24 July 2012

8 jam, emosi dan mentaliti

Usai tonton filem 8 jam. Mula-mula persepsi, mesti babak klise, dan ulangan skil pergaduhan samseng kota menjadi taruhan. Melodi cinta ulangan filem-filem yang selalu menjadi buah tangan pembikin filem malaya. Watak sampingan yang kaku, menjadi pak pacak yang memeriahkan setiap babak. Ya, antara klise ini ada dalam filem ni. Tapi tak semua. 





Mengangkat tema anak jalanan yang tersepit antara ruang hidup yang sempit, dibebani dengan emosi dan perasaan yang sangat berat dan tertekan, membuatkan filem ni nampak realitinya. Kisah anak lorong, yang menghirup suasana lorong yang gelap, dengan setiap sisi hidupnya dilatari dengan kemiskinan dan kesengsaraan, ibu yang ditindas, membuatkan kita percaya, ini realiti hidup di lorong. Lorong bandar-bandar besar yang hipokrit dengan kebajikan rakyat.
Bagi aku, antara yang paling aku suka bila watak utama, Alang Budiman, yang sebenarnya mentalnya sakit, bukan bermakna dia gila, cuma dia tertekan dan emosi yang terganggu hingga menjadi pendaman yang menunggu untuk meletus. Akhirnya dia menjadi watak yang tidak stabil emosi dalam melampiaskan amarahnya. Kalau dilihat, sukar percaya kalau watak alang itu benar-benar wujud dalam persekitaran 1Malaysia, watak yang sukar dijangka keadaan mentalnya. sebenarnya, itulah yang dihadapi kita hari ini, kesihatan mental. 





Bukan fizikal sahaja yang perlu dirawat, mental juga perlu dijaga dan dipelihara. Supaya segala batas-batas sebagai manusia kita mampu jaga. Sama dengan watak alang, sejak kecil tiada bimbingan lantaran ibu yang sibuk dengan pencarian sekelumit rezki, ditambah dengan ketiadaan ayah tempat berlindung, tiada sahabat untuk berkongsi cerita untuk melepaskan perasaan, berkongsi masalah meredakan amarah, semua itu tiada untuk alang. Jadi tidak hairan, dia bertingkah menyalahi agama dan undang-undang. 


Bagi aku, babak aksi juga seimbang, menarik, cuma gerakan kaku masih ada. Pendapat la, kalau babak aksi dikurangkan, dan diisi dengan kisah-kisah yang lebih meruntun jiwa, pastinya filem ini mampu membuatkan sesiapa yang menonton terkesan. Garapan rangkanya sudah cantik, lain dari filem aksi malaya yang lain. 


Garapan hujung pengkisahan juga menarik. Seolah-olah filem ini diangkat daripada kisah benar, mungkin juga. Tiada babak kebahagian pada penghujungnya. Filem ini selesa begitu hujungnya.


Sinematografinya seperti biasa. Biasa dan sederhana. Semua tempat seolah-olah pernah kita tonton dalam filem-filem malaya yang lain. Rasanya sudah sampai masa pembikin filem cari bandar-bandar besar lain selain KL untuk dijadikan pentas lakonan. 


#sekadar bercerita ikut apa yang dirasa bila menontonnya..

1 comment:

Secerah NurRahman said...

minda dan jiwa manusia juga sakit
mungkin inilah realiti ygcuba disampaikan...

lain-lain cerita jiwa saya

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...