12 September 2011

berzikir dalam monorail

Semalam. Aku pergi kl kejap. Ada urusan di Istana Budaya. Sewaktu aku dalam perjalanan balik, naik monorail, dari stesen Titiwangsa menuju ke KL sentral, terperasan seorang lelaki tua. Tangan dia pegang tasbih. Sambil jari jemari dia mengulit butir-butir tasbih. Mulut terkumat kamit, mungkin memuji Tuhan.



Cuba nak tengok wajah dia. Rupa-rupanya lelaki warga asing. Dalam hati, patut la...

07 September 2011

nak balik tanjung malim!!!


Hari ini tanggal 7 September, bermakna tinggal lima hari saja kuliah akan bermula. 10 september aku sudah mula berangkat meninggalkan bumi serting aka raja alias, menuju ke bumi Tanjung Malim.

Sayu rasanya nak meninggalkan rumah, setelah menjadi penghuni tegar selama 4 bulan. Lepas ni tak ada lagi nak bangun lambat mak kejut, atau abah kejut. Tak ada lagi kucing-kucing kesayangan berkeliaran didepan mata. nanti aku akan rindu pada mereka.




Perasaan nak masuk balik Universiti Pendidikan Sultan Idris seakan-akan membuatkan aku tak keruan. Macam-macam perasaan datang berdamping disisi aku. hehe macam kisah hantu pula.




Rindu nak berjumpa dengan sahabat-sahabat yang lain. Sudah 4 bulan tak bersua. Apa agaknya perubahan mereka kan. Aku dah berubah bentuk fizikal, (semakin kembang)

Apa-apa pun nak naik semester  baru, mesti ada harapan dan semangat baru. Itu yang penting untuk memulakan sesuatu perjalanan. 

Moga azam dan harapan aku untuk semester depan menjadi sesuatu yang memberi manfaat buat aku disana nanti. amin..

05 September 2011

Filem Hantu Bonceng mencecah 5 juta dalam 5 hari!



5 juta dalam masa lima hari! wow, itu sudah cukup lebih daripada bagus dan cemerlang. Itulah info yang aku dapat melalui satu blog ni tentang kutipan filem Hantu Bonceng arahan sutradara Ahmad Idham.



DIkatakan lagi, purata setiap hari kutipan untuk filem ini adalah mencecah RM1 juta!! dan dipercayai adalah filem terlaris setakat ini dan sudah ditonton hampir 500,000 penonton di 80 pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei. 


"...Perkiraan kutipan tiket bermula dari 31 Ogos sehingga 4 September 2011, di 80 pawagam, serentak di Malaysia, Singapura dan Brunei. Dengan jumlah kutipan tiket sebanyak RM 5 juta ini, menjadikan lebih 500 000 (Lima ratus ribu) penonton telah menonton Hantu Bonceng di pawagam..."

-ulasan blog tersebut-


"..Saya juga menyeru kepada semua pihak yang belum mahu pun yang sudah menonton Hantu Bonceng, untuk pergi ke pawagam, bersama teman-teman dan sanak saudara di Aidilfitri ini, untuk menonton filem ini. Hantu Bonceng adalah sebuah komedi ringan yang mempunyai mesej serta mampu mengeratkan perhubungan di antara rakan taulan dan saudara.....
Selain itu, sekali lagi, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penonton dan peminat, dan diharapkan sokongan yang diterima berterusan untuk memastikan ‘Hantu Bonceng’ mampu melakarkan satu lagi sejarah perfileman tempatan, dan kita akan dapat berbangga dengan produk filem sendiri.."

-Ahmad Idham-




Dato Siti pon tengok tau..







“Yang pasti ianya sebuah filem yang tidak membosankan dengan jalan cerita yang menarik. Walaupun menonton lewat malam, saya masih ketawa dan menyukai Hantu Bonceng ini.”
-Dato Siti Nurhaliza-




*anda diingatkan untuk menempah terlebih dahulu untuk memudahkan anda mendapatkan tiket..


04 September 2011

otak tepu makan lemang


Sejak mula hari raya, tangan dan akal sudah mula malas nak menaip karangan entry terbaru. Mesti bahana makan lemang banyak sangat, sampaikan otak jadi tepu dengan lemak. Kalau dulu ada saja idea nak dikarangkan dan dicambahkan, tapi sekarang susah betul. Kalau ada idea pun, tapi malas pula nak menaip. Haish..



