04 September 2011

Dulu lastik burung, kini "angry bird" di iphone..


Salam aidilfitri. Bila sebut perihal raya, maka akan terkenang dalam lubuk minda, terbayang sketsa lama yang menjadi kenangan dalam lipatan sejarah kehidupan. Momen-momen manis seakan berlegar-legar menunggu masa untuk diputarkan dalam layar kenangan. Lantas tercetus prasangka-prasangka tentang perbandingan kenangan dan kenyataan hari ini.






Sering kita dengar, "dulu lain, sekarang lain", "kalaulah aku masih budak-budak lagi", "rindunya zaman dahulu". semua dialog-dialog klise raya ini seakan menjadi rutin tatkala menjelangnya raya. Seolah-olah upacara kewajiban untuk diungkapkan, dan didengar halwa telinga. Bila mendengarnya, sayu dan terkesan di dalam jiwa. tak kira tua atau muda, semuanya meraikan masa muda dan kenangan silam yang manis, juga pahit.

Wujudnya perbezaan peradaban dan budaya adalah kesan putaran dan peredaran masa. Masa berputar mahupun berjalan tanpa berhenti satu saat pun sejak masa mula diputarkan. Walaupun kita sering saja dimomokkan dengan adegan dalam tayangan filem mengenai kehebatan pelakon memberhentikan masa, mengulang semula masa, mahupun  merentas masa. Canggih kan idea-idea mereka untuk menipu kita. langsung kita terlongo sambil memuji dan memuja kehebatan mereka. Bodoh bukan kita?








Itulah kesan dan bahana putaran masa. Lihat sahaja zaman keagungan empayar-empayar agung dunia, semuanya kelihatan canggih dan hebat pada masa itu. Namun bila disoroti pada waktu ini, pasti kalian akan tersenyum sambil sinis. Walaupun rekaan mereka hebat laksana ciptaan dewa dewi (pemahaman agama dahulu kala) hakikatnya tiada apa-apa bila dipinjamkan untuk masa kini.






Namun perlu ingat, hasil kehebatan idea-idea mudah dan ringan masyarakat purbakala, membuka ruang dimensi yang baru dalam dunia penciptaan masa kini. Terjerumusnya ciptaan-ciptaan agung dalam lipatan sejarah dunia, adalah hasil daripada idea-idea mudah yang terhasil daripada pemikiran mereka yang entah siapa. Dengan sedikit ilmu hasil perkenan Tuhan, dicambahkan dengan pemahaman yang agung kepada Pencipta, dan dirapikan dengan daya fikiran yang keras usaha, menghasilkan ciptaan yang hebat dan bijaksana. 

Tentu sahaja kita langsung tak pernah terfikir atau mengimpikan akan menggunakan komputer riba untuk menulis perkataan, malah langsung tak tertimbul idea untuk memikirkan mengira jumlah nombor yang menjangkau digit yang besar, dengan hanya menggunakan mesin kira-kira.langsung tak terfikir bukan? Namun dengan idea bijaksana mereka yang ingin menyelesaikan masalah dan memudahkan kerja, maka terciptalah idea-idea ini. Sejarah membuktikan betapa idea-idea hebat dunia adalah hasil daripada kreariviti manusia dalam menyelesaikan masalah dan juga untuk memudahkan kerja manusia dalam kehidupan seharian. 

Hari ini lihat sahaja, dunia dibanjiri dengan perkakas elektronik yang canggih dan pintar. Dengan alat-alat komunikasi yang terkini dan canggih, maka memudahkan segala urusan dan kehidupan. Kadang-kala mampu menimbulkan seribu satu masalah pada kita sebagai pengguna. Budak berumur tiga tahun pun sudah tahu menggunakan ipad, kanak-kanak sudah memiliki telefon pintar iphone mahupun Blackberry. Lihat, memang sudah dibanjiri. Cuma menunggu masa untuk lemas sahaja. Jika dulu hero kampung bangga dengan buruan lastiknya, kini hero bandar bangga dengan jumlah level yang tertinggi dalam permainan angry bird. Beza bukan. 






Walau secanggih mana alat dicipta untuk memudahkan manusia, maka perlu kita beringat akan ciptaan Tuhan yang maha hebat buat manusia, yakni akal. Gunakan sebaik mungkin untuk tujuan yang baik, membantu, memberi manfaat kepada orang lain. Itu sebaik-baiknya sebagai seorang "pengguna".

No comments: