28 December 2012

hujung disember yang berdosa

macam-macam kenangan berlaku bila tiba hujung tahun, atau hujung disember. Kenangan bertali arus mengisi minda supaya dilayarkan dan dimainkan, untuk diingatkan atau untuk dijadikan pengajaran. 

Kenangan yang indah, bibir akan tersenyum membugar rasa gembira, bila kenangan pahit, menutup rapat bibir, memerah mata mengalirkan airnya. Semua itu kenangan. Yang mendewasakan kita sebagai manusia biasa. 



Sampai saat akhir tahun, kita terlupa, yang kita ni masih berdosa, noda dan hina masih terpalit didada, dan kita terlupa, sebab sibuk meraikan tahun baru yang bakal menjelma tanpa sedikit pun rasa hina dan rasa bersalah pada diri sendiri. 

Kenapa kita jadi macam tu ye? Rasa berdosa hilang. Rasa menjadi bebas semakin beraja. Kita laksana kacang lupakan kulit, lupa siapa pencipta kita. Lupa apa tujuan hidup kita. Kita ralit bina azam baru, impian dan harapan untuk dilaksana sepanjang tahun yang bakal berlalu, tanpa sedikit pun kita fikir, dimana kita letakkan diri kita sebagai hamba kepada Tuhan kita?



Sebenarnya kita lupa, atau buat-buat lupa, erti dan makna tanggungjawab sebagai makhluk yan diciptakan, bukan yang mencipta. Ya, kita terlalu selesa, kita terlalu gembira dengan apa yang Tuhan kurniakan kepada kita, lantas kita menjadi alpa, dan akhirnya kita menjadi manusia yang paling sengsara disisi Tuhan yang Esa.  

Datangnya tahun baru masihi, ada diantara kita sambut dengan sembahan kepada api, nyanyian memuji Tuhan hedonisme, ralit berpacaran ke sana dan ke sini, maruah gadis menjadi murah, teruna jantan menjadi nafsu yang dipacu tanpa henti, menghentam dosa menjadi santapan malam yang dinanti, dan akhirnya kita menjadi lebih hina daripada haiwan yang selama ini kita maki. 



Sampai bila agaknya kita perlu jadi macam ni ye? Generasi saban tahun kita lahirkan, takkan lah saban tahun kita perlu tangisi rosaknya mereka kerana hilang akal dan budi? mungkin kita perlukan perubahan, daripada semua aspek. Dah lama kita merdeka, dah lama kita bebas, dah lama kita dilepaskan, semakin lama, kita menjadi semakin lemas, dalam racun dan kepompong barat yang menjadi sarang kita dilepaskan..

29 November 2012

beli masa ayah...

cerita ini aku salin daripada mukabuku, terbaca daripada status seorang sahabat, tersentuh, dan nak berkongsi dilaman jiwa saya ni... bacalah, bukan nukilan aku.. 


Anak: Ayah...ayah.. boleh Amin tanya satu soalan?

Ayah: Hmmm....nak tanya apa?

Anak: Ayah...berapa pendapatan ayah sejam di pejabat?

Ayah: Itu bukan urusan kamu, buat apa sibuk-sibuk nak tanya? Si ayah mula menengking.

Anak: Amin saja nak tahu… ayah... Tolonglah beritahu berapa pendapatan ayah sejam di pejabat? Si anak mula merayu pada ayahnya.

Ayah: 20 ringgit sejam.. Kenapa nak tahu? Jerkah ayahnya lagi.

Anak: Oh..20 ringgit.. Amin menundukkan mukanya.

Anak: Ayah.. boleh tak bagi Amin pinjam 10 ringgit dari ayah?



Si ayah mula menjadi berang dan berkata, "Oh, itu ke sebabnya kamu tanya pasal pendapatan ayah? Kamu nak buat apa dengan duit tu? Mintak sampai 10 ringgit? Nak beli mainan lagi?? Ayah penat-penat kerja cari duit, kamu senang-senang nak membazir ya.. Sudah, pergi masuk bilik.. tidur! Dah pukul berapa nih...!!" Si anak itu terdiam dan perlahan-lahan dia kembali ke biliknya. Si ayah duduk di sofa sambil memikirkan mengapa anaknya yang sekecil itu meminta duit sampai 10 ringgit.

