31 December 2011

Selamat datang tahun 2012~




selamat tahun baru


Tangan di kocek
Jalan menyenget
Mata ke bumi
Hati ke langit
Sabar Menanti
Peluang Datang
Begitulah

Selepas hujan
Nantikan nyaman
sesudah ribut
Pastikan tenang
Setelah sukar
Juakan Senang
Lumrahnya

Mundar mandir
Congak resolusi
Kemana haluan hidup ini
Terus tercari-cari

Tak esok atau lusa
Malah jua
Mungkin bila-bila
Hidup berubah
Namun kini
Kala ini
Watak sebegini
Ku perlakonkan

Tangan di dagu
Duduk termangu
Kopi secawan
Tidak karuan
Sehari lagi
Ia berlalu
Begitulah.

Lambungkan syiling
Piih antara
Kepala bunga
Betul dan salah
Menang dan kalah
Bukan berakhir
Segala



-Watak oleh Hafiz-

***ramai yang tanya apa azam tahun baru aku, mudah aku kata, walaupun nama aku azam, tapi tak pernah terfikir untuk berazam..




30 December 2011

Malam sampai ke pagi.

Manusia, Tuhan kurniakan malam, untuk rehat. Menikmati indahnya mimpi dan takkurang juga kengerian syahdu mimpi. Ada yang bermula layar lena pada pangkal malam, ada juga yang menganyam lena pada larut malam. Manusia yang berbeda, warna kulit sahaja sudah tidak sama. Mungkin rambutnya sahaja. Rambut sama hitam, hati lain-lain.



Ada yang menjadikan malam sebagai punca rezki. Almaklumlah, gelap gelita. Sekadar bayang sahaja menjadi rupa. Mudah berniaga yang haram. Susah dikesan pihak berkuasa. Laris jualan !! Untungnya pada pembeli. Menikmati nikmat dunia tanpa ragu, dibekalkan dengan kenikmatan sementara. Dipenghujungnya, sadis, dan merana. Melanggan manusia untuk santapan batin, kononnya gersang tak dapat kawal nafsu. Dari merogol, baik membeli yang dah ada. Banyak pilihan koleksi. Bukan setakat wanita, yang lelaki azali pun menjual diri.




Ramai juga yang malamnya mengubah kehidupan. Berpeleseran mencari kepuasan. Terutamanya anak muda. Apabila kasih sayang dirumah, hilang entah kemana. Mungkin ibu dan bapa sibuk berpolitik, mungkin saja sibuk ditempat kerja. Mencari nafkah untuk anak-anak membesar dengan baik. Hakikatnya, rosak dalamannya. Anak-anak ini mudah sahaja dididik. Walaupun ada yang mengadu keras kepala dan kurang ajarannya. Cukup kasih sayang yang diberi, maka eloklah pekerti. Bukan harta benda pengukur kasih sayang. Kalau setakat sudah cukup membekalkan Ipad dan Iphone kepada anak-anak, usahlah mendabik dada anda sudah berjaya melaksana tugas keluarga. Buruk akhlaknya mungkin ada. 




Mungkin juga ada yang malam menjadi sinar buat hidupnya. Tatkala dia mencari redha Tuhan dengan bermunajat. Mencari ketenangan dan pengampunan diri. Dalam titip doanya, memohon restu Illahi, agar meneruskan hidupnya, dibawah payung Rahmat, dan disinar cahaya Rahim. Alangkah beruntungnya mereka yang memilih malamnya seperti ini. Mereka insan terpilih Tuhan !





Memang malam itu gelap. Tiada cahaya yang dapat membantu, meskipun bulan purnama mengambang. Hakikat, jalanlah dengan panduan, ikut arahan, agar anda tidak sesat dalam kegelapan malam. Andai anda sudah pandai, jangan juga mengingkar arahan, kerna malam itu masih gelap, dan gelap itu tetap gelap..


Kedai mamak & 7 eleven


Ramai diantara kita memilih kedai mamak sebagai tempat untuk memenuhi keperluan perut-makan. Mungkin ada istimewanya dari segi layanan, hidangan, makanan, dan mungkin juga senyuman daripada wajah-wajah mamak tak kurang juga senyuman pekerja nepal. Manis. Dengan persekitaran yang tenteram, aura mamak yang begitu menarik perhatian, sehingga menjadikan perut semakin lapar untuk menikmati makanan air tangan mamak. 

maniskan wajah mereka ?



Tak kurang juga, mereka yang mampir ke kedai mamak semata-mata kerana televisinya yang besar ! Layar putih dipasang dan menjadi pilihan penggemar bola sepak untuk bersama-sama menyaksikan pertarungan manusia merebut sebiji bola. Cawan di atas meja sudah tersusun banyak. Mamak tersenyum puas, kedainya penuh dengan pelanggan.

gambar hiasan



Masa yang sama, keluarga datang berbondong-bondong memenuhi segenap ruang kosong yang ada dalam kedai mamak. Datang pelayan berkopiah, menanyakan menu yang hendak dijamu. Selesai membuat tempahan, baru sedar, kopiah tu sebab dia islam atau sekadar tanda dia islam?? Beza dua perkara ni. Sebab dia islam, maknanya dia percaya dan anuti islam, sebab itu dia pakai. Sebab tanda dia islam, maknanya dia nak orang tahu dia islam. Kepercayaan diletakkan pada manusia. Kalau tak faham tak apa. 

gambar hiasan



Beralih kepada  9 ELEVEN . Kedai yang berniaga tiada waktu henti. Terus menerus. Motif berjualan jam 4 pagi? Entah, mungkin ada mereka yang terdesak tika itu, memerlukan bahan yang ada dalam  9 ELEVEN . Mungkin. Dulu, di kawasan tempat tinggal saya, majoritinya melayu, tak ada pun kedai yang menjual arak. Bila terbinanya  kedai 9 ELEVEN, dialah pengedar tunggal arak di kawasan tempat tinggal saya. Itu buatkan saya kesah. Lagi satu, yang menariknya, susunan kotak-kotak comel yang berisi kondom.





