28 September 2014

Buang bayi ke sumbang bayi?





Selamat sejahtera. Tadi ada baca perihal Pusat Perlindungan Bayi yang diuruskan oleh
OrphanCARE yang aku kira satu pendekatan alternatif apabila pihak berkuasa masih belum jumpa kaedah terbaik untuk menangani gejala buang bayi dalam kalangan rakayat Malaysia. Bayi yang  dilahirkan secara tidak sah taraf disisi undang-undang dan tidak diperlukan oleh ibunya ataupun bapanya yang entah siapa, akan ditempatkan di pusat ini secara sukarela oleh ibu bapanya yang tiada sedikit pun perasaan kasih sayang dan belas kasihan. 



Bayi-bayi ini akan diserahkan kepada keluarga angkat yang berminat untuk mengambil anak-anak yang tidak berdosa ini untuk di jaga dan dibelasi seperti manusia yang lain. Secara umumnya perkara ini dilihat bagus. Dan aku bersetuju dengan pendekatan alternatif ini. Namun ada sebahagian daripada rakyat Malaysia yang memandang perkara ini sebagai satu bentuk penggalak kepada zina dan maksiat, apabila remaja atau sesiapa sahaja akan lebih menggiatkan lagi aktiviti zina ini. Ya, mungkin ada benarnya persepsi ini, tetapi kalau dilihat dalam konteks perikemanusiaan, alangkah mulianya mereka yang mengusahakan pendekatan ini demi menyelamat bayi yang baru lahir daripada dibuang dan dubunuh tanpa perasaan belas kasihan. Dengan moto "setiap kanak-kanak perlukan keluarga" ya pendekatan ini sangat diperlukan masa kini. 

Rakyat Malaysia yang bijak pandai masih lagi sibuk menghentam antara satu sama lain, dan gejala sosial kita langsung dibiar sepi. Sampai masa bila mereka cuba toleh pada generasi, harap maaf, tiada apa yang tinggal untuk masa depan.

26 September 2014

Perodua Vs Proton ?




Selamat datang. Proton. Perodua. Mana satu pilihan anda? Terpulang. Kalau berkemampuan, beli kedua-duanya. Kalau tak, pilih salah satu. Kalau ada lebihan mampu, mesti tak nak beli kan. Biasalah, tipikal rakyat malaya. 

Kadang kala kita hairan, cuma kita tengok, tiap kali ada pelancaran produk baru daripada kedua-duanya pasti akan ada peperangan dalam Malaysia. Bukan dengan butir peluru. Tetapi dengan butir komentar dalam page terkenal ikutan ramai. Pelik kan, benda mudah macam ni pun kita nak gaduh, komen saling memburukkan. Memang kita ni bangsa kuat bergaduh ke? Tapi dalam soal agama kita lemah. Dalam soal politik kita ghairah. Eh aku dah mencapah. 

Setiap kali aku baca perang ini, aku jadi meluat. Malas nak baca. Ada pulak masa nak gaduh komen kan. Pelik betul. Sebenarnya perkara ni mudah je. Soal bergaduh produk terbaik, hormat sahaja pandangan orang lain. Hormat tu bermaksud tak semestinya bersetuju, tetapi dengan pertimbangan. Mana yang selari dengan selera kita, terima lah, kalau tidak, tidak lah. Kita kan memang macam ni. 

Moga pertelingkahan bodoh ini dihapuskan segera. Bukan sahaja dalam isu Proton Vs Perodua, bahkan segenap ruang lipat kehidupan masyarakat Malaysia. Moga kita menjadi manusia yang lebih menghargai nikmat yang Tuhan limpahkan. Alhamdulillah.. 

05 September 2014

Merdeka, mentaliti dan kualiti.

Hari ni sudah dalam bulan sembilan, maknanya sudah lepas tarikh merdeka. Tahun ni sudah 57 tahun dah merdeka. Kitaran biasa, tak ada yang luar biasa. Pagi dipenuhi dengan perarakan, disusuli rancangan televisyen berkisar tentang perjuangan dan patriotik. Malamnya pula sesi mesra memancut berahi. Sama sahaja setiap tahun. 

Kita dah merdeka lama juga. 57 tahun bukan angka yang sikit. Kalau umur manusia, sudah taraf profesor dengan pengalaman. Tapi kita masih macam ni. Material dan infrastruktur memang menjulang, hingga disebut strata dunia. Tapi kita ni. Yang tinggal dalam Malaysia ni, masih macam ni. Susah sangat nak ubah mentaliti. 

Kalau setakat pakai topi keledar & tali pinggang keledar sebab tak nak kena saman, usah la bicara soal perjuangan. Mentaliti masih tahap lutut. Macam mana nak bangunkan bangsa. 

Ini bukan catatan provokasi, cuma untuk muhasabah diri. Kita ni nak jadi apa nanti. Negara kita ni nak jadi apa nanti. 

Tahap sosial negara ni akan teruk pada masa akan datang. Bukti? Lihat budak hari ni. Pergi sekolah, tanya kaunselor sekolah pasal statistik disiplin. Menjulang ke menurun? 



05 August 2014

Kisah Ibu Itik dan Ibu Babi






Pernah dengar kisah Ibu Itik dan Ibu Babi? Macam pernah dengar. Macam pelik je. Eh ada ke kisah tu? Semua persoalan ini bakal dijawab. Mungkin bukan jawapan yang memuaskan. Cukup sifatnya sebagai jawapan sudah la. 

Kisah ini tiada. Cuma aku terfikir. Kenapa babi tu jijik? sebab haram? ke sebab hidung dia besar dan boleh hidu bau kita yang masam? Ke memang dari kecik kita ditarbiahkan untuk benci pada babi? Babi cuma haiwan. Yang namanya tercatat sebagai binatang yang haram dimakan dalam Al Quran. Babi makhluk ciptaan Tuhan. Yang berhak dilihat sebagai haiwan. Yang berhak untuk dilayan sama seperti haiwan-haiwan lain. Cuma yang beza tidak boleh disentuh dan dimakan. 

Kita ni prejudis dengan babi. Sebut babi je orang lain pandang serong pada kita. Kata kita mencarut. Masalahnya dah nama dia babi, sebut la babi. Takkan nak panggil cicak hidung besar? Mana mungkin. Mungkin taboo masyarakat melayu islam. Maka inilah hasilnya. Kita diasuh untuk geli pada babi. Bukan patuh pada arahan Tuhan. 

Kalau lihat, sekarang ramai je tak pegang babi dah dapat dosa pegang sesuatu yang haram. Anggota badan bukan muhrim. Pasangan muda dan mudi, rela bermadu kasih, berpegang tangan hingga memancutkan ghairah, dan tempiasnya lahir anak tidak sah taraf. Dalam pada masa yang sama mereka mengaku babi itu haram dan tidak makan jauh sekali memegangnya. Hairan. Pelik. 





Dunia sudah hampir ke penghujungnya. Fitnah sudah jauh melata. Perang juga merata-rata. Bencana alam sudah sejiwa. Cuma tunggu beberapa tanda. Eloklah kembali kepada DIA yang Maha Esa. Mudah mudahan ganjarannya syurga. Amin. 

*p/s :  mana kisah ibu itiknya?  sabar... dalam Kisah Ibu Itik dan Ibu Babi 2

18 July 2014

MH17




Kita dalam persimpangan yang payah. Memilih dua blok kuasa yang perlu dijaga. Andai salah satu murka, kelak kita terasa tempiasnya. Kita cuba tarik rambut perlahan, supaya rambut tidak berselerak. 

Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Sukar diterjemah kalau mudah kalah. Seisi keluarga muram durja, sedih bukan kepalang. Insan tersayang melayang hilang 'pulang'. Bertemu Sang Pencipta Alam. 

Kita jangan duduk diam. Raikan sokongan. Tunjukkan perpaduan. Kuatkan semangat. Pasti ada jalannya. Insyaallah 

10 July 2014

Buka

Buka puasa ni salah satu kegembiraan yang dijanjikan Tuhan kalau berpuasa. Pelbagai juadah dihitung untuk dijamah. Nafsu makan membuak bak tanah gersang yang tandus air. 


teringin buka puasa dengan nasi lemak. 

07 June 2014

The Settlers

Logo Felda United


Jersi Felda United 


SELAMAT BERJUANG  THE SETTLERS !!!!

22 May 2014

Tepung






Mereka ini Tuhan uji dengan kelaparan, kita di sini diuji dengan kekenyangan, sampaikan kita tak pernah menghargai apa yang dikurniakan Tuhan. 








Sebungkus tepung ini bagi kita di sini tidak lah bernilai mana pun. Sanggup ditabur dengan bazir. Bagi mereka di sana sebungkus tepung inilah penyambung nyawa mereka. 

Kita ni prihatin, sampai satu masa hilang sifat prihatin. Tuhan kan Maha adil. 



20 May 2014

Sarkastik

Tadi aku buka Youtube, saja nak dengar lagu. Terbuka video realiti tv, nyanyian. Saja-saja baca komentar. Terus buat kesimpulan mudah. Apa kesimpulannya? kalian buatlah sendiri. Baca komentar di bawah. 




*rajin pulak aku post benda-benda macam ni walhal FYP terbengkalai

01 May 2014

Ilmu

Kali ni kurang tulis, cuma video yang menyampaikan. Tonton dan cerna. Argumen digalakkan.

Tonton ini dulu, 




Kemudian ini, 




Dah tonton? Terima kasih. 

17 April 2014

cikguazamaziz.tumblr.com

Media sosial melimpah. Banyak sangat medium. Sampai mencurah hendak dicerna dan ditelaah. Usah biar teknologi menguasai anda, bahkan anda perlu mengusai teknologi. 

Tumblr. Laman sosial yang dah lama aku guna. Cuma jarang masuk dan guna. Hari ni sengaja tulis pasal Tumblr, sebab usai instalasi aplikasi dalam telefon. hehehe



Ada kelapangan, singgah lah http://cikguazamaziz.tumblr.com/ kalau malas kopi dan tuang, picit sahaja di sini. Terus menuju ke sana. 

Selamat hari jumaat. :3

14 April 2014

Hujan

Rintik butir demi butir,
Menimpa lantai, menyembah gersangnya bumi.

Manusia juga gersang, perlukan air.

13 April 2014

Sekejap yang lambat

Mungkin satu perkara yang remeh, bahkan bagi segelintir orang adalah perkara biasa yang sudah menjadi norma. Namun mungkin sahaja bagi segelintir yang lain satu keadaan luar tabii yang wajar dielakkan. 

"Sekejap lagi saya sampai"

"ok.."

........seketika ........

.......beberapa ketika........

......lambat juga........

"engkau punya sekejap lambat"

"otw"


Realiti moden. Masa sangatlah mahal bagi siapa yang menghargainya. Kita sukar hargai masa tika lapang masih ada. Saat sempit dijelmakan depan mata, mahu sahaja minta diputar masa. Ini hakikat sang manusia. 

*terima kasih Ku Syafiq pencetus ide, lepas ni usah lambat bertemu beta, kelak jadi mangsa yang dihina :3

03 April 2014

Kuasa Media

Mahu tulis santai, di luar hujan lebat, dinginnya memanggil aku berselimut tebal, dirangkul lena melayar mimpi sejahtera, yang nikmatnya tiada kira.

Mahu tulis tentang kuasa. Entiti yang memiliki kuasa, tetapi aneh dalam tindakan dan perilakunya. Hari ini terlalu banyak isu di Malaysia. Bermacam-macam isu membuatkan kita rasa cakna. Padahal kita cuma lumba tanya, buat-buat tahu dan berlalu begitu. Satu perkara yang aku rasa tertarik untuk dikongsi. Walaupun mungkin sudah berlegar dalam benak kalian yang bervisi, namun aku masih rasa mahu tulis isi ini. 

Apabila ada sebahagian daripada rakyat kita anjurkan konsert, secara tersembunyi ataupun halal disisi sang penguasa, kalau untung lulus berjaya laksana, kalau rugi belum sempat lompat terkinja sudah dicantas dan diharam daripada dilaksana. Apabila konsert-konsert ini yang pada asalnya diberi kelulusan atas nama hiburan semata-mata, dan bila disebar secara melata oleh media masa, terus sahaja sang penguasa tunjuk taring yang berbisa. Konsert dibatalkan atas arahan pihak berkuasa, tajuk akhbar esoknya. 



Menjadi pelik, dah tahu konsert seperti itu mendatangkan kesan yang ada negatifnya, kenapa sedari awal diluluskan tanpa sebarang masalah? dan bila rakyat bersuara baru sang penguasa bertindak? sepatutnya sebagai sang penguasa yang prihatin dengan kemaslahatan rakyat, jiwa rakyat, dan juga pembentukkan modal insan negara, sang penguasa perlu cakna dengan isu ini. Bahkan sepatutnya diharamkan sejak sang penganjur menghantar permohonan penganjuran. Bukankah ini menampakkan seperti menjilat ludah sendiri? (mungkin tepat maknanya, hanya itu yang muncul dibenak saya)

Untung Malaysia punyai sang jelata yang cakna. Isu timbul, terus dikongsi mencari publisiti, disebar supaya sang penguasa jangan berdiam diri, cari solusi selesaikan masalah dan bekerja seperti mana dikehendaki. 

Wahai sang penguasa, ingatlah, jangan ambil mudah isu sang jelata, kami mengharap dikau memimpin kami memakmurkan negara. Letakkan akal pada  tempat sewajarnya. Supaya kami memandang hormat atas tindakan yang kau bijaksana. 

Moga kita dijauhkan daripada anasir kebinatangan, yang membogelkan maruah kita sebagai manusia, dan menginjak akal kita supaya setanding binatang yang akal tiada.. 

Selamat beramal ~


01 April 2014

Catatan 22 Februari 2014 ~ Perginya seorang kekasih..

Selamat sejahtera.. Pernah aku janji dalam entry ini, untuk tulis catatan yang aku coret sewaktu pagi pemergian abah aku yang tercinta. Ini aku salin semula buat kalian semua. 

*********

Saat aku menulis coretan ini, nurse usai cabut saluran dialisis abah. Doktor kata, dialisis ni dah tak ada kesan, buah pinggang pun dah tak berfungsi. Maka tiada cadangan untuk seterusnya, cuma mungkin menunggu masa tiba.

Abah masih bernafas depan aku, sejak pagi tadi aku berteleku disisi abah, yasin dah aku bacakan, air yasin, air zamzam, dah aku raupkan pada wajah dan aku lapkan pada badan abah. Abah masih macam tu, bernafas tanpa reaksi untuk sedar. Tadi ada makcik yang sama seperti aku jaga pesakit, dia selalu pandang abah yang tengah sakit, dia kata abah tak macam sakit pun, badan sihat, nampak macam tidur. Aku pun perasan, badan abah segar, walaupun doktor kata organ dalaman abah ada yang dah tak berfungsi, otak pun dah semakin tak berfungsi..



Aku seronok jaga abah tidur. Tenang je muka abah, banyak kali aku cium pipi dan dahi abah, walaupun banyak kali, tetap rasa tak puas. Setiap kali aku nak balik rehat lepas jaga abah, selalu aku bisik ditelinga abah, aku cakap " abah, kita balik dulu, esok kita datang lagi.." aku sangat mengharap agar abah akan balas "Ya". Itu sudah cukup bahagia bagi aku. Tapi apakan daya sunyi sepi, cuma desahan nafas yang menjawab aku. Lantas aku kucup pipi abah, dahi abah. Saat itu, mata mula berkaca. Aku tahan, aku tak nak nangis depan abah, meskipun hakikatnya air mata aku sedang mengalir saat aku menulis ini. Mujur abah tidur, tak nampak aku mengalirkan air mata. Aku nak abah tau, yang aku kuat, dan ada untuk dia menjadi lebih kuat. Abah memang kuat, bukan aku yang kata, tapi Dr. Rahimah yang kata, doktor pakar perubatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban ni. Aku ingat lagi satu pagi lepas dia buat pemeriksaan, dia jelaskan kepada aku apa yang sebenarnya terjadi pada abah. Dia kata abah kena strok dan pendarahan dalam otak. Tambah dia, kebiasaannya pesakit yang kena macam ni, dah tak ada dah, mungkin sebab abah kuat, sebab itu dia daoat bertahan sampai hari ni.

Aku berhenti tulis kejap, ada nurse datang periksa.

