30 November 2010

bahagia seperti Aiskrim, Angin dan Luka

Menyingkap ruangan bahagia pada kali ini, tercetus gara-gara sebuah status di medan Mukabuku. Mencari dimana gerangannya bahagia.

Setelah aku membaca dan meneliti, istilah dan bait kata dalam status itu, aku mula tertanya-tanya. Dimanakah letaknya bahagia? Adakah bahagia seperti aiskrim yang bakal cair bila dibiarkan  berteman haba, atau sekadar angin yang menyapa sahaja, mungkin juga seperti parut luka tika jatuh daripada basikal. Ketiga-tiga teori ini adalah terhasil dari pojok akal aku berfikir, yang mempunyai kesinambungan terhadap kehidupan duniawi.
Pertama, bahagia seperti aiskrim. Jika aku teliti, aku melihat dari sudut bagaimana aiskrim itu bakal cair, dan sejauh mana aku bakal menikmatinya. Aiskrim akan cair apabila berada dalam suasana dan juga suhu yang kurang sesuai. Secara azalinya aiskrim menginginkan suhu yang rendah, agar bisa terus utuh menjadi sesebuah entiti bernama aiskrim. Namun apabila haknya di cabar, kelangsungan hidupnya di ceroboh, dibiarkan hidup dalam keadaan yang berbeza daripada azali, maka itulah yang memusnahkannya. Samalah seperti bahagia. Kebahagian akan kita peroleh apabila kita meletakkan diri kita pada tempat yang sepatutnya. Hakiki kita adalah kepadaNYA. Namun apabila kita merobohkan perhubungan dan menjauhkan diri daripada posisi asal kita sebagai hambaNYA, maka disitulah terletaknya kehancuran kita. Kemanisan dan keenakkan bahagia akan hilang seperti hilangnya kesedapan aiskrim tika dimamah kecairan.

Kedua, bahagia seperti angin yang menyapa sahaja. Datang dalam keadaan tanpa sedar, menghembus lembut, membawa keasyikan tika berlabuh menampar pipi. Kemudian terus pergi tanpa memalingkan simpati. Itulah angin. Melihat bagaimana keadaaan kedatangan angin dan pemergian angin dalam istilah bahagia. Bahagia datang dan pergi. Apabila bahagia menjelma, memunculkan diri, menyapa diri, kadang kala kita tak sedari. Datang tanpa memperlihatkan wajah, sekadar membawa kudrat yang tak dapat dilihat oleh pandangan mata, namun dapat dirasa oleh helaian roma dan dan juga jiwa. Apabila pergi, terus meninggalkan diri ini, walaupun dirayu penuh simpati, mengharap agar tidak meninggalkan diri ini pergi. Terus menghilang, seperti angin meneruskan kembara.

Ketiga, bahagia seperti parut luka. Menjejak bagaimana luka yang terhasil, sukar untuk dihilangkan walaupun menggunakan Bio essense. Akan terlihat juga kesannya, kesan fizikal juga mental. Apabila luka terhasil, sehingga mengariskan satu kenangan yang sukar dilupakan, sememangnya menjadi nostalgia buat sang memori. Hingga kadang kala teringin menggunakan magis Harry Potter untuk menghilangkan memori luka yang pahit. Samalah seperti bahagia, apabila ia datang, sehingga meninggalkan kesan, memang sukar untuk dipadam dalam memori. Sehingga terbawa-bawa dalam lena mimpi. Namun, kadang kala ia menjadi memori abadi, yang sukar dicari ganti, dan terus terpahat dalam hati.

Inilah teori-teori bahagia, hasil nukilan minda aku. Mohon jika terkurang,terlebih atau tidak berpuas hati atas keterangan teoriku, muncullah dengan sekalung komentar, agar aku bisa membetulkan kata-kata ku..

Disini, kusisipkan 9 tips untuk kehidupan yang lebih bahagia;
1. Jangan Takut dan Khawatir
2. Jangan Pernah Menyimpan Dendam
3. Fokus Pada Satu Masalah
4. Jangan Membawa Tidur Masalah Anda
5. Jangan Mengambil Masalah Orang Lain Untuk Anda Selesaikan
6. Jangan Hidup di Masa Lalu
7. Jadilah Pendengar yang Baik
8. Jangan Biarkan Frustasi Mengatur dan Bahkan Mengacaukan Hidup Anda
9. Bersyukurlah Selalu

lebih lanjut klik disini.

28 November 2010

kita popular!!

Membelek akhbar Kosmo, bertarikh 26 November 2010, tertarik dengan satu artikel berbunyi "Rakyat Malaysia Popular Di Internet"
tak disangka, kita menjadi popular di internet ya. Satu perkembangan yang amat memberangsangkan aku rasa buat pihak yang memperjuangkan jalur lebar.  Bukan mudah untuk menjadi popular, melihat sejarah Dato Siti Nurhaliza yang bertungkus lumus mempopularkan diri selama lebih 1 dekad, lihat juga kegemilangan Mawi mencapai populariti, ini bukan sesuatu yang mudah. Populariti bukan sesuatu yang mudah untuk dikecapi, bukan seperti mencapai putik kapas lalu mula menggerudi kenikmatan, bukan juga seperti minum air sirap ais tika berbuka puasa. Populariti kenikmatan dunia yang sukar dijangka, dan sukar untuk dikecapi. Tetapi buat mereka yang bertuah sahaja bakal rasai kenikmatannya. Pada hari ini, semua orang nak bergelar popular, tak terkecuali aku. Ingin merasai nikmat limpahan keglamouran(maaf bahasa yang @*&^#$@). Jadi apa sebenarnya popular ni?? Apa yang kita dapat bila popular?? dapat jadi macam Dato CT? macam Mawi?? Kalau bukan, jadi apa sebenarnya yang kita nak daripada popular?? Harta dan kekayaan??
Hakikat menjadi popular sangat pedih, aku pernah rasa ke? Memang aku tak pernah rasa. Tapi aku dapat merasa sengsara insan bergelar popular. Hidup kita terpaksa dikongsi bersama-sama peminat, apa yang kita lakukan menjadi perhatian, segala apa yang kita beli menjadi persoalan, apa yang kita ungkapkan jadi perbualan, dan apa yang kita lihat, jadi pertikaian. Ini ke yang kita nak dalam hidup? Kehilangan sudut privasi dalam hidup. Segala-gala dikongsi bersama. Kalau lakukan kesalahan terus dihentam dan dicerca. Hingga hilang maruah tergadai hina. Keluarga juga yang menjadi mangsa. Bagi yang ada anak-anak, kehidupan anak jadi perhatian, anak-anak menjadi tertekan, kalau ada ibu bapa, ibu bapa terpaksa tanggung malu atas perbuatan khilaf kita, jika ada pasangan hidup, terpaksa merasakan bahang gosip dan kehidupan berumah tangga seringkali dihiasi kuntuman skandal yang tak henti-henti.
Keselamatan diri terganggu gugat. Kehilangan masa yang berharga buat insan tersayang dan MAHA PENCIPTA. Konspirasi mula menjalar memamah hati, jiwa semakin kacau, hasad dan dengki mula bertakhta dalam hati. Jiwa tak tenang, kehidupan semakin ralit dibuai keindahan duniawi. Semuanya berubah secara total. Hingga satu saat kita teringinkan bersama masa silam walaupun tidak seindah hari ini.
Fikir-fikirkan sebelum kita menjejak popular, timbang-timbangkan sebelum berniat popular. Moga kita tidak lari dari tugas asal, sebagai khalifah di bumi tuhan..



Ikhlaslah menjadi diri sendiri agar hidup penuh dengan ketenangan dan keamanan, hidup tanpa pegangan ibarat buih-buih sabun, bila-bila masa ia akan pecah.

24 November 2010

hati kita untuk siapa..

Susah untuk melampiaskan kata-kata berpegang pada "hati kita untuk siapa". Sesungguhnya kita sebagai manusia dianugerahkan olehNya hati dan perasaan, supaya saling mengasihi antara insan. Juga buat akal untuk berfikir kesinambungan kematangan. Namun apabila dijejak istilah hati dalam pojok pemikiran insan hari ini, terlalu jauh menyimpang daripada istilah asal. Terlalu ramai mencarca marbakannya. Lagi-lagi anak-anak ranum yang masih menguntum. Istilah terpesong selayaknya buat mereka. Hati mereka majoritinya buat teman jiwang dan ranjang mereka semata-mata. inilah hakikatnya. Masing-masing berlumba-lumba memasang impian untuk memberi hati buat insan yang kegersangan jiwa dan perasaan. Aku?? terperangkap dalam kalimah cinta. Cinta adalah alasan yang paling sempurna dalam menutup kesalahan hati. Kadang kala manusia tertipu gara-gara cinta. Terutama buat wanita-wanita. Bodoh ke wanita?? Tak. Mereka tak bodoh, cuma masih belum jumpa istilah pandai. Lelaki juga tak terkecuali. Cinta lelaki dan cinta wanita walaupun satu perkara yang berbeza, namun masih lagi terikat pada kerangka yang utama; saling mengasihi.
Aku teringin menyingkap kisah percintaan. Aku ingin merasai nikmat percintaan. Namun benda itu semua perkara sakit! Jiwa semakin kosong. hati terpaksa dibahagi bahagikan buat sang pencinta. Jiwa terpaksa dipecah-pecah dan disedekah untuk peminta cinta. Semua berubah bila menceburi istilah cinta. Hidup tak sama dengan sebelumnya. Bukan ini yang aku nak. Aku tak nak kehilangan masa yang berharga, kerna aku terpaksa membuang masa bersama si dia. Aku tak mahu kehilangan ruang dalam lingkaran fikir aku, kerna terpaksa memberikan separuh ruang untuk aku memikirkan si dia. Aku tak mahukan kehilangan masa berharga buat teman-teman yang lagi memahami aku. Aku rela kehilangan si dia daripada aku kehilangan teman-teman yang sangat berharga buat aku. Tapi aku kan insan biasa, sering tersalah langkah memilih haluan. Hingga aku terpaksa menyesal kerna salah langkah..
Tatkala melihat insan lain berpacaran..hati ini seakan-akan tersiat meminta dikasihi untuk saling mengasihi. Terpaksa aku memujuknya.."hati aku hanya untuk insan yang setia, yang saling berkasih kerana Dia.."

"Kehidupan ini dipenuhi dengan seribu macam kemanisan tetapi untuk mencapainya perlu seribu macam pengorbanan"

23 November 2010

Aku Bukan Tuhan.

untuk melarikkan kata-kata bersandarkan "aku bukan tuhan" terdetik di hati aku, bisakah aku? Yakin itu percaya pada keupayaan diri..

aku bukan tuhan. Aku hanyalah sekadar seorang manusia biasa, yang punyai rasa untuk ketawa, menangis, buang angin, juga sendawa. Aku bukanlah seorang yang sempurna. Janganlah menafsir diriku seperti malaikat yang bisa terbang mencatat pahala, aku bukan seperti itu. Aku tak mampu untuk menerima, dan memikul kepercayaan yang terlalu tinggi. Itu bukan aku. Walaupun kalian menatap aku seperti manusia yang sempurna, aku masih jua memiliki keterbatasan yang mungkin tak pernah kalian terlihat. Pandanglah aku dengan kesederhanaan, bukan dengan kemuliaan. Takut nanti kalian kecewa kepada pendapat jiwa kalian sendiri. Setiap manusia sememangnya mahukan kesempurnaan. Aku juga bergitu. Itulah cita-cita sejak mengengam janji di dalam rahim lagi, namun apalah daya, aku hanyalah sekadar insan biasa. Tak punyai apa kelebihan, sekadar memiliki keperluan untuk terus bernafas di bumi tuhan, dan terus mengejar cita dan harapan seperti kalian. Kesempurnaan bagiku bukanlah satu keperluan, tetapi sekadar boneka untuk menipu kenyataan. Tiada manusia yang sempurna, kecuali mereka Insan Terpilih..
Untuk apa menjadi sempurna?? Untuk bergaya, menunjuk-nunjuk segala apa yang kita ada?? mendabik dada bongkak menyanjung hormat prinsip bangsawan mulia?? atau hendak berdiri memandang hina insan-insan kurang sempurna?? Bodoh lah manusia jika ini matlamat utama.. Biar kita kurang sempurna, asalkan tingkah laku kita mulia, biarkan kita dihina asalkan disisiNya kita bahagia, buat apa mengejar kesempurnaan jika batas kehidupan kita korbankan, buat apa memiliki kesempurnaan jika kita terpalit kehinaan. Kesempurnaan hanyalah sekadar ungkapan. Ungkapan yang ralit terukir pada bibir insan yang tak sedar dek untung, yang tak pernah merasai nikmat kenyukuran. Mereka inilah yang lapar dan dahaga akan kesempurnaan, hingga lupa pada harga kemuliaan disisiNya. Moga aku terus menjadi insan biasa, rakan dan taulan juga insan biasa..asalkan disisiNya, kita luar biasa...

Nabi SAW bersabda; Siapa memberi kerana Allah, menolak kerana Allah, mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah dan menikah kerana Allah, maka sempurnalah imannya.
(Riwayat Abu Daud)




21 November 2010

di Mana kan Ku cari ganti..


dimana kan ku cari ganti, yang serupa dengan mu. Meskipun bertabur seindah wajah mu, tak mungkin bisa serupa dengan diri mu. Biarlah kata manis menghiasi bibir ini, hanya sekadar ingin meluah hasrat dari lubuk hati ini. Bisakah madah membalas budi mu? atau sekadar melempar sekalung penghargaan sudah memadai memadam lembut segunung jasamu? Tak mungkin kan berlaku. Walau kau terpaksa menderita saat-saat penghujung nyawa, tika melodi mu seakan-akan malap menghiasi halwa telinga, kau tetap tabah dan berharap, agar susunan melodi indah mu tetap mekar menghiasi strata nusantara. Kini kau telah tiada.. Meninggalkan segugus cenderamata buat anak-anak bangsa. Melodi mu kini segar kembali melatari dunia seni, menjadi kelompok sandaran buat siapa mula bertapak di arena seni.
Hakikat perjalanan dunia, tika dibawah semua lari mengecam hina, bila terapung diudara semua seakan terpana lantas sibuk membelek coretan mu. Biarlah hakikat ini terus menjadi hakikat, dan melodi dan irama kau terus subur mengharumi medan seni. Kaulah insan serupa seni, susah kan dicari ganti....P.Ramlee..

20 November 2010

meniti hari perjuangan..

Inilah detik, inilah ketikanya. Aku mula bertatih melalui lorong-lorong ujian. Bukan tak biasa, tapi ini kali pertama aku merasa suasananya. Aku seperti anak-anak kecil berlari mengharap sesuatu yang indah dan ajaib akan berlaku, seperti kisah dongeng yang tak pernah menjadi realiti. Mimpi aku, semua perjuangan yang berteraskan kertas peperiksaan terhapus buat selama-lamanya di alam nyata ini. Alangkah bahagianya dunia, budak-budak sekolah menjerit kegirangan, apabila mimpi aku ini jadi realiti. Tapi ini bukanlah yang menjadi idaman kalbu para guru..
Kenapa mesti kita hadapi peperiksaan?? Hakikatnya manusia tak suka akan ujian. Inilah yang perlu kita terima, agar nanti kita menjadi manusia biasa, bukan separa biasa atau dalam bahasa mudah, manusia tidak normal. Bila hari perjuangan mula melangkah menghampiri kita, dunia seakan-akan menyindir kita, "dah habis study?" itulah soalan lazim yang akan kita dapat bila menjelang hari perjuangan. Rasa nak bagi cenderahati berupa penampar secara percuma sahaja kepada sesiapa yang bertanya soalan itu. Namun apakan daya. ku gagah juga menerima soalan yang agak mencabar minda ini.
Kebiasaannya, pada hari sebelum perjuangan bermula, index penggunaan tenaga elektrik meningkat daripada paras normal, sehinggakan pihak TNB terpaksa membuat spekulasi liar."kabel dicuri". Malahan, suasana persekitaran kolej atau kampus kelihatan sunyi sepi, seakan-akan bandar mati yang baru lepas berlaku peristiwa kebocoran wabak yang membawa virus-virus zombie. Yang kelihatan hanyalah helaian akhbar yang berkibaran menunjuk tanda hormat pada sang bayu yang sudi menghembus nafas, ditemani juga nyanyian Negaraku oleh sang unggas yang menunjukkan semangat patriotiknya yang tidak berbelah bahagi. Tidak lupa buat awan comel yang berarak lembut memayung bumi dari kegersangan terik mentari. Inilah suasananya, inilah masanya, apabila peperiksaan hampir tiba. Mungkinkah  satu hari nanti akan ada keajaiban yang bakal merubah semua ini?? ku tunggu jawaban untuk ini.....

