08 November 2013

Cerpen : Masa Rehat



Loceng sekolah masih belum berbunyi. Sama ada masa rehat belum mula, atau loceng itu sendiri sudah rosak. Masing-masing dalam kelas menunggu resah. Bila agaknya loceng akan berdering. Perut sudah berirama menahan lapar. Apa yang disampaikan oleh guru dihadapan kelas sudah menjadi hambar. Langsung tidak diterima walaupun sebutir patah bicara. Cuma yang ditunggu sebaris ayat, “terima kasih kelas”. 

Jarum jam sudah lebih daripada sepatutnya masa rehat. Buku-buku diatas meja sudah mula dikatup rapi, memberi signal kepada guru bahawasanya masa sudah tamat. Ada yang sudah mengetuk-ngetuk meja tanda protes dengan kelewatan guru membenarkan mereka keluar rehat. Namun, guru terus pengajarannya. Tanpa sedikit pun endah dengan apa yang dilakukan pelajarnya. “baiklah, saya mahu semua siapkan latihan yang saya berikan tadi sekarang juga, kalau tak siap, awak semua tak boleh keluar rehat”. Arahan jelas. Kedengaran pelajar mengeluh geram. Protes lagi. Guru terus dengan arahannya, tanpa sebarang tolak ansur. Dia nekad. 

“siapa yang sudah siap, awak boleh hantar, dan awak boleh keluar ke kantin”. Juga jelas arahan guru. Beberapa pelajar bangun, membawa buku latihannya dan diletakkan dihadapan guru itu. Jumlahnya 9 orang. Maknanya berbaki 24 orang lagi belum siap. Guru terus memandang ke arah pelajarnya. Masing-masing tekun menatap buku latihan sambil tangan menari laju menyiapkan latihan yang diberikan. Pandangan mata bersepah melihat buku latihan kawan. Mencari jawapan. Ketika ini, apa yang diharapkan adalah menyiapkan latihan secepat mungkin, sementara masa rehat masih berbaki. Lambaian nasi lemak mula memanggil ghairah. Masing-masing tidak mahu ketinggalan menikmati setiap suapan nasi lemak yang rasanya cukup lemak, ditambah dengan kepedasan sambal ikan bilis mampu membuatkan liur kecur tanpa diundang, sambil dihias dengan hirisan timun dan butiran kacang yang rangup menambah rasa pada hidangan. Namun begitu latihan mesti disiapkan. Masing-masing mula majukan kelajuan, demi menyiapkan kerja yang diberikan.

Seorang demi seorang mula menamatkan tulisan. Saat mencoretkan aksara terakhir jawapan, satu kelegaan timbul memuncak tanda kejayaan. Tanpa sebarang semak semula, keyakinan menjadi satu keberanian. Buku ditutup seraya menuju ke hadapan guru. Menghempas buku tanda protes untuk kali ketiga. Tangan guru dicapai, dihalakan ke muka lantas dicium, “terima kasih cikgu”. Usai tangan dilepaskan masing-masing meluru laju ke pintu keluar, untuk membalas lambaian nasi lemak yang kegersangan. 

Tinggal tiga orang lagi masih belum menamatkan perlumbaan demi menyiapkan latihan. Namun tiada sebarang riak resah menanti masa rehat sudah. Tangan terus menyalin jawapan rakan, bukan dengan usaha sendiri mencari jawapan. Guru membiarkan, tanda dia memberi kelonggaran. Walaupun segarang mana guru dilihat oleh anak muridnya, masih terselit sekelumit rasa kasih dan sayang, meskipun tidak dizahirkan. 

Masa rehat sudah berlangsung 10 minit. Maknanya tinggal lagi 15 minit. Tiga pelajar ini masih ralit menyalin. Membiarkan guru sendirian memandang timbunan buku dihadapannya. Sekali sekala jam tangan dipandang, serentak berdehem beberapa kali. Memberi petanda kepada anak muridnya agar cepat menyiapkan latihan. Namun tiga pelajar ini masih begitu. Jari jemari dibiarkan terus menari mencoretkan jawapan. Tanpa sebarang riak kesan provokasi yang dilontarkan guru. Mereka membalas dengan ketenangan. 

Guru semakin resah. Masa rehat berbaki 10 minit. Dia mula memikirkan sama ada anak muridnya sudah makan atau belum, ataupun mereka sengaja melambatkan masa untuk mengelakkan diri ke kantin kerana tiada wang sebagai belanja harian. Macam-macam difikirkan guru. Semuanya menjurus kearah negatif. Buruk sangka mula menguasai jemala kepala. Dia bingkas berdiri, melangkah menghampiri ketiga-tiga anak muridnya. Dia terus melihat kearah buku latihan anak muridnya. Masih belum disiapkan. Tinggal beberapa bahagian yang kosong. Dia jadi resah. 

Akhirnya dia bersuara, “sudah, awak semua siapkan dirumah”. Ketiga-tiga anak muridnya mengalih pandangan kearah gurunya. Mempamerkan wajah polos. Tanpa sebarang perasaan. “baik cikgu” balas ketiga-tiga anak muridnya. Mereka berdiri, dan berlalu pergi. Tanpa sempat menghulurkan tangan bersalaman dengan gurunya seperti kebiasaan. Dia menjadi pelik. 

Dia tinggalkan kepelikan dan kebingunan itu. Lantas dia menyusun buku-buku latihan diatas meja dihadapannya, dan mahu bergegas ke bilik guru, kerana selepas ini dia ada sesi pengajaran di kelas lain pula. Buku-buku itu didakap rapi dalam dadanya. Dia melangkah keluar daripada kelas 2RK1, dan melalui ruang koridor bangunan tingkatan dua. Dia berselisih dengan dua pelajarnya yang keluar awal kelasnya tadi. “ lambatnya cikgu keluar kelas kami, cikgu buat apa?” tanya Azar dan Izham. “kawan kamu la lambat, Faris, Ezwan dan Fathullah”. Balas guru itu bengang. Azar dan izham saling berpandangan. Riak wajahnya berubah pelik. Lantas dia berkata, “cikgu, Faris, Ezwan dan Fathullah tak datang la hari ni, demam”. Guru itu terdiam. Memandang tepat wajah Azar dan Izham. “kamu biar betul Azar” tanya guru itu untuk kepastian. “betullah cikgu, cikgu tak nampak ke dalam buku rekod pergerakan pelajar, Faris, Ezwan dan Fathullah tak hadir”. Baru guru itu teringat, dia tidak memeriksa buku rekod pergerakan pelajar yang merekodkan setiap pergerakan dan kehadiran pelajar. Dia menjadi pelik. Kalau Faris, Ezwan dan Fathullah tak hadir, habis siapa ketiga-tiga pelajar yang ditunggunya sebentar tadi? Bulu romanya mula berdiri. Persoalan itu berlegar bergegas mencari jawapan. Tidak juga dia temui jawapan. Akhirnya dia memilih untuk berlalu pergi, meninggalkan Azar dan Izham sendiri. Biarlah hanya dia mengerti, apa yang terjadi untuk hari ini. Persoalan itu, kekal mati tanpa jawapan yang pasti. Disatu sudut hujung koridor, tiga susuk tidak berwajah tajam memerhati...

*cerita ini rekaan semata-mata tanpa ada kena mengena dengan yang hidup ataupun yang mati... 


03 November 2013

Cerpen : Kisah 73 hari..




Hari ini hari ke-73 hari aku sebagai kekasih dia, dan hari ini juga hari terakhir aku kenal dia sebagai kekasih. Tamat sudah riwayat kasih kami, yang bercambah mekar disulami kuntuman sayang yang mewangi menghiasi perjalanan hubungan kami. Terlalu indah perjalanan kami, penuh dengan senyuman dan tawa, Cuma sesekali terselit cemburu tanda sayang yang setia. Teringat lagi saat mulanya hubungan kami. Dia menyapaku ringkas, lantas aku membalas pantas. Perbualan menerusi aksara akhirnya membuah kepada lantunan suara menembusi ruang jauh hingga ke telinga. Ya, dia jauh. Jauh daripada pandangan mata, namun kehadirannya sangat dekat dalam hati. Subur mewangi sentiasa menyinari setiap hari yang aku lalui. 

Masih aku ingat, saat dia gundah aku ceritakan kisah lucu, supaya dia tersenyum melupakan saat gundah yang dialaminya. Pabila aku berdepan dugaan, dialah tempat aku meluah cerita dan sengsara. Dia cekal mendengar setiap butir bicara aku. Rajin memasang telinga saat aku bercerita. Setia dicorong telefon menanti buah bicara aku satu persatu. Akhirnya kami terlena dalam buaian suara saling bercerita. Indahnya saat dan ketika itu aku rasa. 

Tidak terhenti disitu ceritera cinta kami. Janji setia sentiasa menggauli butir bicara, ataupun kiriman aksara ringkas buat dia. Dia membalas dengan penuh cermat, diisi balasan setia yang dipateri bersama. Setiap hari kami begini. Tiada jemu atau benci. Tiada perasaan yang mampu merosakkan kasih dan cinta kami. Terlalu indah yang aku lalui. Sehinggakan pernah aku kirimkan nota buatnya, tiada lelaki lain didunia selepas diriku ini, akan menyayangi dirinya seperti mana aku sayangi dirinya setulus hati. Dia membalas dengan senyuman bahagia. Aku turut bahagia, terus menganyam cinta untuk hari-hari seterusnya. 