Aku rasa ni mesti sindrom selepas makan ketupat dan juadah raya banyak sangat. Badan semakin membesar. Walaupun puasa sebulan, rasanya dengan hari raya pertama dan kedua dah naik sama macam sebelum puasa. Haish..




Minggu depan dah balik ke UPSI. Sesi sibuk dengan kelas, kuliah, tutorial, tugasan dan sebagainya bakal bermula. Lagilah bertambah sibuk nak menulis entry baru. Bertambah beban dan ujian. Tangan ni dah kaku nak menulis. Rasanya terkial-kial jugak la nak menulis. Bayangkan, cuti selama empat bulan, jarang pegang pen atau pensil. Dah la semester depan ada tiga subjek sejarah. Maknanya banyak la nak ditulisnya. Mulai hari ni kena berlatih menulis ni. Nanti senang hari pertama kuliah. Tak terkial-kial kan.




Raya pun dah nak habis seminggu, rasa cepat masa berlalu. Lumrah alam, tak ada siapa berdaya mengulangi masa. Itu kuasa Tuhan. 

Dulu lastik burung, kini "angry bird" di iphone..


Salam aidilfitri. Bila sebut perihal raya, maka akan terkenang dalam lubuk minda, terbayang sketsa lama yang menjadi kenangan dalam lipatan sejarah kehidupan. Momen-momen manis seakan berlegar-legar menunggu masa untuk diputarkan dalam layar kenangan. Lantas tercetus prasangka-prasangka tentang perbandingan kenangan dan kenyataan hari ini.






Sering kita dengar, "dulu lain, sekarang lain", "kalaulah aku masih budak-budak lagi", "rindunya zaman dahulu". semua dialog-dialog klise raya ini seakan menjadi rutin tatkala menjelangnya raya. Seolah-olah upacara kewajiban untuk diungkapkan, dan didengar halwa telinga. Bila mendengarnya, sayu dan terkesan di dalam jiwa. tak kira tua atau muda, semuanya meraikan masa muda dan kenangan silam yang manis, juga pahit.

Wujudnya perbezaan peradaban dan budaya adalah kesan putaran dan peredaran masa. Masa berputar mahupun berjalan tanpa berhenti satu saat pun sejak masa mula diputarkan. Walaupun kita sering saja dimomokkan dengan adegan dalam tayangan filem mengenai kehebatan pelakon memberhentikan masa, mengulang semula masa, mahupun  merentas masa. Canggih kan idea-idea mereka untuk menipu kita. langsung kita terlongo sambil memuji dan memuja kehebatan mereka. Bodoh bukan kita?








Itulah kesan dan bahana putaran masa. Lihat sahaja zaman keagungan empayar-empayar agung dunia, semuanya kelihatan canggih dan hebat pada masa itu. Namun bila disoroti pada waktu ini, pasti kalian akan tersenyum sambil sinis. Walaupun rekaan mereka hebat laksana ciptaan dewa dewi (pemahaman agama dahulu kala) hakikatnya tiada apa-apa bila dipinjamkan untuk masa kini.






Namun perlu ingat, hasil kehebatan idea-idea mudah dan ringan masyarakat purbakala, membuka ruang dimensi yang baru dalam dunia penciptaan masa kini. Terjerumusnya ciptaan-ciptaan agung dalam lipatan sejarah dunia, adalah hasil daripada idea-idea mudah yang terhasil daripada pemikiran mereka yang entah siapa. Dengan sedikit ilmu hasil perkenan Tuhan, dicambahkan dengan pemahaman yang agung kepada Pencipta, dan dirapikan dengan daya fikiran yang keras usaha, menghasilkan ciptaan yang hebat dan bijaksana. 

Tentu sahaja kita langsung tak pernah terfikir atau mengimpikan akan menggunakan komputer riba untuk menulis perkataan, malah langsung tak tertimbul idea untuk memikirkan mengira jumlah nombor yang menjangkau digit yang besar, dengan hanya menggunakan mesin kira-kira.langsung tak terfikir bukan? Namun dengan idea bijaksana mereka yang ingin menyelesaikan masalah dan memudahkan kerja, maka terciptalah idea-idea ini. Sejarah membuktikan betapa idea-idea hebat dunia adalah hasil daripada kreariviti manusia dalam menyelesaikan masalah dan juga untuk memudahkan kerja manusia dalam kehidupan seharian. 

Hari ini lihat sahaja, dunia dibanjiri dengan perkakas elektronik yang canggih dan pintar. Dengan alat-alat komunikasi yang terkini dan canggih, maka memudahkan segala urusan dan kehidupan. Kadang-kala mampu menimbulkan seribu satu masalah pada kita sebagai pengguna. Budak berumur tiga tahun pun sudah tahu menggunakan ipad, kanak-kanak sudah memiliki telefon pintar iphone mahupun Blackberry. Lihat, memang sudah dibanjiri. Cuma menunggu masa untuk lemas sahaja. Jika dulu hero kampung bangga dengan buruan lastiknya, kini hero bandar bangga dengan jumlah level yang tertinggi dalam permainan angry bird. Beza bukan. 






Walau secanggih mana alat dicipta untuk memudahkan manusia, maka perlu kita beringat akan ciptaan Tuhan yang maha hebat buat manusia, yakni akal. Gunakan sebaik mungkin untuk tujuan yang baik, membantu, memberi manfaat kepada orang lain. Itu sebaik-baiknya sebagai seorang "pengguna".

02 September 2011

dibunuh kerana komen difacebook


JAKARTA - Polis Indonesia menahan dua lelaki yang dipercayai membunuh rakannya akibat perasaan tidak puas hati berhubung komen yang ditulis mangsa dalam laman sosial
Facebook.

Ketua Polis Jakarta, Yoyol berkata, pembunuhan tersebut berlaku pada minggu lalu ekoran si pelaku tidak berpuas hati dengan komen mangsa yang menggunakan kata-kata kesat kepada akaun Facebook milik isteri seorang daripada tertuduh.



"Mangsa merupakan rakan kepada dua tertuduh dan dia dipercayai mengirim komen menggunakan kata-kata kesat ke akaun Facebook isteri seorang daripada pelaku itu.

"Selepas membaca komen tersebut, isterinya mengadu hal itu kepada suaminya," katanya.

Berang dengan perbuatan itu, si suami dan rakannya mengatur pertemuan dengan mangsa dan setibanya mangsa di lokasi yang ditetapkan, kedua-dua tertuduh bertindak mencekiknya sehingga mati. - AGENSI






*sikap dan perbuatan kadang kala melampaui batas pergaulan antara manusia. Sehingga benda yang remeh menjadi besar, gara-gara tidak mampu menangani krisis mental dengan baik. Melihat situasi di atas, jelas terlihat betapa Facebook bukan setakat menambah kenalan, malahan menambah beban pada mental juga fizikal. Lagi-lagi buat mereka yang begitu taksub akan kecanggihan laman sosial ini. Kewarasan akal tidak diselaraskan dengan tindak tanduk, sehingga memandu mental dan fikiran ke arah perbuatan melangkaui batas-batas kemanusian. 

Untuk menggunakan aplikasi laman sosial ini perlu bijak. Usah terlalu memberi fokus yang utama pada laman ini. Kerna selalu yang memberikan kita senyuman, akhirnya memalitkan kita secebis kepahitan.


Merdeka raya :: fahaman yang diterjemah


Selamat hari raya aku ucapkan buat semua, sudah beberapa hari raya aku tak kemas kini blog ni. Terasa lama juga tak melimpahkan kata-kata. Habis satu syawal, disusuli dengan hari yang begitu memberi kesan bagi setiap  insan yang bergelar rakyat Malaysia. barang siapa yang langsung tak ada perasaan tentang hari ini, maka jelas tertunjuk betapa dia perlukan satu bimbingan mengenai negara kita-ceramah cikgu sejarah.

Sempena dengan sambutan dua hari yang begitu bermakna bagi umat Islam dan Malaysia, wujud beberapa idea yang menghendakan kita supaya serasikan perkataan raya dan merdeka. Untuk menggabung dan menjalin mesrakan kedua-dua perkataan ini bukan mudah, perlukan ketelitian yang mendalam, dan cambahan yang wujud hasil jalinan itu tadi perlu dirapikan, supaya tidak wujudnya sebarang bentuk salah faham yang berniat jahat. 








Kita ini hidup dalam jalinan masyarakat yang diklasifikasikan sebagai masyarakat majmuk, berbilang bangsa dan agama. Terdiri daripada pelbagai keturunan dan talian darah yang berbeza. Maka, itu sudah menunjukkan, untuk menjalinkan secara mesra antara kita adalah satu perkara yang sukar. Penerimaan setiap individu adalah berbeza, pandangan dan fikiran juga lagilah ketara perbezaanya. 