18 November 2010

berkorban kah aku..

bila sebut istilah korban, tidak lari minda kita mengulit gambar-gambar lembu, kambing, unta, dan pelbagai jenis haiwan berkaki empat, malahan b*** juga mungkin tersenarai. Inilah persepsi aku saat aku kecil, apabila tiba Hari Raya Aidiladha, aku akan bersama kawan-kawan berjalan kaki, atau lebih canggih naik basikal ke surau yang dekat dengan rumah aku. Kami bersama-sama masyarakat sekitar menyaksikan satu upacara yang jarang berlaku, dan hanya setahun hanya sekali sahaja berlaku. Itulah yang membuatkan aku teruja menyaksikannya. Namun itu dulu, ketika aku masih lagi bodoh menelaah ilmu dunia. Tapi kini hakikat yang sama seakan berulang. Anak-anak kecil menggambarkan perkara yang sama dengan apa yang aku bayangkan tika kecil. Lembu, kambing, unta, biri-biri, dan sebagainya, melatari suasanan Hari Raya Aidiladha. Apakah sebenarnya berkorban??

Tika kini aku masih lagi mencari erti pengorbanan dalam diri aku. Tidak ku jumpa lagi hakikat sebenarnya tentang erti pengorbanan. Namun mungkin nanti ada sinar pengharapan, yangbakal membuka jendela masa hadapan buat aku kenali erti pengorbanan yang sebenarnya. Mungkin akan ada satu haru nanti..Insyaallah..

17 November 2010

tonton The Social Network

Ingin mengetahui bagaimana Facebook bermula? Filem ini menceritakan bagaimana, seorang mahasiswa Harvard dan genius dalam pengaturcaraan komputer, Mark Zuckerberg membina rangkaian sosial dunia yang merevolusikan komunikasi. Antara pelakon-pelakon terkenal adalah seperti JESSE EISENBERG, ANDREW GARFIELD, JUSTIN TIMBERLAKE, ARMIE HAMMER and JOSH PENCE, dan ramai lagi. Filem ini adalah berdasarkan sebuah buku bertajuk "The Accidental Billionaires" oleh Ben Mezrich.

Untuk keterangan lanjut mengenai filem ini dan bagaimana untuk mendapat tiket-tiket percuma, sila lawati Peraduan Blogger Filem "The Social Network".

Filem ini akan ditayangkan di pawagam pada 2 Disember 2010!

01 November 2010

antara KAKI dan BOLA..

apa kaitannya antara kaki dan bola? adakah bersaudara yang mempunyai pertalian ukhwah yang sejati? ataupun sekadar musuh dalam lipatan?
bola adalah satu objek yang biasa, namun apabila dilihat menerusi pelbagai kaca mata, akan terserlah keindahan sebiji bola. Bola bukan sekadar bola, bulatan yang memiliki dua warna atau lebih, tetapi tersimpan jutaan rahsia yang selama ini tersembunyi disebaliknya. Apabila kita soroti sebiji bola, apa yang kita lihat adalah sekadar realiti yang selama ini mengaburi pandangan mata kita. Namun, apabila kita hayati pandangan terhadap sebiji bola, kita akan dapat rasa dan nikmati keindahannya. Cuba hayati, fahami, dan selami jiwa sebiji bola, barulah kita akan tahu betapa bertuahnya kita hidup pada zaman yang memiliki objek bernama bola. Keindahannya tidak terungkap oleh kata-kata, bahkan jiwa seolah-olah meracau dan meroyan apabila terkesima dengan keindahan bola. Itulah penangan sebiji bola terhadap jiwa...

Apa kaitannya dengan kaki?? siapakah kaki?? apakah kaki?? tatkala sedang kita menikmati keindahan bola yang tiada tandingnya, datang anasir kurang ajar rakus meragut jiwa yang sedang lena dibuai keindahan pesona bola, yang bernama kaki. Lantas kaki dengan tanpa usul periksa menghayun langkah menghentam sebiji bola tanpa belas kasihannya. Zalim!! tidak terhenti disitu, tubuh sebiji bola terus melambung longlai tanpa kudrat juga tenaga lalu terhempas dimuka bumi..alangkah kasihannya melihat sebiji bola, longlai tak berdaya, mengharap simpati dan belas kasihan, namun tiada siapa yang sudi mendengarnya. Kaki terus mengasak tubuh sebiji bola yang sudah kehilangan kudrat, disepak, digelecek, dan ditendang sesuka rasa. Apakah zalimnya dirimu wahai kaki, dengarlah rintihan sebiji bola yang mengharapkan secebis belas kasihan dan ihsan..kaki terus bermaharajalela, zalim tanpa hadnya, dan sebiji bola terus ditindas dan diseksa..Apakah kesudahannya? sampai bila sebiji bola harus menderita?? kaki, masa mu akan tiba..