Dalam bercinta, rupa-rupanya tidak selalu cerah. Mendung sentiasa ada menanti dihari mendatang tanpa aku sedari. Gelora dalam hubungan ini mula menitiskan goyahnya. Semakin hari dia mula berubah. Sedikit demi sedikit cinta kami goyah. Dia tidak seperti dia yang aku kenal dulu. Cara menyapa dalam bentuk aksara juga berbeda. Aku perasan, namun aku diamkan. Aku cuba cari dimana agaknya silap dan salah aku padanya. Akhirnya aku bungkam sendiri. Buntu mencari jawapan yang aku sendiri tak tahu dimana perlu aku cari. Lantas aku bertindak bertanyakan sendiri padanya. Mengapa dia menjadi begini. Jawapan lahir daripada mulutnya, tiada apa yang berbeda, sama sahaja. Bertambah buntu jiwa dan raga. Aku diamkan. Mengalah demi dia yang aku sayang dan cinta. Ya, dalam hubungan, mengalah bukan bermakna mengaku kalah, cuma langkah untuk memberi peluang kepada hubungan yang lebih baik. Aku memilih jalan mengalah. Aku teruskan hubungan ini dengan perasaan yang aku pendam. Pendam menjadi satu beban yang membunuh kebahagian hari-hariku. 

Dia tetap juga begitu. Tidak mengubah apa sepatutnya diubah. Terus menerus membuat aku terseksa dengan tindakan yang sebenarnya cuba mencabar aku sebagai lelaki. Aku tetap sabar dengan tindakannya, kerana aku terlalu sayangkannya. Tiada lain kuharapkan dalam percintaan ini selain untuk bersama dia selamanya. Aku terus mengharap agar harapanku ini terus membara. Namun harapan tinggal harapan. Dia makin jauh meninggal aku dalam kesepian. Aku jadi sunyi. Masa untuk diri ini sudah ditinggal pergi. Dia asyik bersama entah siapa aku tidak pasti. Bila kutanyakan siapa, jawabnya sahabat jauh bercuti. Setiap hari bersama menggauli teman tanpa rasa bersalah pada diriku ini. Aku terus menanti dia membalas masa untuk bersama aku. 

Tupai tidak selamanya melompat atas pokok, sampai masa jatuh ke tanah juga. Satu demi satu penipuan aku bongkarkan. Dia membalas dengan penafian. Terlalu banyak ketidakjujuran dalam perhubungan kami ini. Aku terus terseksa begini. Hilang selera untuk menjamah hidangan. Perut berkeroncong lapar, namun perasaan membunuh niat untuk perut diisi. Aku terlalu penat begini. Aku diseksa tanpa jawapan yang pasti. Teka teki menyelubungi hubungan kami. Dia, terus menerus begitu tanpa sekelumit pun riak bersalah. Bahkan menyalahkan aku yang berubah, kononnya terlalu serius dalam perhubungan. Kalau dah nama cinta, serius itu aku jadikan panji untuk aku kibarkan bukti kesetiaan aku padanya. Dia memandang remeh, malah tidak menerima keseriusan aku dalam hubungan kami. 

Aku nekad, biarlah aku tamatkan ceritera ini. Sudah terlalu sakit aku untuk hadapi. Aku juga punyai perasaan dan hati untuk dijaga dan dikasihi. Namun sering sahaja aku disisih begini, membunuh cinta aku perlahan-lahan hingga mati. Cinta yang aku semaikan semakin layu. Baja dan air sudah lama aku tinggalkan. Aku teruskan bercinta dengan dia. Namun dengan pura-pura, tetapi dijauh sudut hati, aku terlalu cinta akan dia. Kasih aku hanya untuk dia. 

Sampai suatu ketika. sabar aku semakin goyah. Akhirnya aku bertindak, menuntut penjelasan tentang hubungan kami. Aku mahukan jawapan, supaya aku dapat hidup tenang. Aku sudah tidak tahan menanggung seksa begini. Digantung tidak bertali. Aku terus mahukan jawapan. Nekad dalam hati. Akhirnya dia menyerah diri, mahukan perpisahan sebagai pengakhiran hubungan kami. Saat membaca aksara dikirim, beban dipundak ini terlepas jatuh. Membiarkan badan aku terbang ke awangan. Bebas menikmati udara ketenangan. Aku merasakan terlalu lega akibat perpisahan. Bukan kesakitan atau kesesakan. Mungkin kerana aku sudah terlalu lama hati aku disakiti, inilah ganjaran kesabaran aku selama ini. Aku redha atas keputusan ini. Dia mahu aku tinggalkan dia pergi. Memilih haluan sendiri. Aku terima. Ya aku terima.



Namun, dalam hati ini perasaan kasih sayang aku padanya tak akan mati. Kenangan yang dia curahkan kepadaku akan aku kanvaskan dalam lukisan kenangan. Supaya hari-hari aku seterusnya tiada lagi insan seperti dia menaungi hati nurani aku ini. Biarlah aku sendiri, bertemankan sepi, tetapi Tuhan kurniakan aku sahabat, dan orang sekeliling aku yang lebih menghargai dan menyanyai aku tidak seperti mana dia hargai dan sayangi aku. Biarlah kisah ini jadi teladan buat diri ini. Ku abadikan dalam coretan, tidak akan aku layarkan dalam kisah bualan. Biar menjadi ceritera terindah, dan tersakit pernah aku alami. Kisah cintaku 73 hari..

*cerita ini tiada kaitan dengan yang hidup ataupun sudah pergi. Cerita semata-mata. 

30 October 2013

politik : populariti



Dalam keterbukaan menerima pandangan, setiap lapis masyarakat perlu diselak, supaya hasilnya lebih meyakinkan. Usah mendabik dada dengan cadangan yang dicanangkan, untuk meraih populariti yang akhirnya membunuh diri. Sampai bila mahu mendabik dada dengan sejarah silam yang semakin pudar harganya oleh generasi muda. Sampai ketika, rakyat bosan dengan gula-gula, akhirnya memilih pelan kedua sebagai laluan negara. 

27 October 2013

bersedia dan berharap, ajal dan hidup


Saat Tuhan limpahkan rahmat dan kasih sayangnya, dalam pelbagai bentuk dan cara. Kita sebagai hamba dan makhluknya, redhalah dengan ketetapan daripadaNYA. Hidup ini indah, kadang kala perkara gundah menjadi penawar yang memaniskan kehidupan. Kadang kala juga, perkara susah menjadi hiasan terindah dalam kembara seorang insan. 



Rencana Tuhan itu maha hebat. DIA lah yang mengatur setiap ciptaannya. Cuma kita sahaja yang alpa dan lupa, akan peringatan dan amaran dariNYA. 

Sesungguhnya ujian Tuhan itu adalah berdasarkan kemampuan hambanya, kerana dia lebih mengerti siapa hambanya. DIA tidak akan sesekali membebankan hambanya dengan perkara yang hambanya sendiri tidak mampu tanganinya. 

Bersedialah kita seperti bila-bila masa ajalkan menjelma, berharaplah kita bagaikan hidup berkurun lama.

21 October 2013

ingatan yang mengingatkan

Sudah lama blog ini dilupakan. Sudah lama coretan tak ditebar buat tatapan kalian. Sungguh masa semakin mahal untuk dibelanjakan mencoret pengalaman. Untung hari ini ada seseorang yang mengingatkan kewujudan blog ni. Terima kasih Cik N. 

Sejak berpraktikum, masa menaip dalam lembaran ini kurang. Masa banyak di sekolah. Meluang masa bersama setiap susuk di sekolah, cuba mencipta momen terindah sebagai bekalan untuk selepas tiga minggu mendatang ini. 



Selepas tiga minggu mendatang ni, akan mula merindui setiap detik dan langkah di STAD. Setiap ruang akan melayang mengimbau memori indah disini. Haish belum habis praktikum dah jadi rindu. 


02 September 2013

kuburkan panji, tegak kan tali leher mu

Merdeka baru-baru ni, ada segelintir yang nakal mengusik tentang bendera Malaysia. Kononnya jalur gemilang bukan bendera Malaysia, bahkan Sang saka malaya adalah bendera Malaysia sebenarnya. Entahlah, sukar mahu baca idea dan doktrin yan dibawa segelintir manusia. Pemahaman yang berbeza malah jauh dari kesantunan akal yang wajar dipertimbangkan dengan adil dan saksama. 



Mengapa bila tidak sehaluan dalam pemikiran, perkara asas perlu dipertikaikan? Kalau nak bergaduh dalam soal politik, ikutlah anda, hak demokrasi, tetapi apabila melibatkan jati diri dan maruah bangsa, anda sanggup gadaikan demi kepentingan politik anda sendiri. Apa salahnya jalur gemilang untuk ditukar kepada bendera entah apa? Kalau sekalipun bendera sang saka bangsa adalah bendera asal, kita juga sudah menerima jalur gemilang sebagai bendera kebanggaan bangsa dan negara. Dicipta anak melayu, dan dicintai oleh seluruh marga malaya ketika itu, akhirnya berkibaran megah hingga ke hari ini. 

Kenapa tiba-tiba timbul isu mahu tukar bendera? Masing-masing Tuhan beri akal untuk fikir, bukan sembrono menyokong membabi buta. Tindakan bersebab dan rasional adalah perlu, bukan tindakan yang diisi emosi dan amarah. 

Sebagai marga Malaysia, aku cintakan Malaysia. Aku sayang jalur gemilang. Terima kasih Malaysia !


21 August 2013

masa yang hilang

Hari ni baru ada masa nak update blog. Berapa banyak masa aku hilangkan untuk tulis blog. Sebenarnya banyak idea, bila samapai saat menarikan jemari, hilang gugur satu persatu entah cicir di mana. Mungkin kena catat setiap ide agar tidak terlepas terbang hilang dan akhirnya aku yang rugi...


20 August 2013

terlanjur sejak darjah 6

Hari ni tergerak nak buka blog, sebab malam semalam ada seseorang bagi tau yang dia baca blog aku. Terima kasih banyak2. Bila aku buka, cek bahagian komen, ada tertarik untuk buka post ni, sebab ada komen baru. Bila aku buka, dan baca komen tu, perasaan jadi lain, tak tahu nak digambarkan. Kalian boleh rujuk pada tulisan ni, cerita seks remaja.

Ada satu komen yang buatkan aku berfikir, dan mula mencerna, akhirnya aku jumpa jawapan. Apa komennya? 




Mungkin disebabkan kekangan masa, aku jadi terlepas untuk memeriksa dan mengemaskini komentar yang diberikan oleh orang yang membaca. Terima kasih buat echa kerana sudi berkongsi cerita, walaupun secoret pengalaman yang hanya echa sahaja rasa, kami yang membaca, terasa bebannya. Memandangkan echa cuma menggunakan akaun biasa, tanpa pautan, maka sukar saya hubunginya. Kalau echa baca entry ni, boleh je hubungi saya di fb.

Untuk echa, nafsu memang begitu, semakin dilayan, semakin dia membara, sama seperti pisau, semakin diasah, semakin tajam dan melukakan. Mungkin echa dah cuba banyak cara, dan masih tak dapat tinggalkan perkara tu. Inilah ujian Tuhan buat manusia. Mungkin echa antara terpilih untuk Tuhan uji dengan sedemikian rupa. 

Echa kena percaya, semua perkara terjadi bersebab, dan hanya Tuhan Maha Mengetahui. Kalau echa bersungguh-sungguh, insyaallah DIA dengar doa echa, berdoalah banyak2. Mintak dia kurniakan hidayah, sesungguhnya hidayah milik Allah SWT. 

Kalau ada yang menghasut, terutamanya kawan-kawan, caranya tinggalkan kawan-kawan yang menghasut. Cari kawan-kawan yang boleh bimbing kita ke arah lebih baik, kalau tak boleh pon, sekurang-kurangnya elakkan buat perkara tu. Insyaallah kalau kita berusaha ke arah kebaikkan, Tuhan bantu kita, yang penting sabar kena ada. 

Aku dan sahabat yang lain, doakan agar echa dan kita semua agar dapat hidayah daripada Allah SWT, kembali ke jalan yang benar, dan diberi perlindungan daripada kejahatan syaitan yang direjam. Syaitan memang penggoda, kerja kita untuk tangkis godaan mereka yang dilaknat. Insyaallah Tuhan permudahkan...amin.. 

27 July 2013

2 minggu

Hari ni hari sabtu, maknanya dah dua minggu pengalaman praktikum aku kutip. Dua minggu nampak je sikit, tapi banyak yang aku kutip. Minggu pertama memang berat. Macam-macam aku rasa, sampai retak semangat. 

Hari pertama lapor diri dah kena duduk depan perhimpunan. Budak-budak dok perhati je. Alhamdulillah dapat kelas tingkatan 2 dan 1. Kelas rancangan khas, budak-budak terpilih. Tapi perangai, sama je macam budak biasa !!

Kelas pertama aku masuk 2RK1. Aku akan ajar sejarah dan ICTL. Maknanya masa aku akan banyak dengan dia orang. Setiap minggu aku akan jumpa 5 waktu. Kelas pertama alhamdulillah. sesi berkenalan. Sampai sekarang aku masih fail nak hafal nama budak-budak tu semua. Tak ape, perlahan-lahan la kan. 

Hari kedua aku dapat kelas ganti. Tingkatan 4. Kelas kedua hujung. Mula-mula aku positif, bila masuk cuma ada beberapa orang je. Aku tanya mana yang lain, dia orang jawab kat luar. Aku jenguk luar, tak ada. Tak apa, sabar. AKu teruskan, buat sesi berkenalan. Untuk makluman, kelas ni kelas seni, aku sentap, apa pasal kelas ni langsung tak berseni. Dia orang jawab sebab petang ada kelas. Owh lupa, sekolah ni dua sesi. 

Kelas ni memang payah nak paham bahasa, sebab dia orang cakap bahasa berbeza dengan aku. Aku sabar je la. Aku jerkah sorang ni, "awak cakap dengan kawan depan mata awak, macam awak cakap dengan kawan kat kelas sebelah !!" dia diam. Kemudian sambung balik borak. Aku malas layan.

Pengalaman untuk dua minggu ni sangat mencabar. Lagi-lagi bila pengetua suruh cikgu praktikal tidur dalam asrama, sehari bergilir-gilir. Itu yang leceh. Jadual aku pulak selalu kena weekend. Aku belum marah lagi budak asrama, sebab setakat ni dia orang masih okay. 

Banyak sebenarnya yang mahu dicoretkan, cuma kekangan masa dan nafsu untuk menulis. Akhirnya aku bungkam untuk menulis. Lantas cepat-cepat cari ide untuk menutup kata-kata. Usai terbit ditekan, aku lega. cepat-cepat laptop ditutup. salam

jumpa lagi seterusnya. 

28 June 2013

baby hatch : bila masa nak mencegah??



Nasi dah jadi bubur, sebab itu wujudnya baby hatch ni. Tempat derma atau mungkin perkataan yg kasarnya "buang" bayi dengan cara lebih terhormat, berbanding melemparkannya dalam longkang atau tempat buang sampah. Bukan nak kutuk atau apa, cuma terfikir, sampai bila kita nak "merawat"? 



Sepatutnya semua usaha adalah berdasarkan frasa mencegah. Bukan merawat. Bayangkan, kalau semua anak gadis kta berpeleseran, akhirnya bunting tanpa nikah, dan melahirkan anak tanpa sah taraf, dah nak jadi apa negara kita ni? Itulah, kita pandang islam terlalu kecil dan disampingkan, bukan sebagai utama yang perlu diketengahkan menjadi satu jalur ikutan yang hakiki. 

Moga kita akan berjaya mengubah negara ini, menjadi lebih sejahtera... amin

07 June 2013

instagram

Bila dah lama tak update blog, yang diupdatenye tambah widget instagram. SO sesiapa yg nak follow atau tengok gambar-gambar dalam instagram aku, sila la tengok di birai sebelah kanan anda =)


XOXO

01 May 2013

Hari kosong



Hari ni hari kosong. Semua manusia jadi kosong. Hilang pertimbangan, dan akhirnya menyemadikan jasadnya pada empuknya tilam. Dan akhirnya meriwayatkan dengkur sebagai latar bunyi yang paling menggerunkan. Tetapi berbeza bagi oportunis. Mereka ralit membelek masa, cari dimana ruang sesuai untuk bergelandangan, mencari dosa dikumpul buat bekalan akhirat. Bukan payah mengumpul noda dalam kepekatan maksiat di belantara kota. Selangkah kaki berderap, berduyun noda cuba mempalit jiwa. Kecuali bagi mereka yang punyai perisai dan vaksin tersendiri. 



Beribu tahniah buat mereka yang manfaat hari kosong dengan bermanfaat. Bukan sekadar kosong yang kontang. Tetapi berisi yang penuh. Tahniah. 


25 April 2013

kau tak ada tangan




Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


#moga kita sentiasa menjadi umat manusia yang sentiasa bersyukur, amin


22 April 2013

siapa anda junjung?




"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)".

Surah Al-Ahzab : Ayat 21

#masihkah anda melihat penyanyi dan pelakon itu warisan kelompok ilmuan yang perlu dijunjung dan dijulang??

19 April 2013

Namakan calon anda




"kau orang sokong mana?"

"Aku sokong bulan"

"Aku sokong dacing"



"Owh.. aku tak tau nak sokong mana"

"Sokong la bulan !"

"Jangan ! baik kau sokong dacing, lagi bagus !"


"Takpe la, balik nanti aku fikir dulu.. Ni pertama kali aku mengundi, korang dah daftar?"

"Errr...belum"

"Err..aku tak sempat la, sibuk"


#kagum dengan penyokong BERJASA

15 April 2013

eh! dia telanjang la !




"Jom kita malukan dia. Kita bogelkan dia"

"Jom! Biar dia malu satu kampung! "

"Korang berdua jela yang bogelkan, aku tak nak"



"Kenapa pulak? Dah bagus dah cadangan aku, dia dah setuju, apa pasal kau pulak tak nak?"

"Haah, bagus cadangan dia tu, baru kita boleh lawan musuh kita tu"

"Tak apalah, aku takut nanti Tuhan malukan aku dengan bogelkan aib aku di akhirat nanti.."



#kenapa perlu hiasi politik dengan adegan telanjang dan menelanjangkan? setiap orang ada kelemahan dan keaiban, tutuplah, kalau tak mahu yang kamu punya diserlahkan.


14 April 2013

'kejamnya' lecturer !!




"Ish banyaknye nak kena siapkan asignment !! Stress betul la aku. Lecturer ni pun satu, banyak pulak tu keje dia bagi, ingat kita ni tak ada keje lain ke ?? "

"Yeke? Lecturer kau bagi bila keje tu ?"

"Dah lama dah, masa minggu pertama lagi, malas betul aku nak buat "

"Owh.. Eh sekarang minggu berapa ea?"

"Eh kau ni, sekarang minggu lapan la, tu yang banyak nak buat tu, sebab ada yang kena hantar minggu ni, dan minggu depan"

"Owh...."  =,=


#masa itu Tuhan kurniakan secukupnya buat setiap hambanya, namun kita je yang suka bazirkan secukup rasa, bahananya seksa !

bunuh saja !




"Dia sudah mencabar kita! Mari kita bunuh dia!"

"Jangan! Sabar, gunakan akal yang waras"

"Peduli apa aku! Mari kita bunuh dia, dia sudah mencabar kita! Mari!"

"Sabar, kitakan masih bertuhan.."


#selagi kita masih ingat, yang kita bertuhan, insyaAllah kita dijalanNYA..


13 April 2013

yang berkibar itu meratap



hari ini sudah bermula,
mengibar bendera dengan beberapa warna,
biru, hijau, putih dan merah,
menjulang angkasa.

ramai berjuang memacak bendera,
bertelagah dimana patut letaknya bendera,
bergaduh hingga menetak,
berdarah namun tidak berharga,
cuma menjulang kain berwarna.

setiap liku dipacak,
setiap jalan dipasak,
tanda raih kuasa,
pada setiap anak mata yang melihatnya.

ramai yang tanya, 
ada apa pada bendera?
cuma berkibar menyemak pandangan mata,
penuh disusun mengikut citarasa,
jadi dimana letaknya harga sebuah bendera?

sebenarnya ada sesuatu pada bendera,
yang kalian belum pernah untuk faham, 
belum cuba untuk faham,
dan tidak mahu untuk faham.

Harganya bukan soal ringgit,
bukan cerita tentang berat,
juga bukan tentang tinggi rendah, 
tetapi maruah !

bendera itu kau julang, 
kan tersisip satu rasa,
yang akan membuat kau remang bulu roma,
dan akhirnya baru kau tahu harga sebuah bendera,
maruah dan air mata..


01 April 2013

sampai satu masa



Kita manusia,
punya akal, 
juga punya hati dan perasaan.

Kadang kala kita rasa sepi,
kita rasa sunyi,
kita rasa kita bersendiri,
kenapa?

Mungkin terlalu lama kita tinggalkan Tuhan,
kita lupa pada Tuhan,
sebab itu kita lupa, 
kita bukan bersendirian, 
bahkan kita berteman sentiasa.

Dia sentiasa ada dengan kita, 
Dia selalu perhati kita, 
tapi kita alpa,
kita buat-buat lupa tentang Dia,
dan akhirnya kita hidup dipalit noda.

Mungkin belum terlambat, 
selagi nyawa berjasad kita,
ingatlah pada Dia, 
cintailah Dia,
moga Dia tunjukkan jalan buat kita,
permudahkan urusan dan kerja kita..
insyaallah...

25 February 2013

Petua minum air

Mungkin kita selalu lupa yang kita ada air yang mujarab untuk hidup. Cuma air kosong, dan kita lebih suka memilih air yang berwarna dan berperisa untuk membasah anak tekak. Hakikatnya, itulah yang bawa bahana. Bukan nak cakap minur air berwarna dan berperisa itu salah, tak. Cuma berpada-pada. Amalkan mana yang datangkan kebaikkan. Insyaallah kehidupan dilimpahkan dengan kerahmatan. Amin.


*c&p dari FB



13 February 2013

kempen, banner dan banting..

kadang-kadang kita hairan, kes jenayah dan masalah dalam masyarakat kita terlalu banyak dalam realiti. Memang dalam akhbar dan statistik menunjukkan penurunan kadar, tetapi hakikat di jalanan, penuh dengan masalah yang entah bila dapat diselesaikan.



Bukan nak salahkan kerajaan, ya kerajaan ada buat kerja, tapi masalahnya bila kerja itu asal ada, kesungguhan itu sekadar pada awal, yakni waktu perasmian. Selesai pudar warna banner dan banting perasmian, hilang segala usaha ke arah mencegah atau membasmi masalah sosial masyarakat.

Buat kerja biarlah sehabis baik, bukan asal ada. Kalau macam ni lah  gayanya, sampai bila-bila kempen di Malaysia ni tak akan berkesan. 

10 January 2013

wajah baru

Sejak dua menjak ni, aku tengok blog aku ni macam dah kusam. Dah lama aku tak kemaskini. Teringin sangat nak buat banner baru. Dah lama sangat dah banner tu. Setiap perkara perlukan perubahan, supaya sentiasa rasional dengan keadaan semasa. Betul tak?

Memandangkan lappy kesayangan baru lepas operation(format), maka photoshop belum di-instal semula. Nanti lah, usai habis exam, aku install balik. Lepas tu baru ada idea nak ubah mana yang perlu dalam blog ni. 



Doakan blog ni terus jadi wadah aku menulis. Azam aku, aku nak post sekurang-kurangnya satu cerpen aku dalam blog ni. Untuk tatapan kalian. Insyaallah, dalam perjalanan menyiapkan. 

Nantikan. Masih bersifat plot, belum dicambah menjadi ramuan yang boleh dimakan dan dicerna oleh fikiran. Sabar. 

kau orang muda

aku sangat tertarik dengan tulisan dalam gambar di bawah. Buat pedoman, untuk rantaian anak muda yang semakin gelandangan, tentang erti perjuangan.



02 January 2013

kucing putih aku

Tak tahu kenapa, aku memang minat pada kucing. Jiwa dan perasaan pada kucing sangat dalam. Tapi, ada juga mereka yang tak suka pada kucing, mungkin istilah lebih tepat geli pada kucing. Pelik kan, setiap manusia berbeza cita rasa. 



Cinta aku pada kucing bermula seawal sekolah rendah. Aku diberi peluang untuk bela seekor anak kucing, yang berwarna putih seluruh badannya, dan hitam pada ekornya yang panjang. Dia sangat comel, kami beri nama "ninit" pada dia. Aku sayang sangat pada dia, aku bela dia, main dengan dia, tidur dengan dia, dan bila aku kena marah, aku akan luah pada dia, aku cakap pada dia. Tak pasti sama ada dia faham atau tak. Sebab wajah dia sama pada setiap emosi yang aku luah pada dia. Kucing kan. 



Ya, aku sangat sayang dia. Aku sempat tangkap gambar dia. Tapi sayang, aku tak tahu mana gambar tu sekarang. Hilang. Tapi aku tetap ingat muka dan warna dia. Biasalah, hukum dunia kan, yang bernyawa pasti akan menemui ajalnya. Akhirnya setelah beberapa tahun aku bela dia, Tuhan menjemput dia, dengan cara mengambil nyawanya. Dia pergi tanpa aku disisi. Aku juga tak sempat tatap wajah dan badannya buat kali terakhir. Waktu tu, abah yang jumpa jasadnya yang sudah tak bernyawa. Abah kata, mulut dia berbuih waktu abah jumpa dia, dan abah terus tanam jasad ninit. Aku tau, abah tak nak tunggu aku sebab abah tak nak aku jadi makin sedih..

lebih kurang macam ni la ninit, cuma ekor dan telinganya warna hitam pekat


Aku tahu ninit dah tak ada, lepas aku balik dari belajar mengaji. Mak yang bagi tahu ninit dah tak ada. Aku tak nangis. Tapi aku sedih. Tak tahu nak luah macam mana. Akhirnya aku diam, aku terus pergi tempat abah tanam jasad ninit. Aku terpaku depan pusaranya. Tak ada kata yang mampu diluah. Aku diam, sambil tangan aku meratakan tanah pusaranya. 



Aku pergi petik bunga kertas. Aku tabur setiap kelopak bunga kertas tu tepat atas pusara ninit. Aku nak hias pusara dia menjadi cantik, secantik kenangan aku dengan dia. Biarpun bunga kertas tak berbau harum, aku mahu kenangan kami seharum kasturi yang sentiasa menghiasi kamar kenangan aku. 

Usai itu, aku balik, masuk dalam rumah. Cuba untuk berlagak seperti biasa. Aku tak nak nampak sedih. Aku tak nak menangis. Malam tu, aku selongkar laci almari, cuba cari gambar ninit. Aku jumpa gambar dia, mengayakan badannya dibawah kerusi. Ya, aku ingat, itulah gaya dia dalam satu-satunya gambar yang sempat aku tangkap. Aku tatap gambar dia. Tiba-tiba perasaan kehilangan dan kesedihan menyelinap dalam kalbu, menggerak mata mengalirkan mutiara yang bertitisan. Memaksa aku menangis dalam tidak aku sedar. 



Aku menangis teresak-esak, sambil memegang gambar dia. Aku jadi lemah. Tiba-tiba aku jadi begitu lemah untuk mengingati tentang dia. Aku luahkan segala perasaan aku, aku semburkan segala apa yang aku rasa dan aku pendam sejak petang tadi. Aku menangis semahu-mahunya. Ya, aku menangis..

Sayang dan kasih aku pada ninit, hanya Tuhan sahaja yang tahu, rasa kehilangan tu seolah-olah membuatkan jiwa aku mati sementara. Dia sangat bermakna buat aku. Dialah teman sejati aku, meskipun dia kucing dan aku manusia. 

Lepas daripada kematian dia, aku rasa aku dah tak nak bela kucing lagi. Aku tak nak rasa kehilangan itu menggamit jiwa aku lagi. Pedih. 

Tapi Tuhan itu merencana apa yang terbaik buat kita, dan ditakdirkan, kami sekeluarga bela kucing lagi, selepas beberapa tahun kami kehilangan ninit. Tuhan kurniakan kami berekor-ekor kucing untuk penuhi jiwa kami. Ya, nikmat mendampingi kucing itu tiada tara, dan hanya mereka yang menghargai sahaja akan rasa dan nikmati. 


Percayalah, kucing adalah makhluk Tuhan yang sangat istimewa. Menyentuhnya, terasa nikmat yang tiada tara...

SAYA SAYANG KUCING