Hal ini menjadikan negara kita begitu, mudah dicemburui oleh jiran asing dan negara-negara yang selama ini memendam rasa dengan kejayaan negara kita. Bukan aku nak kata kita perlu prasangka dengan negara jiran asing, tidak. Perkataan yang sesuai adalah "beringat". Sangat mudah untuk anasir luar meleraikan ikatan ukhwah antara bangsa yang kita jalinkan sejak zaman kelahiran pahlawan melayu melaka. Waktu kegemilangan kota Melaka sendiri kita sudah tunjukkan betapa kita mampu bertolak ansur, dan mengunjurkan permuafakatan antara pedagang-pedagang asing yang berbeza dari segi warna, rupa, agama, dan juga bahasa. malah disatukan dengan pertuturan yang sama, yakni bahasa Melayu sehingga dilabel sebagai Lingua franca pada masa itu.

Kadang-kadang, dengan sikap tolak ansur yang kita tawarkan, perlu untuk kita lampirkan dengan ketegasan. Beringat dahulu, bukan semua perkara perlukan tolak ansur. Nanti dengan sikap tolak ansur itu kita diperbodohkan dan diinjak serupa sampah dan abdi. Lagi sekali, bukan aku mengharamkan sikap tolak ansur, tetapi lebih kepada berpada-pada, usah berlebihan dalam tolak ansur. Terpulang kepada anda untuk menerimanya.






Dalam simpulan makna raya dan merdeka, perlu diambil kira, jalinan apa yang perlu dalam mengadun kedua-dua fahaman ini. Setiap fahaman ini perlu diterjemah secara teliti, dan ditapis setiap makna dan patah cabang fahamannya agar tak tersimpul mati dihujung fahaman penganutnya nanti. Selesai menapis dan mencerna kedua-dua fahaman tersebut, maka sedialah dengan mencari dimana cabang fahaman yang boleh dicantum, dan dijalinkan supaya nampak serasi dan kena pada tempatnya. Bukan membabi buta mencantumkan patah ranting, langsung hodoh dan tak semenggah sambungannya. 

Nah, selesai mencari persefaham, maka jalinkan kedua-duanya, supaya tampak lebih indah dalam jalinan yang baru. kan mudah. Setiap kerja ini perlu dilakukan secara teliti dan fokus, supaya hasilnya indah dan cantik nanti.

Menerusi pembacaan aku, aku tertarik dengan jalinan mesra  kedua fahaman ini. Merdeka Raya dijalinkan dengan melihat kepada kebebasan yang terhasil daripada perjuangan dan kemenangan dalam menuntut hak yang menjadi milik kita. Kemenangan yang hakiki menerusi perjalanan sepanjang bulan Ramadhan, dirai dan dijayakan dengan mengambil kira betapa kebebasan mutlak itu perlu untuk setiap insan dimuka bumi Allah ini.

Kebebasan yang hak, daripada dibelenggu dengan segala kotoran maksiat dan dosa, setelah menempuh hari-hari dugaan yang dianugerahkan Allah buat hambanya. Rezki yang dilampirkan bersama ujian, mencurah-curah mengisi dada keimanan setiap mukmin. Sehingga membawa ketenangan dan cahaya yang indah dalam setiap jiwa-jiwa yang mengharungi Ramadhan dengan sebaik mungkin.

Moga segala yang berlaku sepanjang bulan ramadhan kali ini, membawa erti kebebasan yang sebenar dalam diri kita. Seterusnya menjalin mesrakan antara kita dan agama. 

Sejarah yang lepas perlu dikenang, supaya kita beringat, tentang kita yang pernah alpa suatu masa dulu. Pejuang-pejuang yang yang mengorbankan nyawanya demi kita untuk bernafas dibumi Malaysia dengan aman juga perlu dikenang, dan dihadiahkan doa, supaya kita dapat tahu erti membalas jasa, walaupun jasa mereka tak terbalas harganya. 

Walaupun kita berlainan fahaman atau aliran, bersatulah demi agama dan bangsa. Jangan nanti si kitol dua datang menjelma, kita langsung berputih mata.

~SELAMAT HARI RAYA DAN MERDEKA YANG KE-54~