30 July 2012

tragedi mercun: alah bisa tegal biasa

Setiap kali ramadhan tiba, saat bahagia buat semua. Tak kira, dari semulia-mulia imam, hingga lah ke sehina-hina hamba. Semua meraikan mengikut caranya. Pastinya berbeza setiap mereka. Setahun hanya sekali, merayakannya wajib sekali bagi mereka, dan kita. 



Mercun? Bunga Api? ya. alat mengghairahkan ramadhan buat segelintir manusia. Siapa sangka, bingit dentuman mercun yang seakan suasana medan perang, jadi santapan halwa telinga pada malam-malam ramadhan yang mulia di negara kita. Cukup meriah. Seolah-olah berperang mengikut penjuru mukim perumahan, mungkin juga ikut kariah masjid, tak pun ikut parti, lawan sesama sendiri. Siapa dentuman paling kuat dan cantik cahayanya, dialah juara rakyat!!

mercun macam ni agaknya berapa harga??


Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah ditepi pantai. Siulan orang tua, buat nasihat generasinya. Namun, masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Padanan yang cantik untuk bahasa dan suasana. Tiap kali tibanya ramadhan, berita tentang kecelakaan mercun menjadi santapan Buletin Utama. Jari jemari yang Tuhan kurniakan cukup sepuluh, hilang satu demi satu, putus separuh berkecai akibat dentuman mercun. Agaknya nanti bila di akhirat, menghadap Tuhan, Dia tanya kenapa jari tak cukup sepuluh seperti mana waktu Dia ciptakan kamu? agak-agak nak jawab apa? wallahualam..

hilang..


Serik tu perkara subjektif. Susah manusia nak faham tentang serik. Kita tengok berita saudara kita dari entah mana putus jari, kita jadi gementar. Lepas dua tiga minit, hilang perasaan gementar, lantas pacuan nafsu yang menggila menggoda jari jemari untuk membakar sumbu mercun yang seolah-olah memanggil-manggil untuk dibakar. Lantaran iman yang goyah, dan sikap inovasi yang menguasai setiap cabang saraf, timbul idea untuk menaik taraf mercun yang sedia ada. Harap letupan nanti yang kan terhasil, seperti atom yang menggegar Nagasaki. Nah bila dibakar, putus jari jemari. 

kegilaan ramai


Ingat lagi tahun lepas, satu tragedi berlaku apabila sebuah rumah usang yang menjadi markas dan gudang simpanan bekalan mercun,  meletup hingga mengorbankan seorang kanak-kanak berusia 6 tahun, hinggakan mayatnya berkecai dan tercampak ke atas pokok setinggi 15 meter. Lihat bahana mercun, tapi kita tak pernah sedar dan insaf, sebab agaknya insaf tu bagi mereka yang sudah kena, bukan kita. Mungkin la. 



Undang-undang sudah ada. Penguatkuasaan juga sudah ada. Cuma yang tinggal adalah kesedaran dalam setiap jiwa manusia dia negara kita. Ada masalah kita selalu tunding jari menyalahkan pihak berkuasa, tapi kita tak pernah menilai diri kita samada kita dah betul dalam setiap tindakan kita. Ya, tiada manusia yang sempurna, tetapi cubalah ke arah sempurna. Muhasabah diri kita. Sampai bila kita nak terus hidup dalam lingkaran kebejatan diri kita sendiri? sampai bila kita nak menyulam dosa menjadi tiket ke neraka? sampai bila? 

Perkara paling jauh dengan kita adalah masa lepas, dan perkara yang paling dekat dengan kita adalah mati. Moga, kita sentiasa mendapat hidayah dariNya..

Salam Ramadhan 

24 July 2012

8 jam, emosi dan mentaliti

Usai tonton filem 8 jam. Mula-mula persepsi, mesti babak klise, dan ulangan skil pergaduhan samseng kota menjadi taruhan. Melodi cinta ulangan filem-filem yang selalu menjadi buah tangan pembikin filem malaya. Watak sampingan yang kaku, menjadi pak pacak yang memeriahkan setiap babak. Ya, antara klise ini ada dalam filem ni. Tapi tak semua. 





Mengangkat tema anak jalanan yang tersepit antara ruang hidup yang sempit, dibebani dengan emosi dan perasaan yang sangat berat dan tertekan, membuatkan filem ni nampak realitinya. Kisah anak lorong, yang menghirup suasana lorong yang gelap, dengan setiap sisi hidupnya dilatari dengan kemiskinan dan kesengsaraan, ibu yang ditindas, membuatkan kita percaya, ini realiti hidup di lorong. Lorong bandar-bandar besar yang hipokrit dengan kebajikan rakyat.
Bagi aku, antara yang paling aku suka bila watak utama, Alang Budiman, yang sebenarnya mentalnya sakit, bukan bermakna dia gila, cuma dia tertekan dan emosi yang terganggu hingga menjadi pendaman yang menunggu untuk meletus. Akhirnya dia menjadi watak yang tidak stabil emosi dalam melampiaskan amarahnya. Kalau dilihat, sukar percaya kalau watak alang itu benar-benar wujud dalam persekitaran 1Malaysia, watak yang sukar dijangka keadaan mentalnya. sebenarnya, itulah yang dihadapi kita hari ini, kesihatan mental. 





Bukan fizikal sahaja yang perlu dirawat, mental juga perlu dijaga dan dipelihara. Supaya segala batas-batas sebagai manusia kita mampu jaga. Sama dengan watak alang, sejak kecil tiada bimbingan lantaran ibu yang sibuk dengan pencarian sekelumit rezki, ditambah dengan ketiadaan ayah tempat berlindung, tiada sahabat untuk berkongsi cerita untuk melepaskan perasaan, berkongsi masalah meredakan amarah, semua itu tiada untuk alang. Jadi tidak hairan, dia bertingkah menyalahi agama dan undang-undang. 


Bagi aku, babak aksi juga seimbang, menarik, cuma gerakan kaku masih ada. Pendapat la, kalau babak aksi dikurangkan, dan diisi dengan kisah-kisah yang lebih meruntun jiwa, pastinya filem ini mampu membuatkan sesiapa yang menonton terkesan. Garapan rangkanya sudah cantik, lain dari filem aksi malaya yang lain. 


Garapan hujung pengkisahan juga menarik. Seolah-olah filem ini diangkat daripada kisah benar, mungkin juga. Tiada babak kebahagian pada penghujungnya. Filem ini selesa begitu hujungnya.


Sinematografinya seperti biasa. Biasa dan sederhana. Semua tempat seolah-olah pernah kita tonton dalam filem-filem malaya yang lain. Rasanya sudah sampai masa pembikin filem cari bandar-bandar besar lain selain KL untuk dijadikan pentas lakonan. 


#sekadar bercerita ikut apa yang dirasa bila menontonnya..

23 July 2012

kesakitan jiwa

Jiwa itu laksana kain yang putih, bersih dan suci tatkala dilahirkan. Kemudian, dia dicorakkan mengikut apa yang anda lakukan, apa yang anda fikirkan. hasilnya, lahirlah pelbagai jenis corak yang menghiasi setiap ruang jiwa anda. Nampak mudah, mahu jiwa yang bersih, fikir dna buatlah perkara yang bersih, yakni baik, dan sebaliknya. Bermodalkan air liur memang senang, percuma, dan sentiasa percuma tanpa usaha. 

Memiliki jiwa yang tenteram sangat didambakan setiap insan. Lebih-lebih lagi mereka yang sering dengan kekacauan. Kadang kala jiwa yang terganggu membikin hati tak tenang, perbuatan tak terurus dan tak semenggah.



Bunuh diri, jiwa sakit, tertekan, semua itu bahana emosi dan jiwa yang terganggu. Ruang akal yang disempitkan oleh tekanan jiwa dan emosi membuatkan ruang pemikiran rasional dan relevan terbantut. Maka  perbuatan yang menyalahi akal dan juga agama menjadi sandaran tingkah laku. 

Ketenangan itu sukar untuk dicari sebagai peneman jiwa, kalau kita tak percaya dengan kuasaNya. Tuhan sudah memberi tunjuk ajar, mahu ketenangan berzikirlah memuji Dia. Insyaallah jiwa yang kusut dan serabut, kan mudah terurai dan meleraikan setiap simpulan jiwa yang berbelit mengikat perasaan menjadi normal. Tetapi, kita sombong. Tak mahu ikut. Itulah yang jadi, bila jadi bodoh sombong. 



Peliharalah jiwa dan emosi mu, supaya sentiasa menjadi dampingan hidayah Tuhan, supaya kita tak lari dari menghadapnya. Moga setiap ruang dalam jiwa kita ka senantiasa terisi dengan hidayah, dan ketenangan yang abadi.. 


09 July 2012

segmen Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan

"Wahai manusia, kini datang bulan yang mulia, bulan yang berkat"


Assalamualaikum buat sahabat semua. moga sihat hendaknya. Kali ni, terbit rasa dijiwa untuk buat satu segmen. segmen yang biasa-biasa saja. Cikgu nama kan segmen Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan, sempena menanti dan merayakan kedatangan bulan ramadhan. ya lah, ramadhan dah dekat, jadi dengan penyebaran segmen ni membuatkan kita jadi lebih teruja untuk menikmati dan menghargai bulan ramadhan nanti.



Ganjarannya?? harap maaflah, cikgu tak menyediakan apa-apa ganjaran yang cantik, comel, mahal ataupun beli dari jauh, dan bukan juga sponsor. Cikgu niat ikhlas buat segmen ni nak menyedarkan diri sendiri dan sahabat semua tentang kedatangan ramadhan. itu sahaja. Insyaallah, ganjaran dariNya lagi Maha Hebat.

Tiada syarat yang pelik mahupun susah. Seperti segmen-segmen lain, cuma perlu buat begini;

1- buat satu entry bertajuk Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan. Dalam entry itu anda boleh ceritakan pengalaman berpuasa anda, ataupun ganjaran/kelebihan  bulan Ramadhan.

2- letakkan gambar banner segmen ini pada entry anda, dan link kan ke blog Jiwa Saya ni

3- tag kan pada kawan-kawan blogger yang lain, tidak ada kuantiti yang dihadkan, terpulang buat anda.

4- tiada paksaan, follow lah blog Jiwa Saya milik cikgu Azam Aziz ni.


5- kalau sudah siap, tinggalkan link entry anda pada komen dibawah


6- mudah kan



tarikh akhir untuk segmen ini, sampai menjelangnya satu Syawal. Moga kita dapat berdakwah dan menyebarkan tentang agama Allah dengan apa jua medium, termasuk blog. 
Salam sahabat buat semua =)



03 July 2012

keluarga baru

Kali ni nak kenalkan ahli keluarga baru rumah kami, namanya Si Mini. Warna oren putih. 


dia sangat lincah, pantang kalau ada orang ke dapur, mesti dia kejar !!