinya seperti mana aku sayangi dirinya setulus hati. Dia membalas dengan senyuman bahagia. Aku turut bahagia, terus menganyam cinta untuk hari-hari seterusnya. 

Dalam bercinta, rupa-rupanya tidak selalu cerah. Mendung sentiasa ada menanti dihari mendatang tanpa aku sedari. Gelora dalam hubungan ini mula menitiskan goyahnya. Semakin hari dia mula berubah. Sedikit demi sedikit cinta kami goyah. Dia tidak seperti dia yang aku kenal dulu. Cara menyapa dalam bentuk aksara juga berbeda. Aku perasan, namun aku diamkan. Aku cuba cari dimana agaknya silap dan salah aku padanya. Akhirnya aku bungkam sendiri. Buntu mencari jawapan yang aku sendiri tak tahu dimana perlu aku cari. Lantas aku bertindak bertanyakan sendiri padanya. Mengapa dia menjadi begini. Jawapan lahir daripada mulutnya, tiada apa yang berbeda, sama sahaja. Bertambah buntu jiwa dan raga. Aku diamkan. Mengalah demi dia yang aku sayang dan cinta. Ya, dalam hubungan, mengalah bukan bermakna mengaku kalah, cuma langkah untuk memberi peluang kepada hubungan yang lebih baik. Aku memilih jalan mengalah. Aku teruskan hubungan ini dengan perasaan yang aku pendam. Pendam menjadi satu beban yang membunuh kebahagian hari-hariku. 

Dia tetap juga begitu. Tidak mengubah apa sepatutnya diubah. Terus menerus membuat aku terseksa dengan tindakan yang sebenarnya cuba mencabar aku sebagai lelaki. Aku tetap sabar dengan tindakannya, kerana aku terlalu sayangkannya. Tiada lain kuharapkan dalam percintaan ini selain untuk bersama dia selamanya. Aku terus mengharap agar harapanku ini terus membara. Namun harapan tinggal harapan. Dia makin jauh meninggal aku dalam kesepian. Aku jadi sunyi. Masa untuk diri ini sudah ditinggal pergi. Dia asyik bersama entah siapa aku tidak pasti. Bila kutanyakan siapa, jawabnya sahabat jauh bercuti. Setiap hari bersama menggauli teman tanpa rasa bersalah pada diriku ini. Aku terus menanti dia membalas masa untuk bersama aku. 

Tupai tidak selamanya melompat atas pokok, sampai masa jatuh ke tanah juga. Satu demi satu penipuan aku bongkarkan. Dia membalas dengan penafian. Terlalu banyak ketidakjujuran dalam perhubungan kami ini. Aku terus terseksa begini. Hilang selera untuk menjamah hidangan. Perut berkeroncong lapar, namun perasaan membunuh niat untuk perut diisi. Aku terlalu penat begini. Aku diseksa tanpa jawapan yang pasti. Teka teki menyelubungi hubungan kami. Dia, terus menerus begitu tanpa sekelumit pun riak bersalah. Bahkan menyalahkan aku yang berubah, kononnya terlalu serius dalam perhubungan. Kalau dah nama cinta, serius itu aku jadikan panji untuk aku kibarkan bukti kesetiaan aku padanya. Dia memandang remeh, malah tidak menerima keseriusan aku dalam hubungan kami. 

Aku nekad, biarlah aku tamatkan ceritera ini. Sudah terlalu sakit aku untuk hadapi. Aku juga punyai perasaan dan hati untuk dijaga dan dikasihi. Namun sering sahaja aku disisih begini, membunuh cinta aku perlahan-lahan hingga mati. Cinta yang aku semaikan semakin layu. Baja dan air sudah lama aku tinggalkan. Aku teruskan bercinta dengan dia. Namun dengan pura-pura, tetapi dijauh sudut hati, aku terlalu cinta akan dia. Kasih aku hanya untuk dia. 

Sampai suatu ketika. sabar aku semakin goyah. Akhirnya aku bertindak, menuntut penjelasan tentang hubungan kami. Aku mahukan jawapan, supaya aku dapat hidup tenang. Aku sudah tidak tahan menanggung seksa begini. Digantung tidak bertali. Aku terus mahukan jawapan. Nekad dalam hati. Akhirnya dia menyerah diri, mahukan perpisahan sebagai pengakhiran hubungan kami. Saat membaca aksara dikirim, beban dipundak ini terlepas jatuh. Membiarkan badan aku terbang ke awangan. Bebas menikmati udara ketenangan. Aku merasakan terlalu lega akibat perpisahan. Bukan kesakitan atau kesesakan. Mungkin kerana aku sudah terlalu lama hati aku disakiti, inilah ganjaran kesabaran aku selama ini. Aku redha atas keputusan ini. Dia mahu aku tinggalkan dia pergi. Memilih haluan sendiri. Aku terima. Ya aku terima.



Namun, dalam hati ini perasaan kasih sayang aku padanya tak akan mati. Kenangan yang dia curahkan kepadaku akan aku kanvaskan dalam lukisan kenangan. Supaya hari-hari aku seterusnya tiada lagi insan seperti dia menaungi hati nurani aku ini. Biarlah aku sendiri, bertemankan sepi, tetapi Tuhan kurniakan aku sahabat, dan orang sekeliling aku yang lebih menghargai dan menyanyai aku tidak seperti mana dia hargai dan sayangi aku. Biarlah kisah ini jadi teladan buat diri ini. Ku abadikan dalam coretan, tidak akan aku layarkan dalam kisah bualan. Biar menjadi ceritera terindah, dan tersakit pernah aku alami. Kisah cintaku 73 hari..

*cerita ini tiada kaitan dengan yang hidup ataupun sudah pergi. Cerita semata-mata.