*tiada kena mengena dengan yang hidup atau yang sudah meninggal dunia. 

29 December 2011

Selamat pagi dan pagi


Bangun pagi satu perkara yang sukar, bila perkataan awal diletakkan ditengahnya. Kenapa? sebab saat itu, mata masih lena, mimpi pun sudah sampai ke klimaksnya. Mana mungkin menghentikan mimpi tatkala klimaks yang dinanti-nantikan sepanjang mimpi. Lebih-lebih lagi bila bergandingan dengan Maya Karin, dalam filem rekaan fantasi, Ombak Syahdu..

Untung tiada jam loceng untuk menyedarkan diri. Takut nanti, habis pecah dibaling ke dinding. Akhirnya terpaksa juga dibersihkan.



Bila sedar, tersenyum sendiri. Ralit memutar kembali bayang mimpi yang beralun sepanjang malam nan sepi. Asyik sungguh.. Bingkas bangun, bila jam menunjukkan waktu semakin siang. Sebelum ke tandas, periksa dulu telefon bimbit, manalah tau ada sebutir dua pesanan yang berbaki tak sempat hendak dijawab. Oh ada. Pesanan dari BB, isinya "Selamat pagi !!". Senyum sendiri, menampakkan garis gigi yang belum dicuci.

Membalas apa yang patut, terus menarik tuala yang tersemat rapi pada penyidai, menuju ke tandas, demi melunaskan apa yang tertunggak sepanjang beraksi dalam mimpi. Mana tau, nikmatnya masih berbaki..

28 December 2011

Buah rambutan kuning


Petang tadi aku sempat petik buah rambutan. Buah rambutan kuning. Mulanya macam dah habis dipetik, bila perhati betul-betul masih ada lagi sisa yang tinggal. Aku capai mana yang sampai. Sempat makan beberapa biji buah rambutan, datang pula kucing-kucing mengganggu. Sibuk nak panjat pokok rambutan.





Aku malas nak layan, terus aku menuju ke hadapan rumah, ambil galah. Nak jolok buah yang tinggi tumbuhnya. Galah ni unik, tapi dah menjadi kebiasaan buat mereka yang ada kebun atau pokok rambutan. Galah ni ada tali, cuma perlu tarik sahaja, dan dahan akan tercantas. 



Kucing-kucing ku datang mengacau. Mereka bermain dengan tali galah. Aku halau, mereka terus bermain. Akhirnya aku mengalah. Biarkan mereka bermain, dan aku terus menikmati kemanisan buah rambutan kuning..

27 December 2011

Di bawah lindungan kaabah..


Dah lama aku muat turun filem ni, tapi tak pernah pun terniat nak tonton, sebab kesempitan masa. Namun malam semalam aku berkesempatan untuk tonton. Banyak benda yang aku belajar, cerita tentang cinta Hamid dan Zainab, dan dihias cantik dengan kesyukuran, ujian, fitnah dan kematian...




"..Hamidkau akan segera berangkat ke tawalib, pergi memasuki dunia yang lebih luas, sementara aku masuk ke dunia yang lebih kecil dan sempit.."

"...kau masih bisa melakukan banyak hal zainab, hias lah duniamu yang kecil  itu agar menjad ruang yang nyaman dan tidak membosankan..."



Kalian patut tonton cerita ini, terutamanya anak muda yang kegersangan kasih dan sayang. Lihatlah, bagaimana cinta antara lelaki dan perempuan itu ditautkan, dan disatukan bukan dengan berlandaskan nafsu semata-mata. Hari ini kita terbelenggu dengan khyalan sempit manusia, tentang istilah cinta, bila mereka tafsir cinta melihat daripada pandangan nafsu, sehingga maruah digadai demi mengangkat status cinta yang kononnya ikhlas dan suci. 

Ambil lah ikhtibar, ikutlah apa yang benar, dan jauhilah diri anda daripada apa yang buruk oleh filem ini...

Menjelang tahun baru, aku takut, lebih ramai anak gadis di bumi malaya ini akan kehilangan maruah dan kehormatan..moga dijauhkan..


26 December 2011

ceroboh rumah untuk berkhalwat


ALOR GAJAH: Seorang wanita yang juga isteri orang ditemui dalam keadaan mengaibkan apabila berpelukan dalam telanjang bulat dengan teman lelakinya dalam bilik di sebuah rumah Kampung Baru Lendu, Alor Gajah, pagi kelmarin.

Lebih memalukan apabila kejadian kira-kira jam 8.15 pagi itu disedari pemilik rumah berkenaan, Sutini Hamzah, 61, bersama anak lelakinya, Ainol Adnan, 38, yang datang ke rumah itu selepas dimaklumkan jiran mengenai tindakan sepasang kekasih tidak dikenali menginap di rumah mereka tanpa kebenaran.





Ainol ketika ditemui berkata, sebaik dia dan ibunya tiba di rumah itu, mereka mendapati pintu pagar depan, tingkap dan pintu utama rumah terbuka luas seperti sudah lama ditinggalkan.

Katanya, dia memberi salam sebanyak tiga kali, namun tidak bersahut sebelum masuk ke dalam rumah yang mempunyai empat bilik itu untuk melakukan pemeriksaan, namun mendapati tiada sebarang kesan rumah itu diceroboh.

“Bagaimanapun, apabila saya dan ibu masuk ke bilik terakhir, kami terkejut apabila terserempak sepasang kekasih bertelanjang bulat dalam keadaan berpelukan nyenyak tidur seperti orang kepenatan 

“Gelagat mereka sedang berpelukan intim di atas katil amat mengaibkan, malah mereka tidak sedar kehadiran kami,” katanya
-Harian Metro-


*haish..apa nak jadi la. Dah la buat salah, ditempat yang salah. Inilah yang dinamakan kesalahan berganda. Bagi si perempuan tu, dah la bini orang, kesalahan tiga kali ganda !! moga kita ambil iktibar, jangan lakukan seperti ini. Anda ada akal, fikir buruk dan baiknya. Jangan rosakkan akhlak dan iman anda demi keseronokan dunia yang sementara. Impikanlah nikmat sorga Tuhan..

kehilangan..


Kehilangan bukanlah sesuatu perkara yang mudah untuk diterima. Lebih-lebih lagi melibatkan seseorang. Kehilangan seseorang yang amat rapat, sayang dan kita kasihi. Tentunya membuatkan jiwa tak keruan kan. Susah untuk terima kenyataan tentang kehilangan. Terasa kehidupan tak lengkap dan sebagainya. Minda asyik teringat  fasal si dia, memori seakan-akan memutar kenangan dan nostalgia lalu berulang-ulang. Sampaikan kadang kala menjadi tekanan dan akhirnya membuatkan jiwa kita tak tenteram..




Namun, Tuhan itu maha adil, maha penyayang dan maha mengasihani. DIA berikan kita dugaan, DIA berikan kita ujian, semata-mata untuk menilai keimanan kita kepadanya. Waktu inilah kita dinilai, sejauh mata kematangan iman kita terhadapNYA. Mungkin susah untuk diterima pada awal ujian ini, namun bila difikir dan direnung sedalam-dalamnya dengan akal dan ketaqwaan, maka kita akan temui kemanisan ganjaran yang bakal kita peroleh akhirnya nanti.

Tuhan juga kurniakan sifat pelupa kepada manusia, supaya kita dapat melupakan kesedihan yang melanda diri kita. Walaupun kita anggap sikap pelupa adalah negatif, hakikatnya bila diletakkan dan digunakan pada situasi yang betul, maka sifat ini berguna sama sekali. Manfaatkan apa yang Tuhan kurnian, sebelum nikmatnya ditarik kembali...

24 December 2011

Nabi Salleh a.s. dengan Unta dari batu karang


Nabi Salleh a.s sedar akan tentangan akan kaumnya yang menuntut bukti daripadanya berupa mukjizat itu, adalah bertujuan untuk menghilangkan pengaruhnya dan mengikis habis kewibawaannya di mata kaumnya terutama para pengikutnya. Bila ia gagal memenuhi tuntutan tersebut, Nabi Salleh membalas tentangan mereka dengan menuntut janji dari mereka, bila ia berhasil mendatangkan mukjizat yang mereka minta, bahwa mereka akan meninggalkan agama dan penyembahan mereka dan akan mengikut Nabi Salleh dan beriman kepadanya. 

Sesuai dengan permintaan dan petunjuk pemuka-pemuka kaum Tsamud, berdoalah Nabi Salleh a.s memohon kepada Allah agar memberikan suatu mukjizat kebenaran risalahnya dan sekaligus mematahkan perlawanan dan tentangan kaumnya yang masih degil itu. Ia memohon dari Allah dengan kekuasasan-Nya menciptakan seekor unta betina, dikeluarkannya dari perut sebuah batu karang besar yang terdapat di sisi sebuah bukit yang mereka tunjuk. 



Maka sejurus kemudian, dengan izin Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Pencipta, terbelahlah batu karang yang ditunjuk itu keluar dari perutnya seekor unta betina. Dengan menunjuk kepada binatang yang baru keluar dari perut batu karang. "Inilah dia unta Allah, janganlah kamu ganggu dan biarkan giliran untuk mendapatkan air minum bagimu dan bagi ternakanmu juga dan ketahuilah bahwa Allah akan menurunkan azab-Nya bila kamu sampai mengganggu binatang ini.



Syahdan, maka bekeliaranlah sang unta di ladang-ladang memakan rumput sesauka hatinya tanpa mendapat gangguan. Dan disaat giliran minumnya tiba, pergilah unta itu ke sebuah perigi dan minumlah sepuas hatinya. Dan pada hari-hari giliran unta Nabi Salleh a.s datang minum, tiada seekor binatang lain menghampirinya, hal mana menimbulkan rasa tidak senang pada pemilik-pemilik binatang-binatang itu yang makin hari makin merasa bahwa adanya unta Nabi Salleh di tengah-tengah mereka itu merupakan gangguan. Laksana duri yang melintang di dalam kerongkong. 



Dengan berhasilnya Nabi Salleh a.s mendatangkan mukjizat yang mereka tuntut, gagallah pemuka kaum Tsamud dalam usahanya menjatuhkan kehormatan dan menghilangkan pengaruh Nabi Salleh, bahkan sebaliknya telah menambah tebal kepercayaan para pengikutnya dan menghilangkan keraguan dari kaumnya. Maka dihasutlah oleh mereka pemilik-pemilik ternak yang merasa jengkel dan tidak senang dengan adanya unta Nabi Salleh yang bermaharajalela di ladang dan kebun-kebun mereka serta ditakuti oleh binatang-binatang peliharaannya. 


"Barangsiapa segan mengikuti jejak sunnahku, maka tiadalah ia termasuk dalam golonganku." Hadith Riwayat Muslim

22 December 2011

Melayu Feudal Diperdagangkan


Mungkin agak kasar untuk tajuk entry sebegitu rupa. Namun itulah hakikat yang perlu aku, kamu dan mereka untuk bersetuju. Tatkala kita sudah mencecah era kemodenan sejagat, ideologi tentang kemajuan sudah mulai menjarah setiap pemikiran rakyat, malah terbit juga istilah kemajuan masa depan, setakat merancang dan mengimpikan, ada segelintir kita masih berpegang dengan paksi feudalisme. Sampaikan menjadi taksub dengan hakikat dirinya yang mengejar kepada feudalisme.

gambar hiasan


Hari ini kononya ramai yang menolak konsep feudalisme, katanya sudah tidak sesuai untuk diaplikasi dalam sistem masyarakat. Ya, kita akui, dalam sistem feudalisme yang kita ada sememangnya bermasalah. Daripada hierarki yang tertinggi sampailah serendah-rendah martabat. Mungkin akan ada suara sumbang, mana ada kat dunia ni yang sempurna sifatnya. Ya, memang tiada yang sempurna, tetapi itu bukan alasan untuk menutup kesalahan yang jelas terpampang. Jangan salahkan lantai,kalau diri tak pandai menari.

Berbalik kepada topik asal, diperdagangkan. Lihat sahaja hari ini, bila tiba penganugerahan darjah kebesaran oleh mereka yang mulia. Pasti setiap tahun akan ada beratus-ratus mereka yang menerima anugerah, atas iltizam menyanjung budi yang mereka limpahkan. Kiranya demi membalas jasa mereka yang berjasa. Mereka yang memberi sumbangan diberikan anugerah darjah kebesaran, malah diangkat menjadi Datuk, Datuk Seri, Tan Sri dan juga Tun. 

gambar hiasan


Bayangkan, kita miliki 9 orang yang mulia, dan juga 4 mereka yang mulia, jumlahnya 13. Kalau purata setiap seorang mereka ini menganugerahkan 400 pingat atau darjah kebesaran, setahun sudah berapa ramai yang memiliki anugerah?? 5200 orang !! Setiap tahun beribu-ribu warga Malaysia dianugerahkan dengan darjah kebesaran. Untungkan ?!

Kemudian kita lihat siapa pula yang diberikan anugerah tu. Rata-rata hari ini semua orang memiliki peluang untuk mendapatkan darjah itu. Lebih-lebih lagi artis. Persoalan mudah, berjasa sangat ke artis ni sampai sanggup didarjahkan dengan Datuk dan Tan Sri ?? Tukang masak pun hari ini sudah didarjahkan menjadi Datuk tau !! Mungkin ini hak mereka untuk memberi darjah kepada sesiapa pun. Ya, kita akui, itu hak mereka. Teruskan lah.

gambar hiasan


Perlu untuk kita ingat, sampai bila sistem feudal ini boleh terus bertahan. Sampai bila masyarakat kita akan memandang tinggi dengan darjah yang diberikan apabila hari ini mudah sahaja darjah dikurniakan buat sesiapapun. Waktu kerajaan Melaka, tak semua mereka dikurniakan Datuk. Memilih betul ketika itu untuk dikurniakan Datuk. Sehingga siapa yang bergelar Datuk dipandang tinggi oleh masyarakat pada zaman itu.

Sampaikan hari ini ada sahaja sindeket menjual pangkat, sampai ada yang tertipu demi mendapatkan pangkat Datuk. Rugi beratus-ratus ribu !! Nak kata bodoh, memang bodoh, nak kata pandai ada juga. Hakikatnya, mudah sahaja masyarakat kita ditipu kan. 

Usah apa yang molek, kita perdagangkan, apa yang cantik, kita niagakan, apa yang elok kita rosakkan. Jaga pusaka adat melayu, sampai anak cucu tahu, sampai mereka tiru. Yang buruk biarkan berlalu, yang baik ambillah tahu.

21 December 2011

Fikir Sebelum Bertindak


Dalam kita ghairah mengikut rentak dunia politik negara, ada diantara kita yang tersepit dan menjadi mangsa keadaan bagi individu-individu tertentu. Sehingga wujud istilah diperkudakan dan diperlembukan. Hakikatnya, haiwan tidak bersalah. Dengan sikap yang terburu-buru demi melakukan sesuatu tindakan, maka kesan yang bakal diterima kadang-kala diluar jangkauan akal pemikiran kita dan si pelaku. Akhirnya mendatangkan kesan yang dia sendiri tidak mengharapkan itu bakal terjadi.

gambar hiasan semata-mata


Untuk melakukan sesuatu tindakan yang diluar jangkauan, perlu diambil kira lima aspek ini terlebih dahulu, demi memastika tindakan yang dilakukan menepati apa yang diinginkan dan kesan akhirnya tidak menjadi kesan luar biasa. Antara aspek yang perlu diteliti;

1. Aspek keperluan tindakan yang ingin dilakukan. Perlu untuk si pelaku tahu, apakah keperluan tindakan yang indin dilakukan. Adakah pada hari ini tindakan yang ingin dilakukan adalah tindakan yang terdesak, dan wajib untuk dilaksanakan, mahu tidak mahu perlu dilakukan dan jika tidak dilaksanakan bakal mengundang padah. Apakah perkara yang mendesak supaya tindakan ini dilakukan? Persoalan ini perlu dijawab untuk memastikan aspek keperluan tindakan dapat dipenuhi. Ada diantara kita yang sembrono, membuta tuli, dan membabi buta bertindak, tanpa mengetahui apa keperluan mereka melakukan tindakan sebegitu rupa. Seolah-olah orang bodoh yang diperbodohkan.

2. Siapa yang terlibat dalam tindakan itu. Hal ini amat penting, kerana perkara ini bakal menentukan hala tuju tindakan yang akan dilakukan. Jika tindakan yang dilakukan hanya melibatkan rakan sejawatan semata-mata, maka hasil dan skala kesannya kita dapat jangka. Bayangkan kalau entiti yang terlibat dalam tindakan itu, melibatkan entiti asing yang mempunyai pengaruh dan kuasa yang besar, maka skala kesan dan akibatnya bakal juga besar. Mungkin sahaja anda bakal "hilang akal" memikirkan kesan hasil tindakan yang anda lakukan. Maka, analisis terlebih dahulu entiti yang terlibat dalam tindakan yang bakal anda lakukan. 

3. Modus operandi ataupun metode yang anda gunakan. Hal ini penting untuk dilihat terlebih dahulu dalam merangka tindakan, kerana ada segelintir diantara kita yang pandai akalnya, namun bodoh tatkala melaksanakannya. Objektif dijadikan sebagai sasaran yang mandatori untuk dicapai, maka usaha dan jalan untuk mencapai kepada objektif dilakukan dengan apa jua cara, termasuklah baik dan buruk. Sebab itu wujud kata-kata ini, matlamat tidak menghalalkan cara. Analogi mudah, anda mahu menderma, namun anda tiada wang. Anda curi wang orang lain untuk menderma kepada fakir miskin. Ya, matlamat anda sangat murni dan baik, namun cacat dan cela apabila cara anda mendapatkan duit daripada jalan yang salah dan tidak diredhai Allah SWT. Maka, fikirkan, adakah jalan yang anda pilih, adalah baik, bukan buruk.

4. Niat anda melakukan tindakan. Semua akui, niat adalah aspek terpenting dalam Islam. Tiada niat, maka huru haralah iman kita. Niat itulah menentukan hala tuju tindakan kita, samada baik atau buruk tindakan yang bakal kita lakukan.

“Segala amalan adalah berdasarkan niat. Setiap orang hanya mendapat apa yang diniatkan. Justeru, sesiapa yang penghijrahannya adalah menuju kepada Allah dan RasulNya, maka penghijrahannya adalah penghijrahan kepada Allah dan RasulNya. Sesiapa yang penghijrahannya kerana dunia yang bakal diperolehi atau kerana wanita yang bakal dikahwini maka penghijrahannya adalah penghijrahan menuju kepada apa yang dingininya”.-Hadis Sahih Bukhari dan Muslim-


Niat ini, kalau buruk, maka buruklah apa yang kita lakukan, kalau niatnya baik, maka baiklah tindakan yang kita laksanakan. Ada tiga cara untuk membentuk niat yang baik sebelum kita lakukan sesuatu tindakan. Yang pertama, berniatlah dengan apa yang bakal kita lakukan itu adalah ibadah,  yang kedua berniatlah dengan apa yang kita lakukan kerana Allah SWT bukan selain daripaNya, dan yang ketiga berniatlah kerana kita ikut perintah Allah SWT. Insyaallah niat yang dipandu dengan iman, hasilnya bakal lumayan dan mendapat redha disisi Tuhan. 

5. Kesan tindakan yang bakal dilakukan. Perkara inilah yang menjadi titik akhir kepada tindakan yang bakal kita lakukan. Walaupun hasilnya adalah selepas tindakan, tidak terkecuali untuk aspek ini dianalisis terlebih dahulu. Adakalanya, kita dapat menjangka dan meramal apa yang bakal berlaku dengan tindakan yang kita lakukan. Perlu kita lihat, sama ada kesan yang  terhasil daripada tindakan kita itu, daripada kesan jangka masa pendek, dan kesan jangka masa panjang. Dua aspek yang dipecahkan ini, memberi jawapan kepada kita, sama ada tindakan yang kita lakukan ini betul atau tidak Jika kesan masa pendeknya hanya mendatangkan kesan negatif semata-mata, dan kesan masa panjangnya juga negatif, maka terbuktilah kebenaran tentang tindakan itu. Nilailah, kesan yang bakal diperoleh, sebelum anda lakukan sesuatu tindakan itu. 

gambar hiasan semata-mata



Bukan mudah untuk melakukan tindakan yang luar jangka ini, kerana kesannya juga bakal luar jangkaan.  Seboleh-bolehnya, fikir panjang terlebih dahulu, gunakan akal yang dikurniakan Tuhan untuk anda nilai sebarang tindakan yang bakal anda lakukan, tidak mahu nanti, sudah terhantuk baru nak terngadah. 

Sekadar berkongsi pandangan, kalau silap, harap dibetulkan..

19 December 2011

budak wajah polos, sudah tersenyum




Hari ini aku jumpa lagi budak wajah polos, yang pernah aku ceritakan dulu, rujuk sini. Mungkin rezki aku nak berjumpa dan bercerita lagi tentang dia. Hari ini sama situasinya macam yang lepas, waktu aku jumpa dia. Aku dalam perjalanan ke kelas selepas usai solat zohor. Dari jauh aku nampak susuk tubuh macam aku kenal. Dengan baju pasukan pembersihan, tubuh cilik, berambut pendek, seakan-akan botak, disamping seluar jeans lusuh yang menjadi identiti rasmi dia waktu bekerja. Oh lupa, dan t-shirt hitamnya.

Hari ini lain daripada hari yang lepas. Hari ni wajahnya manis. Tersenyum sepanjang membuat kerjanya. Mungkin ada sesuatu yang membuatkan dia tersenyum. Macam yang aku tuliskan entry yang lepas, teringin aku nak berborak dan menanyakan sesuatu kepada dia. Namun hari ini aku juga tak berjaya menemu ramah dia. Tak dapat nak borak atau tegur dia. Sebab jam ditangan aku dah tunjuk angka 2.30 petang. Semestinya Dr. Yusuf dah masuk dalam kelas.



Walaupun aku terkilan tak dapat  tegur dia, sekurang-kurangnya aku dapat lihat perubahan wajah dia. Kalau dulu polos penuh dengan tanda tanya, tetapi hari ini wajahnya manis tersenyum. Alhamdulillah…

15 December 2011

Katakan Tak Nak!!

Kali ni aku cuba nak masuk "contest" yang nufftnang buat. Tentang kempen katakan tak nak kepada rokok. Maka gambar yang masukkan untuk "contest" ni adalah seperti dibawa...







Mungkin semua tertanya-tanya, apa motif dan kaitan gambar dibawah dengan rokok?? Mudah sahaja untuk difahami. Lihat subjek utama, seorang lelaki sedang meniup belon berwarna kuning, dan bajunya juga berwarna kuning. Lihat juga dibelakangnya rakan-rakan tersenyum tanda gembira dengan apa yang dia lakukan., Maknanya, dalam melakukan sesuatu perubahan, perlukan kesepaduan antara hati dan perlakuan, digambarkan dengan baju warna kuning dan belon warna kuning. Malah perubahan seseorang itu memerlukan sokongan padu oleh masyarakat, ditunjukkan dengan kawan-kawan yang tersenyum dibelakang tanda bersetuju dengan apa yang dia lakukan, yakni merujuk kepada perubahan.

penangan awan yang terpilu


Sejak dua menjak ni, lagu awan yang terpilu nyanyian Ning Baizura, seakan-akan berhantu, apabila senantiasa didendangkan dalam rumah aku. Aku tak tahu kenapa, kami satu rumah seakan-akan terpana dan terkesima dengan lagu yang menjetik emosi pendengar. Dengan lirik yang menceritakan berkenaan kehidupan sebenar pelantun lagu tersebut, mungkin juga menambahkan lagi emosi dan perasaan dalam lagu itu, sehinggakan kami benar-benar terkesan dengan lagu itu..hehe



cuba baca lirik lagu ini...

Kerana cinta
Aku kembara
Bagai camar
Melintas laut
Mencari pohon
Untuk berteduh

Kerana cinta
Aku kembara
Ikut lagu
Bisikan hati
Mendamba kasih
Paling setia

Sepasang sayap tak terlihat
Umpama mimpi yang tersimpan
Jadi rintik-rintik hujan
Menciptakan 
Awan yang terpilu

Puisi ini
Tercipta lantas
Tak kesampaian
Hajat meronakan
Gelora rindu
Ku kepadamu

Ingin sekali
Aku ungkapi
Isyarat jiwa
Dengan sempurna
Biarkan kau mengerti
Biarkan kau sedari
Keadaanku yang memujamu




*apa yang anda rasa??

13 December 2011

muka buku atau muka surat buku??


Semester ini jujur aku katakan, banyak masa aku diisi dengan program-program persatuan, mesyuarat persatuan, diskusi tugasan subjek, diskusi persatuan, pertandingan debat, dan pelbagai hal lagi yang memerlukan komitmen aku. Sampai pernah ada insan yang aku sayang katakan, aku ni mengalahkan menteri, setiap malam ada mesyuarat dan diskusi. Aku cuma mampu jawab, komitmen..

debat gender 2011 di UMT


AURA FSKIK 2011


Motivasi SK Sg Behrang


Kem Pemantapan Fasilitator dan Protokol PERSADA Kebangsaan


Program Pemimpin Perdana PERSADA





Namun dalam diam aku mengisi komitmen, ada benda yang terpaksa aku ketepikan dan tinggalkan. Masa aku tak memihak kepada 'dia'. Bukan  bermakna 'dia' tidak penting bagi aku, tapi kekangan masa itu yang memisahkan kami untuk bersama. 

Dia adalah buku-buku kesayangan aku. Aku ni jenis yang pantang dengan buku. Kalau pergi mana-mana kedai buku, atau gerai jualan buku, maka aku akan tertancap disitu untuk beberapa ketika. Kebiasaannya balik tanpa dengan tangan kosong. Aku memang suka beli buku. Malangnya, masa yang ada buatkan aku tak sempat nak menikmatinya. 



Nampak macam aku salahkan masa dan tak pandai uruskan masa kan. Itulah hakikat. Masa yang aku ada banyak aku habiskan dengan komitmen dan muka buku. Sebab itu beberapa ketika hari tu aku deaktif mukabuku

Aku tak putus asa. Sebab buku yang aku beli itu mahal nilai ilmunya. Walaupun harganya tak mencecah harga mahal. Biarlah aku berhabis wang membeli buku, daripada aku berbelanja wang untuk membeli rokok. Mana yang lebih elok??




Sekarang aku cuba juga menghabiskan baca buku-buku aku tu. Alhamdulillah, dengan tugasan yang sudah selesai, merenggangkan lagi masa untuk aku mengadakan temu janji dengan buku-buku ku sayang. Ada sahabat aku kata, "aku baca buku sebelum tidur, supaya senang tidur". Aku pun baca buku sebelum tidur, tetapi aku akan jadi tak tidur nanti. 



Dalam beg aku, akan aku selitkan satu buku, untuk aku bawa kemana aku pergi termasuk ke kelas. Mungkin ada masa yang aku terluang, boleh aku manfaatkan untuk baca walaupun dalam bas. Pernah juga terfikir, yang orang lain akan fikir tentang aku, sengaja menunjuk-nunjuk baca buku. Aku tak pernah kisah, sebab itu bukan niat aku. Kalau itu lah akal yang terjelma dalam minda mereka, maka sebenarnya mereka dalam kerugiaan. 



Membaca jambatan ilmu. Maka jadikanlah dia sebagai hobi. Minat lah kepada dia. Banyak manfaat yang akan anda dapat. Jika tak membaca buku, bacalah akhbar sebagai hobi, sekurang-kurangnya menambah ilmu dan pengetahuan anda. Tak rugi berhabis duit kerana untuk beli bahan bacaan.

Adakah anda rela kekurangan duit gara-gara membeli bahan bacaan, atau kelihatan bodoh bila berbicara tanpa ilmu menerusi pembacaan??

budak wajah polos



Ada satu hari yang lepas, waktu itu aku ada kelas di proton city. Aku dan sahabat, fikrul, gigih naik bas, dan akhirnya sampai ke kelas jam 2 petang. Masih ramai yang belum hadir. Pensyarah pon masih belum nampak kelibatnya. Aku segera masuk ke dalam kelas, dan meletakkan beg pada tempat yang menjadi kebiasaan kami untuk duduk mendengar kuliah dr yusuf. 



Selepas meletakkan beg, aku dan fikrul terus keluar kelas dan menuju ke tandas. Untuk segarkan balik wajah yang kuyu dan mengantuk ni. Yela, masa sudah menginjak waktu petang kan. Waktu normal untuk mata kuyu dan berat.

dalam perjalanan ke tandas, aku ternampak seorang budak lelaki, berbaju tshirt hitam dan berseluar jeans. Dia duduk betul-betul hadapan pintu lif tingkat 2 bangunan proton city. Sambil di tangannya memegang baju pekerja pembersihan. Aku rasa dia bekerja sebagai pencuci bangunan. Namun dia masih muda lagi. Dengan wajah polos dan kuyu, dia termenung, mungkin menanti seseorang atau menanti masa bekerjanya bermula. 



Aku biarkan dan terus berlalu. Namun pelbagai perasaan bermain dalam minda dan hati ni. Aku cuba diamkan perasaan. Lepas habis 'kerja' di tandas, aku balik semula ke kelas. Dalam perjalanan, aku masih lagi jumpa budak yang sama. Masih di tempat yang sama. Sambil dengan wajah menunggu sesuatu.

Aku teringin nak tegur, nak tanya umur dia berapa, duduk mana, dan sebagainya. Namun, entah kenapa, aku terus berlalu pergi. Meninggal kan dia terus menanti disitu...



Selepas habis kuliah Dr Yusuf, aku segera menuju ke tempat menunggu bas. Dalam hati, berdoa supaya aku terserempak dengan dia lagi. Akhirnya Tuhan makbulkan. Aku ternampak dia dari jauh, sedang mengemop lantai pada bahagian luar bangunan proton city itu. Sambil dia ditemani dua orang pekerja lelaki yang sedang sama melakukan tugas yang sama seperti dia. 

Aku terus melangkah pergi. Meninggalkan persoalan dan perasaan yang berbaur dan berbelah bahagi. Entah kenapa, hati ini sungguh tersentuh dengan budak wajah polos itu. Dengan kudrat kecil, sudah bekerja mencari rezki. Alangkah murninya dikau wahai budak wajah polos. 

Mungkin ada kisah disebalik ini, namun Tuhan itu maha mengerti. Doa aku titipkan, agar kau dipermudahkan urusan, dan berjaya di dunia dan akhirat wahai budak wajah polos...

11 December 2011

pemimpin yang memimpin


Tatkala kita diangkat menjadi seorang pemimpin, perlu kita ingat, kuasa yang diberikan bukanlah untuk kepentingan kita sendiri. Bukan juga untuk menyenangkan diri kita sendiri. Hakikat tugas sebagai seorang pemimpin adalah memimpin anak buahnya demi mencapai apa yang diinginkan dalam sesebuah organisasi.



Jangan pandang rendah pada anak buah anda, kerna itu sumber kuasa seorang pemimpin. Namun sayang, hari ini ada pemimpin yang seolah-olah mempersenda tugas dan taraf seorang yang dipimpin. Malah mereka dianggap tidak penting dalam organisasi. Hakikat sumbangan yang diberikan oleh mereka yang dipimpin dinafikan penghargaannya. 



Sedar lah wahai pemimpin, anda berkuasa kerana adanya si orang bawahan yang tak berkuasa. Kami yang berikan anda kepercayaan untuk menjalankan kuasa, bukan kami berikan anda kuasa secara mutlak untuk mempersendakan kami. Kamu boleh buli kami tatkala kamu diatas, tatkala kamu bermewah dengan jawatan sebagai pemimpin. Tunggulah masa kamu nanti seperti kami. Baru kamu tau kamu letaknya dimana.



Menjadi seorang pemimpin jangan bongkak dengan kepercayaan yang anak buah berikan, jangan sombong dan riak dengan tugas yang diberikan, dan juga jangan bangga dengan jawatan yang dianugerahkan. Itu membuatkan anak buah anda jelek dan benci dengan anda. 



Binalah ukhwah yang baik dengan anak buah anda. Jangan bodohkan dan bangsatkan anak buah anda. Hargailah dia sewaktu anda memimpinnya, moga nanti dia belajar daripada kesilapan yang dilakukan dan menghargai anda sebagai pemimpin. 

Aset terpenting sebagai pemimpin adalah mereka yang dipimpin..



10 December 2011

cerita seks remaja

Tadi aku terbaca, dalam sebuah laman, tentang cerita benar dan pengalaman menlakukan hubungan seks oleh remaja belasan tahun. Cuba kalian "hayati"..

KES 1 – ADILAH, 13:

“SAYA mula disentuh teman lelaki awal tahun ini. Itulah kali pertama saya melakukan hubungan seks, saya sendiri tidak menyangka akan terlanjur dan ia berlaku dalam sekelip mata.

Ketika itu teman lelaki ‘cinta monyet’ saya (dikenali sebagai Helmi) berusia 12 tahun datang ke rumah untuk menghantar buku sekolah. Dia pernah beberapa kali datang ke rumah untuk belajar bersama dan ibu bapa saya mengenalinya.




Ayah dan ibu tiada di rumah kerana bekerja. Yang ada hanya adik saya.

Entah mengapa, tiba-tiba Helmi beria-ia mengajak saya masuk ke bilik. Hati saya berdebar-debar dan perasaan bercampur baur masa itu.

Sebaik masuk ke bilik, tanpa melengahkan masa Helmi terus menutup pintu. Entah mengapa saya merelakan saja. Kami terlanjur dan semuanya berlaku terlalu pantas.
Ayah dan ibu tidak mengesyaki apa-apa antara kami. Tambahan pula mereka mengenali Helmi dan tahu kami berkawan.

Helmi sudah beberapa kali datang ke rumah sebab tempat tinggal kami berdekatan. Mungkin dalam usia begini ayah dan ibu tidak percaya kami boleh terlanjur hingga melakukan hubungan seks, tetapi itulah hakikatnya.

Mereka (ayah dan mak) juga percaya dengan saya. Segala yang saya inginkan akan dipenuhi kerana saya anak sulung, meskipun tidak semuanya akan mereka beri.

Pun begitu, dalam masa sama saya takut dengan mereka. Mereka tegas dan sentiasa mengawal tindak tanduk serta segala aktiviti harian saya. Ayah adalah pensyarah manakala ibu guru sekolah menengah.

Dalam diam, mereka tidak tahu banyak perkara negatif antara saya dan rakan. Di kalangan rakan seusia, kami biasa melihat video lucah. Bercerita mengenai seks juga satu kebiasaan buat kami sejak usia saya 12 tahun lagi.



Telefon bimbit diberi ibu dan ayah dijadikan tempat menyimpan video lucah. Saya tidak berani berbuat demikian, tetapi tetap melihat video lucah di telefon bimbit rakan.

Saya terlanjur dengan kekasih juga sebab masing-masing ada perasaan ingin mencuba. Kerana ‘kesilapan’ pertama itu juga, akhirnya saya mengandung.

Selepas beberapa lama, saya tidak datang bulan. saya cuba beritahu ibu, tetapi takut untuk berbuat demikian.

Melihat perubahan diri saya, seorang saudara menyarankan saya membuat pemeriksaan doktor. Ayah dan ibu terkejut. Mereka tidak percaya dan menafikan saya boleh terlanjur sejauh itu.

Saya hanya mendiamkan diri dan tidak berkata apa-apa kerana takut. Ayah dan mak paksa saya memberitahu hal sebenar, namun saya juga menafikan sudah melakukan hubungan seks sebelum ini.

Akhirnya, ketika pemeriksaan dilakukan, saya disahkan mengandung. Ayah dan ibu sangat kecewa dan terpaksa menerima hakikat itu.

Saya dikurniakan cahaya mata lelaki. Dalam gembira menimang cahaya mata, saya turut kesal atas apa yang berlaku. Namun, semuanya sudah terlambat.

Saya lukakan hati ayah dan emak. Anak saya pula akan dihantar kepada keluarga angkat.


Tiada apa yang dapat saya lakukan melainkan rasa kesal yang tidak sudah-sudah, tetapi saya percaya masih ada ruang dan peluang untuk saya berubah.



KES 2 – RAHMAN, 15:

“SAYA mengenali seks sejak sekolah rendah lagi. Ada saja peluang ke pusat siber, saya dan rakan suka memasuki laman web lucah.

Selepas memasuki sekolah menengah, pergaulan saya bertambah luas dan bebas. Saya mula ikut rakan yang lebih tua daripada saya jadi mat motor (rempit).



Tak usah cakaplah mengenai rakan perempuan, apabila bergelar mat motor semua itu datang dengan sendirinya. Saya juga memiliki teman wanita (Liana, 15), dia rakan satu sekolah. Sudah hampir enam bulan kami bercinta.

Setiap malam, kami sentiasa habiskan masa bersama. Biasanya, saya beritahu ayah dan ibu keluar malam berjumpa Liana untuk belajar bersama. Mereka kenal Liana dan tahu hubungan kami.

Bukan semua masa saya luangkan dengan Liana untuk belajar. Kami suka lepak di pusat siber bersama untuk melayari laman web lucah, selain seronok melayani Facebook dan Hi5 bagi mencari kenalan baru.

Hujung minggu, saya dan Liana keluar merayau di Kuala Lumpur bersama rakan mat motor yang lain.



Ke mana saya pergi, keluarga jarang cari. Abang dan kakak tidak pernah ambil peduli apa yang saya lakukan. Ayah juga tidak pernah marah saya bawa motosikalnya ke mana-mana pun. Saya anak ketiga daripada lima beradik.

Ayah kata, bagus juga saya belajar menunggang motosikal sekarang. Nanti, senang nak ambil lesen memandu nanti (pada usia 16 tahun).

Dalam keluarga, ayah memang ‘sporting’. Saya dan dia macam kawan, saya cuma dilarang hisap rokok, sekalipun dia tidak tahu saya merokok sejak tingkatan satu lagi. Liana juga merokok.

Dia (ayah) pesan pada saya, yang penting sekali belajar rajin-rajin. Ayah dan ibu percaya dan sayang saya.

Ayah tidak tahu saya pernah hisap ganja. Kadangkala ada rakan sekolah yang ‘senior’ beli ganja, kami kongsi bersama-sama. Saya belajar hisap ganja selepas tamat Penilaian Menengah Rendah (PMR) awal Oktober lalu. Biasanya kami beli dengan hasil perkongsian wang.

Bersama Liana, saya sangat bahagia. Saya cintakan dia, banyak perkara kami kongsi bersama. Banyak yang pernah kami lakukan bersama untuk mencuba sesuatu yang baru.

Apabila ada kesempatan berdua-duaan, kami suka menonton video klip lucah di rumah Liana bersama abangnya (berusia 17 tahun).

Kami tidak pernah terlanjur lagi setakat ini, tetapi kerap melakukan seks oral bersama.

Di kalangan rakan, soal seks perkara biasa. Saya ada banyak koleksi video klip lucah dalam telefon bimbit.



Pernah saya terfikir melakukan hubungan seks dengan Liana, tetapi abangnya tidak benarkan. Jika di rumah Liana, abangnya juga sering bersama kekasihnya. Semua yang ingin saya lakukan terbatas kerana abangnya sentiasa ada.

Biasanya kami berkumpul jika ayah dan ibu Liana tidak ada di rumah atau keluar ‘bekerja’. Ayah dan ibu Liana adalah jurujual.

Di rumah saya, ‘line tak clear’. Ibu suri rumah dan jarang keluar. Sebab itu saya suka habiskan masa di rumah Liana jika ada masa terluang dengan alasan hendak belajar bersama.

Ibu tidak pernah persoalkan dan tanya apa saya buat. Dia hanya tahu saya pergi belajar atau sekadar lepak dengan kawan sekolah.

Saya seronok dan suka dengan sikap terbuka mereka (ayah dan ibu), saya tidak rasa terkongkong.

Daripada habiskan masa sia-sia duduk di rumah, baik saya keluar dengan kawan. Yang penting ayah, ibu, abang dan kakak tidak melarang.

Saya tidak pernah bosan dengan rakan, lagi pula duduk di kawasan apartmen memang banyak kenalan.

Apa yang saya lakukan di luar, bak kata orang pandai makan, pandailah simpan.”


*kalau anda perasan, mereka ini datangnya daripada keluarga yang bermasalah. Penting dengan kerjaya, hingga soal didikan anak-anak terabai. Lihat sahaja, anak kepada pensyarah dan guru, boleh melakukan sedemikian rupa. Inilah yang dikatakan, kera dihutan disusukan, anak dirumah mati kelaparan. Sang ibu dan ayah, sibuk memberi pelajaran kepada anak orang lain, sehingga lupa kepada tanggungjawab hakikinya pada keluarga iaitu mendidika anak-anak.  Keluarga itu kunci kepada penyelesaian masalah moral remaja. Institusi keluarga di Malaysia perlukan perubahan, andai mahu mengubah keadaan..Ambil iktibar daripada kisah diatas, doakan mereka dan kita tidak lari daripada hidayah Tuhan..amin..