Showing posts with label kucing mati. Show all posts
Showing posts with label kucing mati. Show all posts

02 January 2013

kucing putih aku

Tak tahu kenapa, aku memang minat pada kucing. Jiwa dan perasaan pada kucing sangat dalam. Tapi, ada juga mereka yang tak suka pada kucing, mungkin istilah lebih tepat geli pada kucing. Pelik kan, setiap manusia berbeza cita rasa. 



Cinta aku pada kucing bermula seawal sekolah rendah. Aku diberi peluang untuk bela seekor anak kucing, yang berwarna putih seluruh badannya, dan hitam pada ekornya yang panjang. Dia sangat comel, kami beri nama "ninit" pada dia. Aku sayang sangat pada dia, aku bela dia, main dengan dia, tidur dengan dia, dan bila aku kena marah, aku akan luah pada dia, aku cakap pada dia. Tak pasti sama ada dia faham atau tak. Sebab wajah dia sama pada setiap emosi yang aku luah pada dia. Kucing kan. 



Ya, aku sangat sayang dia. Aku sempat tangkap gambar dia. Tapi sayang, aku tak tahu mana gambar tu sekarang. Hilang. Tapi aku tetap ingat muka dan warna dia. Biasalah, hukum dunia kan, yang bernyawa pasti akan menemui ajalnya. Akhirnya setelah beberapa tahun aku bela dia, Tuhan menjemput dia, dengan cara mengambil nyawanya. Dia pergi tanpa aku disisi. Aku juga tak sempat tatap wajah dan badannya buat kali terakhir. Waktu tu, abah yang jumpa jasadnya yang sudah tak bernyawa. Abah kata, mulut dia berbuih waktu abah jumpa dia, dan abah terus tanam jasad ninit. Aku tau, abah tak nak tunggu aku sebab abah tak nak aku jadi makin sedih..

lebih kurang macam ni la ninit, cuma ekor dan telinganya warna hitam pekat


Aku tahu ninit dah tak ada, lepas aku balik dari belajar mengaji. Mak yang bagi tahu ninit dah tak ada. Aku tak nangis. Tapi aku sedih. Tak tahu nak luah macam mana. Akhirnya aku diam, aku terus pergi tempat abah tanam jasad ninit. Aku terpaku depan pusaranya. Tak ada kata yang mampu diluah. Aku diam, sambil tangan aku meratakan tanah pusaranya. 



Aku pergi petik bunga kertas. Aku tabur setiap kelopak bunga kertas tu tepat atas pusara ninit. Aku nak hias pusara dia menjadi cantik, secantik kenangan aku dengan dia. Biarpun bunga kertas tak berbau harum, aku mahu kenangan kami seharum kasturi yang sentiasa menghiasi kamar kenangan aku. 

Usai itu, aku balik, masuk dalam rumah. Cuba untuk berlagak seperti biasa. Aku tak nak nampak sedih. Aku tak nak menangis. Malam tu, aku selongkar laci almari, cuba cari gambar ninit. Aku jumpa gambar dia, mengayakan badannya dibawah kerusi. Ya, aku ingat, itulah gaya dia dalam satu-satunya gambar yang sempat aku tangkap. Aku tatap gambar dia. Tiba-tiba perasaan kehilangan dan kesedihan menyelinap dalam kalbu, menggerak mata mengalirkan mutiara yang bertitisan. Memaksa aku menangis dalam tidak aku sedar. 



Aku menangis teresak-esak, sambil memegang gambar dia. Aku jadi lemah. Tiba-tiba aku jadi begitu lemah untuk mengingati tentang dia. Aku luahkan segala perasaan aku, aku semburkan segala apa yang aku rasa dan aku pendam sejak petang tadi. Aku menangis semahu-mahunya. Ya, aku menangis..

Sayang dan kasih aku pada ninit, hanya Tuhan sahaja yang tahu, rasa kehilangan tu seolah-olah membuatkan jiwa aku mati sementara. Dia sangat bermakna buat aku. Dialah teman sejati aku, meskipun dia kucing dan aku manusia. 

Lepas daripada kematian dia, aku rasa aku dah tak nak bela kucing lagi. Aku tak nak rasa kehilangan itu menggamit jiwa aku lagi. Pedih. 

Tapi Tuhan itu merencana apa yang terbaik buat kita, dan ditakdirkan, kami sekeluarga bela kucing lagi, selepas beberapa tahun kami kehilangan ninit. Tuhan kurniakan kami berekor-ekor kucing untuk penuhi jiwa kami. Ya, nikmat mendampingi kucing itu tiada tara, dan hanya mereka yang menghargai sahaja akan rasa dan nikmati. 


Percayalah, kucing adalah makhluk Tuhan yang sangat istimewa. Menyentuhnya, terasa nikmat yang tiada tara...

