02 September 2011

Merdeka raya :: fahaman yang diterjemah


Selamat hari raya aku ucapkan buat semua, sudah beberapa hari raya aku tak kemas kini blog ni. Terasa lama juga tak melimpahkan kata-kata. Habis satu syawal, disusuli dengan hari yang begitu memberi kesan bagi setiap  insan yang bergelar rakyat Malaysia. barang siapa yang langsung tak ada perasaan tentang hari ini, maka jelas tertunjuk betapa dia perlukan satu bimbingan mengenai negara kita-ceramah cikgu sejarah.

Sempena dengan sambutan dua hari yang begitu bermakna bagi umat Islam dan Malaysia, wujud beberapa idea yang menghendakan kita supaya serasikan perkataan raya dan merdeka. Untuk menggabung dan menjalin mesrakan kedua-dua perkataan ini bukan mudah, perlukan ketelitian yang mendalam, dan cambahan yang wujud hasil jalinan itu tadi perlu dirapikan, supaya tidak wujudnya sebarang bentuk salah faham yang berniat jahat. 








Kita ini hidup dalam jalinan masyarakat yang diklasifikasikan sebagai masyarakat majmuk, berbilang bangsa dan agama. Terdiri daripada pelbagai keturunan dan talian darah yang berbeza. Maka, itu sudah menunjukkan, untuk menjalinkan secara mesra antara kita adalah satu perkara yang sukar. Penerimaan setiap individu adalah berbeza, pandangan dan fikiran juga lagilah ketara perbezaanya. 

Hal ini menjadikan negara kita begitu, mudah dicemburui oleh jiran asing dan negara-negara yang selama ini memendam rasa dengan kejayaan negara kita. Bukan aku nak kata kita perlu prasangka dengan negara jiran asing, tidak. Perkataan yang sesuai adalah "beringat". Sangat mudah untuk anasir luar meleraikan ikatan ukhwah antara bangsa yang kita jalinkan sejak zaman kelahiran pahlawan melayu melaka. Waktu kegemilangan kota Melaka sendiri kita sudah tunjukkan betapa kita mampu bertolak ansur, dan mengunjurkan permuafakatan antara pedagang-pedagang asing yang berbeza dari segi warna, rupa, agama, dan juga bahasa. malah disatukan dengan pertuturan yang sama, yakni bahasa Melayu sehingga dilabel sebagai Lingua franca pada masa itu.

Kadang-kadang, dengan sikap tolak ansur yang kita tawarkan, perlu untuk kita lampirkan dengan ketegasan. Beringat dahulu, bukan semua perkara perlukan tolak ansur. Nanti dengan sikap tolak ansur itu kita diperbodohkan dan diinjak serupa sampah dan abdi. Lagi sekali, bukan aku mengharamkan sikap tolak ansur, tetapi lebih kepada berpada-pada, usah berlebihan dalam tolak ansur. Terpulang kepada anda untuk menerimanya.






Dalam simpulan makna raya dan merdeka, perlu diambil kira, jalinan apa yang perlu dalam mengadun kedua-dua fahaman ini. Setiap fahaman ini perlu diterjemah secara teliti, dan ditapis setiap makna dan patah cabang fahamannya agar tak tersimpul mati dihujung fahaman penganutnya nanti. Selesai menapis dan mencerna kedua-dua fahaman tersebut, maka sedialah dengan mencari dimana cabang fahaman yang boleh dicantum, dan dijalinkan supaya nampak serasi dan kena pada tempatnya. Bukan membabi buta mencantumkan patah ranting, langsung hodoh dan tak semenggah sambungannya. 

Nah, selesai mencari persefaham, maka jalinkan kedua-duanya, supaya tampak lebih indah dalam jalinan yang baru. kan mudah. Setiap kerja ini perlu dilakukan secara teliti dan fokus, supaya hasilnya indah dan cantik nanti.

Menerusi pembacaan aku, aku tertarik dengan jalinan mesra  kedua fahaman ini. Merdeka Raya dijalinkan dengan melihat kepada kebebasan yang terhasil daripada perjuangan dan kemenangan dalam menuntut hak yang menjadi milik kita. Kemenangan yang hakiki menerusi perjalanan sepanjang bulan Ramadhan, dirai dan dijayakan dengan mengambil kira betapa kebebasan mutlak itu perlu untuk setiap insan dimuka bumi Allah ini.

Kebebasan yang hak, daripada dibelenggu dengan segala kotoran maksiat dan dosa, setelah menempuh hari-hari dugaan yang dianugerahkan Allah buat hambanya. Rezki yang dilampirkan bersama ujian, mencurah-curah mengisi dada keimanan setiap mukmin. Sehingga membawa ketenangan dan cahaya yang indah dalam setiap jiwa-jiwa yang mengharungi Ramadhan dengan sebaik mungkin.

Moga segala yang berlaku sepanjang bulan ramadhan kali ini, membawa erti kebebasan yang sebenar dalam diri kita. Seterusnya menjalin mesrakan antara kita dan agama. 

Sejarah yang lepas perlu dikenang, supaya kita beringat, tentang kita yang pernah alpa suatu masa dulu. Pejuang-pejuang yang yang mengorbankan nyawanya demi kita untuk bernafas dibumi Malaysia dengan aman juga perlu dikenang, dan dihadiahkan doa, supaya kita dapat tahu erti membalas jasa, walaupun jasa mereka tak terbalas harganya. 

Walaupun kita berlainan fahaman atau aliran, bersatulah demi agama dan bangsa. Jangan nanti si kitol dua datang menjelma, kita langsung berputih mata.

~SELAMAT HARI RAYA DAN MERDEKA YANG KE-54~

No comments: