27 January 2014

Cerpen : Cinta Rashidi


“Hai” dia sapa aku perlahan. Aku memandang susuk yang menyapaku. Rashidi rupanya. Satu figura kebanggaan sekolah. Siapa yang tak kenal Rashidi, pemain bola sepak sekolah yang memiliki susuk tubuh yang menarik, serta dianugerahkan tuhan wajah yang tampan seiras pelakon Izzue Islam. Ramai pelajar perempuan menaruh harapan, tetapi hanya harapan yang tidak kesampaian. Setiap hari dia akan menerima surat cinta daripada pelajar perempuan yang kehausan kasih sayang seorang lelaki. Dia hanya mencapai, sehingga terserempak tong sampah dia akan buangkan tanpa membuka atau membaca. Dia sememangnya tidak berminat dengan hal itu, yakni bercinta. Mungkin dia ada alasan yang kukuh untuk berbuat demikian. Tiada sesiapa yang tahu. 

Pernah satu hari, ada seorang pelajar perempuan bernama Ayuni, cantik orangnya, juga antara pelajar dambaan pelajar lelaki disekolah itu, mengirimkan salam kepada Rashidi. Dia hanya menjawab sebagaimana tuntutan. Tanpa sebarang balasan seperti mana yang Ayuni harapkan. Dia berasa tercabar dengan tindakan Rashidi. Tidak pernah sekali dalam hidupnya ada lelaki yang menolak harapannya seperti Rashidi. Dia merancang strategi lebih cantik dan menarik demi melunturkan ego seorang lelaki milik Rashidi. Matlamatnya Rashidi tersungkur dikakinya, dan tergila-gilakannya. Dia yakin, suatu hari nanti Rashidi pasti jatuh cinta kepadanya. Ya, dia pasti. 

Pelannya pun bermula. Dia merancang untuk berselisih dengan Rashidi yang usai latihan bola sepak. Dia akan menegur Rashidi dengan sapaan yang paling manja pernah dia lakukan. Dia akan buat sehabis baik untuk ini. Namun, Rashidi tetap begitu. Membiarkan sapaan itu ditelan sepi. Dia cuma memandang, dan terus berlalu. Sedikit pun tidak memberi respon kepada sapaan Ayuni yang dikatakan paling manja pernah dia lakukan. Langsung dia tidak tergoda mahupun cair. Kekal hatinya pejal dalam menolak untuk bercinta. Dia nampak nekad.

Ayuni berasa sangat terhina dengan balasan Rashidi, lantas dia memutuskan untuk tidak akan lagi cuba menggoda Rashidi. Dia malu seperti air mukanya sudah dicemar dengan ludahan Rashidi. Begitulah hinanya dia rasa. Dia bersumpah, tidak akan lagi cuba menggoda Rashidi, dan sebaliknya. Dia nekad dengan keputusannya. 

Kisah Ayuni itu bukanlah penamat kepada cinta tak kesampaian seorang pelajar perempuan kepada Rashidi, bahkan berderet kisah yang boleh dikompilasikan menjadi sebuah drama berjudul cinta tak kesampaian. Bukan setakat pelajar sebaya, bahkan ada juga guru yang terpikat dengannya, terutamanya guru-guru wanita yang muda. Pernah suatu ketika, ada seorang guru pelatih menjalani latihan mengajar di sekolahnya turut menyimpan hati padanya. Bermacam-macam cara dicuba guru itu, namun sering sahaja gagal dan tidak berkesan. Sehinggakan dia nekad untuk menyatakan hasrat hatinya secara berdepan dengan Rashidi. Namun seperti biasa, Rashidi membalas dengan pandangan kosong, kemudian berliau berlalu tanpa sebarang patah kata. Guru wanita tersebut kecewa dan malu sehingga tidak dapat meneruskan latihan mengajar. Akhirnya dia tidak datang sekolah selapas daripada hari itu dan tidak menamatkan latihan mengajarnya. Dengar khabar dia gagal dalam pengajiannya untuk mendapatkan segulung ijazah sarjana muda pendidikan. Begitulah penangan Rashidi.

Begitu banyak mereka yang dikecewakan oleh Rashidi. Bukan sebab Rashidi curang, Cuma tidak membalas cintanya sahaja. Namun begitu, masih ramai yang memasang angan-angan untuk mendapatkan Rashidi, daripada pelajar tingkatan satu hinggalah pelajar tingkatan lima sebaya dengannya, semua memasang angan yang sama. Menakluki hati Rashidi. Memiliki hati Rashidi. Itulah impian mereka. 

Rashidi masih dihadapanku. Sapaannya masih belum ku jawab. Badan ku kejap. Rashidi, dambaan pelajar perempuan berada dihadapanku, dan paling penting menyapaku. Pandangan matanya tepat dalam anak mataku. Bibirnya menguntum senyuman yang mampu membuatkan wanita tidak keruan. Berdiri tegap dihadapanku, rasanya kalau pelajar lain berada ditempatku, pastinya sudah menjerit lantang, sesak nafas dan pengsan. Kegembiraan melebihi usaha untuk pernafasan. 

Dia masih memandang aku, mengharapkan balasan sapaannya. Aku menjadi pelik. Aku diam dan badanku terus menerus kejap. Akhirnya dia menghulurkan aku sehelai kertas kepadaku. Aku menyambutnya patuh. Aku pegang kertas itu dengan kuat. Tanganku terketar-ketar memegang kertas itu. Kemudian Rashidi berlalu pergi. Meninggalkan aku yang menggigil dan terpinga-pinga. Dia melangkah segak menjauhi aku. Mataku tertancap pada sehelai kertas yang diberikan oleh Rashidi sebentar tadi. Aku buka perlahan-lahan lipatan kertas itu. Secara kabur, beberapa aksara dapat aku lihat yang meminta aku untuk baca. Aku baca perlahan..

Hai, saya rashidi, dah lama saya perhatikan awak. Saya nak berkenalan rapat dengan awak. Kalau awak sudi, dibawah ni saya tuliskan nombor telefon saya. Terima kasih.

010421902
RASHIDI

Jiwaku luruh usai baca tulisan pada kertas itu. Hatiku tidak keruan. Aku menjadi buntu. Kenapa dia harus memilih aku? Kenapa? Betapa ramai pelajar perempuan gilakannya dan dia menolak, kenapa dia harus memilih aku? Rashidi sudah gila agaknya. Jerit aku dalam hati. Kertas ini juga membuatkan aku temui jawapan yang selama ini dicari oleh mereka yang kecewa dengan Rashidi dan pastinya aku tak akan menerima dia, kerana aku bernama AHMAD KHAIRI BIN MARZUKI !!