SAYA SAYANG KUCING 



13 August 2011

14 Ramadhan : Dia telah pergi, takkan kembali...

saat aku menarikan jari jemari ini,
menulis dan menyusun perkataan demi perkataan,
dia kesayangan aku baru sahaja pergi,
meninggalkan kami buat selama-lamanya..


dia tu adalah kucing aku,
yang kami panggil oncet..


umurnya lebih kurang 6 bulan sahaja,
muda lagi,
masih lagi kadang-kadang menyusu badan ibunya..


Namun Tuhan itu maha penyayang,
tahu mana lebih terbaik buat hambanya,
tak kira manusia atau haiwan,
semuanya mahkluk ciptaannya..


sebab dia mati,
entah, sukar untuk aku ceritakan,
pada mulanya dia sihat,
entah kenapa tiba-tiba,
dia menunjukkan simtop-simtop lesu,
dengan tidur seharian tanpa henti.


bertitik tolak dari itu,
dia terus hilang selera makan,
jalan pun ibarat mengharap kudrat dipapah,
muka cengkung-anda pasti tergelak saya tulis begini,
namun itu realiti.


semakin hari dia semakin lemah,
susuk badan dia semakin susut,
wajah yang dahulu comel semakin hilang seri,
bulu yang dahulunya cantik disisip rapi kerna selalu dijilat,
kini berombak menanti tuannya menyisir..


dia semakin berubah,
makan langsung tak lalu,
air pon dihirupnya perlahan,
suaranya langsung tak terkeluar seperti hari-hari sebelumnya..


abah ada cakap,
mungkin dia salah makan,
mungkin juga dia diracun..


malam semalam, 
dia macam tu jugak tak berubah,
bahkan semakin tenat,
sebelum aku tidur,
aku datang dekat dia,
bila dia nampak aku,
dia cuba untuk bangun,
rapat dan nak menggeselkan tubuh dia kat kaki aku seperti dulu,
tapi dengan kudrat yang lemah,
dia bangun menggigil,
tak sanggup aku lihat dia waktu tu..


aku pegang dia,
aku sempat usap dia,
aku cium kepala dia berkali-kali,
dia berbunyi,
aku dah lama tak dengar suara dia,
dengan suaranya yang tak berapa kuat,
dengan suaranya tak berapa jelas,
dia berbunyi juga macam nak kata sesuatu,
aku cium dia lagi berkali-kali..


saat itu,
aku dapat rasakan,
dia dah nak pergi,
dalam hati aku,
kalau Tuhan nak ambil dia, ambillah,
tak sanggup aku nak tengok dia terseksa begitu rupa..


lepas tu kakak datang,
dia ambil air,
dia suakan pada oncet, 
dia belum minum lagi,
oncet dengan lemah menghirup air tu dengan payah,
sedih waktu tu aku lihat dia, 
hanya Tuhan sahajalah yang tahu..


lepas tu,
aku rasa saat dia dah sampai, 
aku cepat capai kamera aku,
mungkin ini gambar terakhir sebagai bekalan untuk aku,
gambar terakhir jasad dia berserta nyawa..


gambar malam terakhir dia..


dia lemah sangat..

badan dia sangat lemah





pagi ni..
waktu abah kejut kami bangun sahur,
aku nampak dia ada kat dalam rumah,
disisi dia ada ontel dan oneng,
adik beradik dia.


aku ingat dia 'ada' lagi,
tiba-tiba kakak aku pegang dan kata,
"oncet dah mati.."
waktu Tuhan sahaja lah yang tahu,
perasaan ni..


aku tak hiraukan,
aku terus makan sahur,
kemudian abah datang, 
abah angkat jasad dia,
dan masukkan dalam kotak,
letakkan diluar..
aku hanya memerhati sahaja..


lepas habis bersahur,
aku terus keluar,
nak lihat jasad dia..


dia terbaring kaku sejuk,
dalam kotak.


aku tak tahu nak cakap perasaan aku waktu itu,
aku usap kepala dia seperti mana aku lakukan waktu dia hidup,
aku bersihkan debu pada muka dia...


ohh Tuhan...




mungkin ini takdir perjalanan dia,
terhenti saat ini.


kami sekeluarga pasti akan sangat merindui dia,
walaupun dia hanya sekadar kucing,
kami telah anggap dia lebih daripada itu,
dia penghibur tatkala duka, 
menceriakan suasana.


lepas ni, 
takkan ada kelibat dia lagi, 
yang selalu tidur diatas kerusi,
takkan ada lagi lenggok langkah dia menuju ke dapur untuk makan, 
semua perihal dia sudah tak ada,
cuma secebis kenangan bersama dengan dia..


oncet..saya sayang anda sampai bila-bila...











*saya dah tak tahan menahan air mata ini daripada terus mengalir, biarlah saya membazir air mata ini demi seekor kucing, demi seekor haiwan yang tiada apa, sesungguhnya Tuhan itu maha adil dan penyanyang...