Mahu tulis santai, di luar hujan lebat, dinginnya memanggil aku berselimut tebal, dirangkul lena melayar mimpi sejahtera, yang nikmatnya tiada kira.
Mahu tulis tentang kuasa. Entiti yang memiliki kuasa, tetapi aneh dalam tindakan dan perilakunya. Hari ini terlalu banyak isu di Malaysia. Bermacam-macam isu membuatkan kita rasa cakna. Padahal kita cuma lumba tanya, buat-buat tahu dan berlalu begitu. Satu perkara yang aku rasa tertarik untuk dikongsi. Walaupun mungkin sudah berlegar dalam benak kalian yang bervisi, namun aku masih rasa mahu tulis isi ini.
Apabila ada sebahagian daripada rakyat kita anjurkan konsert, secara tersembunyi ataupun halal disisi sang penguasa, kalau untung lulus berjaya laksana, kalau rugi belum sempat lompat terkinja sudah dicantas dan diharam daripada dilaksana. Apabila konsert-konsert ini yang pada asalnya diberi kelulusan atas nama hiburan semata-mata, dan bila disebar secara melata oleh media masa, terus sahaja sang penguasa tunjuk taring yang berbisa. Konsert dibatalkan atas arahan pihak berkuasa, tajuk akhbar esoknya.
Menjadi pelik, dah tahu konsert seperti itu mendatangkan kesan yang ada negatifnya, kenapa sedari awal diluluskan tanpa sebarang masalah? dan bila rakyat bersuara baru sang penguasa bertindak? sepatutnya sebagai sang penguasa yang prihatin dengan kemaslahatan rakyat, jiwa rakyat, dan juga pembentukkan modal insan negara, sang penguasa perlu cakna dengan isu ini. Bahkan sepatutnya diharamkan sejak sang penganjur menghantar permohonan penganjuran. Bukankah ini menampakkan seperti menjilat ludah sendiri? (mungkin tepat maknanya, hanya itu yang muncul dibenak saya)
Untung Malaysia punyai sang jelata yang cakna. Isu timbul, terus dikongsi mencari publisiti, disebar supaya sang penguasa jangan berdiam diri, cari solusi selesaikan masalah dan bekerja seperti mana dikehendaki.
Wahai sang penguasa, ingatlah, jangan ambil mudah isu sang jelata, kami mengharap dikau memimpin kami memakmurkan negara. Letakkan akal pada tempat sewajarnya. Supaya kami memandang hormat atas tindakan yang kau bijaksana.
Moga kita dijauhkan daripada anasir kebinatangan, yang membogelkan maruah kita sebagai manusia, dan menginjak akal kita supaya setanding binatang yang akal tiada..
Selamat beramal ~
No comments:
Post a Comment