Aku genggam tangan abah, keras kulitnya, panas, dan tak bergerak. Aku rindu tangan ni untuk bergerak seperti biasa, tangan yang besarkan aku, dukung aku, hantar aku sekolah, tangan yang menjadi tempat aku cium bila bersalam. Rindunya Ya Tuhan...

Aku faham, aku redha, semua ni ujian buat kami sekeluarga, Dia lebih mengetahui hikmah yang akan datang. Aku redha Ya Allah...

Semenjak abah masuk hospital, ramai datang melawat abah, dan ramai yang nangis bila tengok abah. Aku jadi lemah bila tengok orang lain menangis. Aku cuba bertahan. Aku dia, aku tak mahu bicara, cuma yang penting sahaja aku lontar suara berkomunikasi..

Jiran, saudara mara, sahabat, anak murid juga datang melawat, juga yang mendoakan dari jauh. Aku sangat terharu kerana ada yang sudi doakan abah aku. Tiada nilai yang setara dengan jasa kalian semua. Hanya Tuhan sahaja dapat balas jasa baik kalian semua. Moga kita dalam lembayung rahmat NYA.

Aku berhenti tulis, nanti sambung lagi.


Azam Aziz
11.06 pagi
22/2/2014





moga abah tenang disana.. amin.. Kalian, sahabat saya yang sudah saya anggap seperti kakak, iaitu Kak yus juga kehilangan abahnya yang tercinta, molek kira kita sama-sama sedekahkan alfatihah buat abah kak yus, moga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman... amin.. 

31 March 2014

Mercun dan Pocong

Selamat pagi. Masih segar untuk menulis, bila ditemani air dingin daripada bekas labu sayong Kuala Kangsar.

Mercun ni sifatnya menghasilkan bunyi yang kuat dan pancaran warna yang cerah, untuk menarik perhatian dan dijadikan alat untuk berseronok dan meraikan sesuatu. Sejarah awalnya datang dari China, sebagai alat untuk menghalau semangat jahat menerusi bunyinya yang kuat. Namun hari ini kita masih guna mercun, untuk sambut raya, halau binatang liar di kebun, tak kurang juga untuk prank. Hari ini juga dah jadi trend dan kebiasaan untuk prank / mengenakan orang atau memperbodohkan orang lain dengan niat untuk bergurau. Lebih-lebih lagi hari ni 1 April. Niat asal memang cantik, nak bergurau dan meraikan sesuatu seperti hari lahir, kadang-kala tindakan yang keterlaluan membuatkan niat asal berubah menjadi satu turning point kepada amarah yang tiada tandingan.

contoh gambaran pembakaran mercun sekitar Dinasti Ming

Kita kena faham, tak semua orang suka kan kejutan dan bergurau berlebih-lebihan. Terutamanya apabila melibatkan kesihatan dan juga maruah orang lain. Letakkan rasional disisi akal. Bukan fikir macam kanak-kanak yang perlu untuk sentiasa dihiburkan. Letupan mercun yang kuat juga mendatangkan kesan buruk. Pesakit lemah jantung juga terkesan. Kasihan mereka. Sang latah juga menjadi masa keadaan. Simpatilah kepada mereka. Tak salah nak main mercun, tapi pada kawasan dan masa yang sesuai. Kelak anda akan menyesal tiada penghabisan. 

*pocong mula dijumpai dan dirakam di sekitar jambatan kedua Pulau Pinang, kita berkongsi jaringan dengan mereka =)

Konspirasi

Jumpa lagi. Mahu tulis yang berat, namun masa singkat. Tulis mana yang sempat.

Konspirasi ni selalunya dirancang oleh seseorang untuk kepentingan peribadi dia sendiri, ataupun orang lain yang dia bersetuju untuk menyerahkan kepentingan tersebut asalkan setimpal dengan ganjarannya. Tiada yang percuma di dunia ini. Namun, perkara ini menjadi aneh, apabila seseorang yang mengawal sesuatu perkara, dan menuduh orang lain melakukan satu tindakan berbentuk konspirasi. Aneh bukan? Sekalipun orang lain nak manipulasi, ataupun menjatuhkan, perlu dia tahu, kerja gila mencuri rantai emas seorang polis wanita dalam balai polis. Inilah hakikat manusia. Prasangsa selalu menjadi alasan untuk tidak menerima kebenaran. Akhirnya bercambah menjadi dendam. 



