17 April 2014

cikguazamaziz.tumblr.com

Media sosial melimpah. Banyak sangat medium. Sampai mencurah hendak dicerna dan ditelaah. Usah biar teknologi menguasai anda, bahkan anda perlu mengusai teknologi. 

Tumblr. Laman sosial yang dah lama aku guna. Cuma jarang masuk dan guna. Hari ni sengaja tulis pasal Tumblr, sebab usai instalasi aplikasi dalam telefon. hehehe



Ada kelapangan, singgah lah http://cikguazamaziz.tumblr.com/ kalau malas kopi dan tuang, picit sahaja di sini. Terus menuju ke sana. 

Selamat hari jumaat. :3

14 April 2014

Hujan

Rintik butir demi butir,
Menimpa lantai, menyembah gersangnya bumi.

Manusia juga gersang, perlukan air.

13 April 2014

Sekejap yang lambat

Mungkin satu perkara yang remeh, bahkan bagi segelintir orang adalah perkara biasa yang sudah menjadi norma. Namun mungkin sahaja bagi segelintir yang lain satu keadaan luar tabii yang wajar dielakkan. 

"Sekejap lagi saya sampai"

"ok.."

........seketika ........

.......beberapa ketika........

......lambat juga........

"engkau punya sekejap lambat"

"otw"


Realiti moden. Masa sangatlah mahal bagi siapa yang menghargainya. Kita sukar hargai masa tika lapang masih ada. Saat sempit dijelmakan depan mata, mahu sahaja minta diputar masa. Ini hakikat sang manusia. 

*terima kasih Ku Syafiq pencetus ide, lepas ni usah lambat bertemu beta, kelak jadi mangsa yang dihina :3

03 April 2014

Kuasa Media

Mahu tulis santai, di luar hujan lebat, dinginnya memanggil aku berselimut tebal, dirangkul lena melayar mimpi sejahtera, yang nikmatnya tiada kira.

Mahu tulis tentang kuasa. Entiti yang memiliki kuasa, tetapi aneh dalam tindakan dan perilakunya. Hari ini terlalu banyak isu di Malaysia. Bermacam-macam isu membuatkan kita rasa cakna. Padahal kita cuma lumba tanya, buat-buat tahu dan berlalu begitu. Satu perkara yang aku rasa tertarik untuk dikongsi. Walaupun mungkin sudah berlegar dalam benak kalian yang bervisi, namun aku masih rasa mahu tulis isi ini. 

Apabila ada sebahagian daripada rakyat kita anjurkan konsert, secara tersembunyi ataupun halal disisi sang penguasa, kalau untung lulus berjaya laksana, kalau rugi belum sempat lompat terkinja sudah dicantas dan diharam daripada dilaksana. Apabila konsert-konsert ini yang pada asalnya diberi kelulusan atas nama hiburan semata-mata, dan bila disebar secara melata oleh media masa, terus sahaja sang penguasa tunjuk taring yang berbisa. Konsert dibatalkan atas arahan pihak berkuasa, tajuk akhbar esoknya. 



Menjadi pelik, dah tahu konsert seperti itu mendatangkan kesan yang ada negatifnya, kenapa sedari awal diluluskan tanpa sebarang masalah? dan bila rakyat bersuara baru sang penguasa bertindak? sepatutnya sebagai sang penguasa yang prihatin dengan kemaslahatan rakyat, jiwa rakyat, dan juga pembentukkan modal insan negara, sang penguasa perlu cakna dengan isu ini. Bahkan sepatutnya diharamkan sejak sang penganjur menghantar permohonan penganjuran. Bukankah ini menampakkan seperti menjilat ludah sendiri? (mungkin tepat maknanya, hanya itu yang muncul dibenak saya)

Untung Malaysia punyai sang jelata yang cakna. Isu timbul, terus dikongsi mencari publisiti, disebar supaya sang penguasa jangan berdiam diri, cari solusi selesaikan masalah dan bekerja seperti mana dikehendaki. 

Wahai sang penguasa, ingatlah, jangan ambil mudah isu sang jelata, kami mengharap dikau memimpin kami memakmurkan negara. Letakkan akal pada  tempat sewajarnya. Supaya kami memandang hormat atas tindakan yang kau bijaksana. 

Moga kita dijauhkan daripada anasir kebinatangan, yang membogelkan maruah kita sebagai manusia, dan menginjak akal kita supaya setanding binatang yang akal tiada.. 

