06 December 2010

keluarga cina

Post pertama dari rumah..Tertarik untuk aku bercerita tentang sesuatu yang indah. Keluarga cina. Apa signifikannya keluarga cina ini??
Cerita bermula berdasarkan pengalaman aku masa aku pulang ke negeri kesayangan aku, Negeri Sembilan. Sampai di Seremban aku terus naik bas nak balik ke Jempol. Dalam bas tu, aku duduk dekat bahagian belakang sekali, jadi pemandangannya memang luas, aku nampak setiap pergerakan yang berlaku dalam bas tu. Nak dijadikan cerita, penumpang yang duduk dihadapan aku ialah satu famili berbangsa cina, yang terdiri daripada seorang ibu, yang sedang memangku bayinya, sambil disisinya seorang anak gadis dalam lingkungan umur 13 tahun, dan diiringi dua pahlawan cilik yang comel, dan aku kira berumur 4 atau 5 tahun. Semuanya seramai lima orang, cuma tidak kelihatan ialah bapa mereka. Aku kira tidak perlu aku jelaskan kenapa (sebab aku tak tahu). Sepanjang perjalanan dari Seremban hinggalah ke Bahau, aku lihat keluarga ini tidak banyak masalah, pahlawan-pahlawan ciliknya langsung tidak selincah bermaharajalela dalam bas. Bayi yang sekecil bantal busuk, langsung tak merengek membingit telinga, anak gadis langsung duduk ayu mengalahkan Gadis Melayu. Semuanya seakan sempurna.
Bagaimana aku melihat si ibu yang ralit mengendong bayinya, sambil memerhatikan pahlawan cilik berdua, tak terkecuali mengintai anak perawannya, tekun menjalankan tanggungjawabnya tanpa suami disisi. Mungkin ada kisah disebaliknya yang tidak aku ketahui, yang menyelimuti kamus hidup wanita cina ini. Hakikat yang nyata, dia merupakan wanita yang gigih dan kuat. Walaupun aku tak pernah kenal siapa dia, tak pernah jumpa dan lihat dia, dan tak juga aku ketahui asal usulnya, tetapi aku yakin dan percaya, dia adalah wanita yang perkasa. Perkasa dari segi menjaga anak-anak seramai empat orang, yang masih lagi kecil belaka, yang masih memerlukan kasih sayang seorang bapa yang secukupnya. Namun dia dan anak-anaknya masih lagi tersenyum melihat dunia. Tabahnya mereka.
Setibanya aku di Bahau, sambil menunggu gerangan yang akan menjemputku, terlihat aku lagi keluarga cina ini. Mereka sedang menunggu gerangan yang bakal menjemput mereka, seperti aku. Datang sebuah kereta, yang dipandu lelaki tua, sambil ditemani seorang wanita tua, yang selayaknya aku gelar sebagai nenek dan atuk. Keluarga tadi segera menerpa kearah kereta tersebut terus menyalami kedua-dua orang tua tersebut, dan segera meninggalkan kawasan Stesen Bas Bahau.
Itulah keluarga. Keluarga yang gigih membelah dugaan, keluarga yang kuat menampar halangan, dan keluarga yang perkasa menerajang ujian. Hingga akhirnya mencium kebahagiaan. Indah kan hidup. Dilatari pelbagai ujian, dihujani pelbagai halangan, disinari bermacam-macam dugaan, dan akhirnya, diberi ganjaran kemanisan kebahagian.
Inilah kisah ku tentang keluarga cina, belum ku temui tentang famili melayu..salam permisi..

3 comments:

Anonymous said...

nostalgia famili cina....

Anonymous said...

"menerajang ujian..."
hehehe....
jika ku tdengar/tlihat ayat ini pasti aku mengingatimu cikgu azam...
walau bunyinye agak kasar tp cute hehehe...

hakir said...

hahahaha cute ke??
simbolik pengharapan..he3