10 January 2013

wajah baru

Sejak dua menjak ni, aku tengok blog aku ni macam dah kusam. Dah lama aku tak kemaskini. Teringin sangat nak buat banner baru. Dah lama sangat dah banner tu. Setiap perkara perlukan perubahan, supaya sentiasa rasional dengan keadaan semasa. Betul tak?

Memandangkan lappy kesayangan baru lepas operation(format), maka photoshop belum di-instal semula. Nanti lah, usai habis exam, aku install balik. Lepas tu baru ada idea nak ubah mana yang perlu dalam blog ni. 



Doakan blog ni terus jadi wadah aku menulis. Azam aku, aku nak post sekurang-kurangnya satu cerpen aku dalam blog ni. Untuk tatapan kalian. Insyaallah, dalam perjalanan menyiapkan. 

Nantikan. Masih bersifat plot, belum dicambah menjadi ramuan yang boleh dimakan dan dicerna oleh fikiran. Sabar. 

kau orang muda

aku sangat tertarik dengan tulisan dalam gambar di bawah. Buat pedoman, untuk rantaian anak muda yang semakin gelandangan, tentang erti perjuangan.



02 January 2013

kucing putih aku

Tak tahu kenapa, aku memang minat pada kucing. Jiwa dan perasaan pada kucing sangat dalam. Tapi, ada juga mereka yang tak suka pada kucing, mungkin istilah lebih tepat geli pada kucing. Pelik kan, setiap manusia berbeza cita rasa. 



Cinta aku pada kucing bermula seawal sekolah rendah. Aku diberi peluang untuk bela seekor anak kucing, yang berwarna putih seluruh badannya, dan hitam pada ekornya yang panjang. Dia sangat comel, kami beri nama "ninit" pada dia. Aku sayang sangat pada dia, aku bela dia, main dengan dia, tidur dengan dia, dan bila aku kena marah, aku akan luah pada dia, aku cakap pada dia. Tak pasti sama ada dia faham atau tak. Sebab wajah dia sama pada setiap emosi yang aku luah pada dia. Kucing kan. 



Ya, aku sangat sayang dia. Aku sempat tangkap gambar dia. Tapi sayang, aku tak tahu mana gambar tu sekarang. Hilang. Tapi aku tetap ingat muka dan warna dia. Biasalah, hukum dunia kan, yang bernyawa pasti akan menemui ajalnya. Akhirnya setelah beberapa tahun aku bela dia, Tuhan menjemput dia, dengan cara mengambil nyawanya. Dia pergi tanpa aku disisi. Aku juga tak sempat tatap wajah dan badannya buat kali terakhir. Waktu tu, abah yang jumpa jasadnya yang sudah tak bernyawa. Abah kata, mulut dia berbuih waktu abah jumpa dia, dan abah terus tanam jasad ninit. Aku tau, abah tak nak tunggu aku sebab abah tak nak aku jadi makin sedih..

lebih kurang macam ni la ninit, cuma ekor dan telinganya warna hitam pekat


Aku tahu ninit dah tak ada, lepas aku balik dari belajar mengaji. Mak yang bagi tahu ninit dah tak ada. Aku tak nangis. Tapi aku sedih. Tak tahu nak luah macam mana. Akhirnya aku diam, aku terus pergi tempat abah tanam jasad ninit. Aku terpaku depan pusaranya. Tak ada kata yang mampu diluah. Aku diam, sambil tangan aku meratakan tanah pusaranya. 



Aku pergi petik bunga kertas. Aku tabur setiap kelopak bunga kertas tu tepat atas pusara ninit. Aku nak hias pusara dia menjadi cantik, secantik kenangan aku dengan dia. Biarpun bunga kertas tak berbau harum, aku mahu kenangan kami seharum kasturi yang sentiasa menghiasi kamar kenangan aku. 

Usai itu, aku balik, masuk dalam rumah. Cuba untuk berlagak seperti biasa. Aku tak nak nampak sedih. Aku tak nak menangis. Malam tu, aku selongkar laci almari, cuba cari gambar ninit. Aku jumpa gambar dia, mengayakan badannya dibawah kerusi. Ya, aku ingat, itulah gaya dia dalam satu-satunya gambar yang sempat aku tangkap. Aku tatap gambar dia. Tiba-tiba perasaan kehilangan dan kesedihan menyelinap dalam kalbu, menggerak mata mengalirkan mutiara yang bertitisan. Memaksa aku menangis dalam tidak aku sedar. 



Aku menangis teresak-esak, sambil memegang gambar dia. Aku jadi lemah. Tiba-tiba aku jadi begitu lemah untuk mengingati tentang dia. Aku luahkan segala perasaan aku, aku semburkan segala apa yang aku rasa dan aku pendam sejak petang tadi. Aku menangis semahu-mahunya. Ya, aku menangis..

Sayang dan kasih aku pada ninit, hanya Tuhan sahaja yang tahu, rasa kehilangan tu seolah-olah membuatkan jiwa aku mati sementara. Dia sangat bermakna buat aku. Dialah teman sejati aku, meskipun dia kucing dan aku manusia. 

Lepas daripada kematian dia, aku rasa aku dah tak nak bela kucing lagi. Aku tak nak rasa kehilangan itu menggamit jiwa aku lagi. Pedih. 

Tapi Tuhan itu merencana apa yang terbaik buat kita, dan ditakdirkan, kami sekeluarga bela kucing lagi, selepas beberapa tahun kami kehilangan ninit. Tuhan kurniakan kami berekor-ekor kucing untuk penuhi jiwa kami. Ya, nikmat mendampingi kucing itu tiada tara, dan hanya mereka yang menghargai sahaja akan rasa dan nikmati. 


Percayalah, kucing adalah makhluk Tuhan yang sangat istimewa. Menyentuhnya, terasa nikmat yang tiada tara...

SAYA SAYANG KUCING