Selamat beramal ~


01 April 2014

Catatan 22 Februari 2014 ~ Perginya seorang kekasih..

Selamat sejahtera.. Pernah aku janji dalam entry ini, untuk tulis catatan yang aku coret sewaktu pagi pemergian abah aku yang tercinta. Ini aku salin semula buat kalian semua. 

*********

Saat aku menulis coretan ini, nurse usai cabut saluran dialisis abah. Doktor kata, dialisis ni dah tak ada kesan, buah pinggang pun dah tak berfungsi. Maka tiada cadangan untuk seterusnya, cuma mungkin menunggu masa tiba.

Abah masih bernafas depan aku, sejak pagi tadi aku berteleku disisi abah, yasin dah aku bacakan, air yasin, air zamzam, dah aku raupkan pada wajah dan aku lapkan pada badan abah. Abah masih macam tu, bernafas tanpa reaksi untuk sedar. Tadi ada makcik yang sama seperti aku jaga pesakit, dia selalu pandang abah yang tengah sakit, dia kata abah tak macam sakit pun, badan sihat, nampak macam tidur. Aku pun perasan, badan abah segar, walaupun doktor kata organ dalaman abah ada yang dah tak berfungsi, otak pun dah semakin tak berfungsi..



Aku seronok jaga abah tidur. Tenang je muka abah, banyak kali aku cium pipi dan dahi abah, walaupun banyak kali, tetap rasa tak puas. Setiap kali aku nak balik rehat lepas jaga abah, selalu aku bisik ditelinga abah, aku cakap " abah, kita balik dulu, esok kita datang lagi.." aku sangat mengharap agar abah akan balas "Ya". Itu sudah cukup bahagia bagi aku. Tapi apakan daya sunyi sepi, cuma desahan nafas yang menjawab aku. Lantas aku kucup pipi abah, dahi abah. Saat itu, mata mula berkaca. Aku tahan, aku tak nak nangis depan abah, meskipun hakikatnya air mata aku sedang mengalir saat aku menulis ini. Mujur abah tidur, tak nampak aku mengalirkan air mata. Aku nak abah tau, yang aku kuat, dan ada untuk dia menjadi lebih kuat. Abah memang kuat, bukan aku yang kata, tapi Dr. Rahimah yang kata, doktor pakar perubatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban ni. Aku ingat lagi satu pagi lepas dia buat pemeriksaan, dia jelaskan kepada aku apa yang sebenarnya terjadi pada abah. Dia kata abah kena strok dan pendarahan dalam otak. Tambah dia, kebiasaannya pesakit yang kena macam ni, dah tak ada dah, mungkin sebab abah kuat, sebab itu dia daoat bertahan sampai hari ni.

Aku berhenti tulis kejap, ada nurse datang periksa.

Aku genggam tangan abah, keras kulitnya, panas, dan tak bergerak. Aku rindu tangan ni untuk bergerak seperti biasa, tangan yang besarkan aku, dukung aku, hantar aku sekolah, tangan yang menjadi tempat aku cium bila bersalam. Rindunya Ya Tuhan...

Aku faham, aku redha, semua ni ujian buat kami sekeluarga, Dia lebih mengetahui hikmah yang akan datang. Aku redha Ya Allah...

Semenjak abah masuk hospital, ramai datang melawat abah, dan ramai yang nangis bila tengok abah. Aku jadi lemah bila tengok orang lain menangis. Aku cuba bertahan. Aku dia, aku tak mahu bicara, cuma yang penting sahaja aku lontar suara berkomunikasi..

Jiran, saudara mara, sahabat, anak murid juga datang melawat, juga yang mendoakan dari jauh. Aku sangat terharu kerana ada yang sudi doakan abah aku. Tiada nilai yang setara dengan jasa kalian semua. Hanya Tuhan sahaja dapat balas jasa baik kalian semua. Moga kita dalam lembayung rahmat NYA.

Aku berhenti tulis, nanti sambung lagi.


Azam Aziz
11.06 pagi
22/2/2014





moga abah tenang disana.. amin.. Kalian, sahabat saya yang sudah saya anggap seperti kakak, iaitu Kak yus juga kehilangan abahnya yang tercinta, molek kira kita sama-sama sedekahkan alfatihah buat abah kak yus, moga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman... amin..