Tak salah mempunyai idea yang jauh berfikir melangkau logik akal, tapi usah hasilnya menampakkan anda sebenarnya dangkal dan masih belum pandai. Buah fikir ini untuk dicerna, bukan senjata. 
selamat beramal ~

26 March 2014

27 MAC 2014

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Lama sungguh aku tinggalkan jiwa saya ni. Kasihan. Aku pun tak tahu, masa ada, cuma nafsu nak menulis tak ada. Kasihan. Peninggalan aku dalam jiwa saya juga disebabkan beberapa perkara. Ditambah dengan pemergian insan paling aku sayang dalam dunia, ni, abah, menambah masa aku untuk berdoa untuk abah. Hari ni 27 Mac 2014, sudah sebulan lebih abah pergi. Tanggal 22 Februari abah tinggalkan kami. 

Ahh aku malas bercerita perkara ni, butir air mata jatuh nanti. Namun, aku ada tulis beberapa perenggan kata sewaktu aku disisi abah, yakni pagi tanggal 22 Februari 2014. Nanti ada masa aku tuliskan disini buat tatapan kalian semua.  Ahh sudah, mata berkaca. 



Baiklah, itu sahaja buat kali ini, terima kasih sudi baca. Moga kalian berada dalam lindungan yang MAHA ESA. Aku ada 1 permintaan, sudilah kalian yang membaca, sedekahkan alfatihah buat abah aku disana, moga rohnya tenang, dan dipermudahkan urusannya.. amin..  


#TAKZIAH_MH30 
#‎PRAYFOREG529‬

27 January 2014

Cerpen : Cinta Rashidi


“Hai” dia sapa aku perlahan. Aku memandang susuk yang menyapaku. Rashidi rupanya. Satu figura kebanggaan sekolah. Siapa yang tak kenal Rashidi, pemain bola sepak sekolah yang memiliki susuk tubuh yang menarik, serta dianugerahkan tuhan wajah yang tampan seiras pelakon Izzue Islam. Ramai pelajar perempuan menaruh harapan, tetapi hanya harapan yang tidak kesampaian. Setiap hari dia akan menerima surat cinta daripada pelajar perempuan yang kehausan kasih sayang seorang lelaki. Dia hanya mencapai, sehingga terserempak tong sampah dia akan buangkan tanpa membuka atau membaca. Dia sememangnya tidak berminat dengan hal itu, yakni bercinta. Mungkin dia ada alasan yang kukuh untuk berbuat demikian. Tiada sesiapa yang tahu. 

Pernah satu hari, ada seorang pelajar perempuan bernama Ayuni, cantik orangnya, juga antara pelajar dambaan pelajar lelaki disekolah itu, mengirimkan salam kepada Rashidi. Dia hanya menjawab sebagaimana tuntutan. Tanpa sebarang balasan seperti mana yang Ayuni harapkan. Dia berasa tercabar dengan tindakan Rashidi. Tidak pernah sekali dalam hidupnya ada lelaki yang menolak harapannya seperti Rashidi. Dia merancang strategi lebih cantik dan menarik demi melunturkan ego seorang lelaki milik Rashidi. Matlamatnya Rashidi tersungkur dikakinya, dan tergila-gilakannya. Dia yakin, suatu hari nanti Rashidi pasti jatuh cinta kepadanya. Ya, dia pasti. 

Pelannya pun bermula. Dia merancang untuk berselisih dengan Rashidi yang usai latihan bola sepak. Dia akan menegur Rashidi dengan sapaan yang paling manja pernah dia lakukan. Dia akan buat sehabis baik untuk ini. Namun, Rashidi tetap begitu. Membiarkan sapaan itu ditelan sepi. Dia cuma memandang, dan terus berlalu. Sedikit pun tidak memberi respon kepada sapaan Ayuni yang dikatakan paling manja pernah dia lakukan. Langsung dia tidak tergoda mahupun cair. Kekal hatinya pejal dalam menolak untuk bercinta. Dia nampak nekad.

Ayuni berasa sangat terhina dengan balasan Rashidi, lantas dia memutuskan untuk tidak akan lagi cuba menggoda Rashidi. Dia malu seperti air mukanya sudah dicemar dengan ludahan Rashidi. Begitulah hinanya dia rasa. Dia bersumpah, tidak akan lagi cuba menggoda Rashidi, dan sebaliknya. Dia nekad dengan keputusannya. 

Kisah Ayuni itu bukanlah penamat kepada cinta tak kesampaian seorang pelajar perempuan kepada Rashidi, bahkan berderet kisah yang boleh dikompilasikan menjadi sebuah drama berjudul cinta tak kesampaian. Bukan setakat pelajar sebaya, bahkan ada juga guru yang terpikat dengannya, terutamanya guru-guru wanita yang muda. Pernah suatu ketika, ada seorang guru pelatih menjalani latihan mengajar di sekolahnya turut menyimpan hati padanya. Bermacam-macam cara dicuba guru itu, namun sering sahaja gagal dan tidak berkesan. Sehinggakan dia nekad untuk menyatakan hasrat hatinya secara berdepan dengan Rashidi. Namun seperti biasa, Rashidi membalas dengan pandangan kosong, kemudian berliau berlalu tanpa sebarang patah kata. Guru wanita tersebut kecewa dan malu sehingga tidak dapat meneruskan latihan mengajar. Akhirnya dia tidak datang sekolah selapas daripada hari itu dan tidak menamatkan latihan mengajarnya. Dengar khabar dia gagal dalam pengajiannya untuk mendapatkan segulung ijazah sarjana muda pendidikan. Begitulah penangan Rashidi.

Begitu banyak mereka yang dikecewakan oleh Rashidi. Bukan sebab Rashidi curang, Cuma tidak membalas cintanya sahaja. Namun begitu, masih ramai yang memasang angan-angan untuk mendapatkan Rashidi, daripada pelajar tingkatan satu hinggalah pelajar tingkatan lima sebaya dengannya, semua memasang angan yang sama. Menakluki hati Rashidi. Memiliki hati Rashidi. Itulah impian mereka. 

Rashidi masih dihadapanku. Sapaannya masih belum ku jawab. Badan ku kejap. Rashidi, dambaan pelajar perempuan berada dihadapanku, dan paling penting menyapaku. Pandangan matanya tepat dalam anak mataku. Bibirnya menguntum senyuman yang mampu membuatkan wanita tidak keruan. Berdiri tegap dihadapanku, rasanya kalau pelajar lain berada ditempatku, pastinya sudah menjerit lantang, sesak nafas dan pengsan. Kegembiraan melebihi usaha untuk pernafasan. 

Dia masih memandang aku, mengharapkan balasan sapaannya. Aku menjadi pelik. Aku diam dan badanku terus menerus kejap. Akhirnya dia menghulurkan aku sehelai kertas kepadaku. Aku menyambutnya patuh. Aku pegang kertas itu dengan kuat. Tanganku terketar-ketar memegang kertas itu. Kemudian Rashidi berlalu pergi. Meninggalkan aku yang menggigil dan terpinga-pinga. Dia melangkah segak menjauhi aku. Mataku tertancap pada sehelai kertas yang diberikan oleh Rashidi sebentar tadi. Aku buka perlahan-lahan lipatan kertas itu. Secara kabur, beberapa aksara dapat aku lihat yang meminta aku untuk baca. Aku baca perlahan..

Hai, saya rashidi, dah lama saya perhatikan awak. Saya nak berkenalan rapat dengan awak. Kalau awak sudi, dibawah ni saya tuliskan nombor telefon saya. Terima kasih.

010421902
RASHIDI

Jiwaku luruh usai baca tulisan pada kertas itu. Hatiku tidak keruan. Aku menjadi buntu. Kenapa dia harus memilih aku? Kenapa? Betapa ramai pelajar perempuan gilakannya dan dia menolak, kenapa dia harus memilih aku? Rashidi sudah gila agaknya. Jerit aku dalam hati. Kertas ini juga membuatkan aku temui jawapan yang selama ini dicari oleh mereka yang kecewa dengan Rashidi dan pastinya aku tak akan menerima dia, kerana aku bernama AHMAD KHAIRI BIN MARZUKI !!



lain-lain cerita jiwa saya

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...