Kira-kira 2 jam kemudian, ayah kembali tenang dan terfikir kemungkinan besar anaknya benar-benar memerlukan duit untuk keperluan di sekolah kerana anaknya tak pernah meminta wang sebegitu banyak sebelum ini. Dengan perasaan bersalah, si ayah melangkah menuju ke bilik anaknya.Didapati anaknya masih belum tidur.



"Kamu benar-benar perlukan 10 ringgit? Nah.. ambil ni" Si ayah mengeluarkan sekeping duit kaler merah. Si anak itu segera bangun dan tersenyum girang. "Terima kasih banyaklah ayah!" Lalu dia mengangkat bantalnya dan mengeluarkan sekeping nota 10 ringgit yang sudah renyuk terhimpit oleh bantal. Bila ternampak duit itu, si ayah kembali berang. "Kenapa kamu mintak duit lagi sedangkan kamu dah ada duit sebanyak itu?? Dan dari mana kamu dapat duit tu??" Amin tunduk... tak berani dia merenung ayahnya.



Sambil menggenggam kemas duit itu, dia menerangkan....."Duit ni Amin kumpul dari belanja sekolah yang ayah bagi hari-hari. Amin minta lagi 10 ringgit kat ayah sebab Amin tak cukup duit..." "Tak cukup duit nak beli apa??"Jerkah ayahnya lagi. "Ayah.... sekarang Amin dah ada 20 ringgit.. Nah..ayah ambil duit ni. Amin nak beli sejam dari masa ayah di pejabat tu. Amin nak ayah balik kerja awal esok. Amin rindu nak makan malam dengan ayah..
Jelas Amin tanpa memandang wajah ayahnya...


#rindu abah 

26 November 2012

Perbezaan, persamaan, jangan bazirkan undian !

Dalam hidup ini, tak semua perkara itu menjadi sama, dan tak semua perkara itu jadi berbeza. Perbezaan dan persamaan, dua entiti yang sentiasa mewarnai hidup. Baru-baru ni, ada terbaca status seorang sahabat facebook, dia luahkan rasa tidak puas hatinya terhadap ketua beliau di dinding mukabuku. Habis dicanang keburukan pemimpin beliau didedakan tanpa sedikit pun rasa bertanggungjawab sebagai seorang manusia. 



Respon aku, kita dalam sepasukan memang ada persamaan, dan ada perbezaan, lain pendapat, dan berbeza pandangan. Semua itu menjadi rencam dalam sepasukan. Meskipun kita berbeza pandangan dan aliran, nilai hormat dan respect kepada orang lain wajib ada. Ya, memang falsafah dia berbeza dengan anda, jauh menyimpang dari doktrin anutan anda, jadi apa lah salahnya tunjukkan nilai kematangan dengan menghormati tindakan dia. 

Meskipun dia berbuat kesalahan, ada cara lebih baik perlu disalurkan. Bukan mengkhinzir buta dalam menjatuhkan hukum. Dalam setiap permasalahan, ada pelbagai jalan penyelesaian, yang terdiri daripada dua jenis lorong, jalan baik dan buruk. Kalau dah ada jalan penyelesaian secara baik, kenapa mesti pilih yang buruk.



Balik semula isu yang awal, dia menghentam ketua dia, seolah-olah, dia tu bukan dalam organisasi yang sama. Tindakan dia seolah-olah membuka pekung di dada. Ya, kami semua tahu dalam pasukan itu ada yang tak sealiran, tapi bila dalam aspek kerja, profesional lah. Matang la. Anda dah besar. Jangan bodohkan diri anda hadapan khalayak yang memilih anda. 

Kalau betul-betul ada masalah, bincang la. Duduk semeja, bincang cari jalan penyelesaian terbaik. Ini tidak, meludah di langit, akhirnya terpalit pada wajah sendiri.



Hentikan bermasam muka dalam sepasukan, kami memilih anda bukan untuk suka-suka, bukan untuk cuba jaya, tapi untuk kami pertanggungjawabkan amanah, menjaga kebajikan kami. Tapi sejak dari mula dipilih, langsung tak pernah bahagia. Asyik berkelahi mencari siapa salah, lumba mengorek kesalahan orang lain, sibuk menjatuhkan sesama sendiri. Akhirnya, kami ni yang merana tanpa sebarang pembelaan daripada anda sepasukan. 

Ingat lah perkara yang paling berat itu adalah amanah. Jaga sebaik mungkin, kerana perkara itu akan dipersoalkan tika kamu menghadap Tuhan..

Aku harap, sepasukan itu menjadi satu, bekerja menjadi pasukan yang jitu, membantu antara satu dan satu. 

#undian kami bukan untuk dicela, tapi untuk kamu berbakti.


21 November 2012

kahwin muda: maksiat atau halal


Kulim: “Daripada buat maksiat, lebih baik kami kahwin,” demikian kata Mohd Fahmi Alias, 17, yang berhasrat berkahwin dengan seorang budak perempuan yang baru mencecah usia 13 tahun. 

Walaupun menyedari hasratnya itu mungkin dibantah termasuk menimbulkan andaian kurang menyenangkan, namun bagi Mohd Fahmi pernikahannya dengan Nor Fazira Saad dianggap sebagai langkah terbaik bagi mereka berdua. 

gambar hiasan


Saya sudah sedia memikul tanggungjawab untuk bergelar suami. Saya percaya kami boleh berdikari dan saya akan tumpukan kepada perniagaan keluarga untuk menyara hidup kami berdua

Saya tidak kisah apa pandangan masyarakat terhadap kami berdua kerana yang penting keluarga di kedua-dua belah pihak sudah bersetuju,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Naga Lilit, di sini, semalam. 

Katanya, mereka akan melangsungkan majlis perkahwinan di kediamannya pada 24 November ini. 

Ditanya mengenai masa depan Fazira, Fahmi berkata beliau tidak akan menghalang kalau Fazira ingin melanjutkan pelajaran selepas berkahwin dan ia bergantung kepada kemahuan pasangannya itu. 

Fazira berkata, usianya bukan penghalang menjadi dan sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab itu. 
Kami sudah dapat restu kedua ibu bapa kami dan saya kini banyak menerima tunjuk ajar keluarga Fahmi yang sememangnya memahami kesulitan dialami saya,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Bahagian Penguat kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim, Azmi Ahmad, mengesahkan waris gadis berkenaan membuat permohonan kepada Mahkamah Syariah Daerah mengikut Enakmen Keluarga Islam 2008 (Pindaan) Negeri Kedah.

#respon aku, bagus bila dia dapat fikir macam tu, tahu beza mana yang halal dan haram, mana yang baik atau buruk, mana dosa atau pahala. Meskipun menimbulkan keganjilan dalam norma masyarakat melayu, hingga mendatangkan perasaan kurang senang segelintir pemegang ajaran ortodoks dan pengamal nilai konservatif melayu, dia tampil memberi kenyataan dan yakin dengan tindakan dia yang betul.

maksiat atau kahwin?


Sewajarnya tindakan dia dipuji bukan dikeji. Ya, dia masih muda dan pucuk, banyak perkara perlu dipelajari, tapi itu bukan alasan untuk menidakkan hak dia untuk menjalankan tuntutan kehidupan, yakni perkahwinan. Dia sudah bersedia dan mampu menggalas tanggungjawab jadi apa masalahnya. Kalau kita rasa mereka tak bersedia, maka bimbinglah dia. 

Jangan menyusahkan perkara yang senang, jangan besarkan perkara yang kecil. Moga perkahwinan mereka hingga ke akhir hayat, doa aku, amin.


#tak sabar nak kahwin 

02 November 2012

masa untuk menulis

Sejak dua menjak, aku jarang menulis dalam laman jiwa saya ni, bukan apa, keterbatasan masa tu, sering menghalang karya aku untuk dihasilkan. Aku tak salahkan takdir, atau masa, cuma diri sendiri yang tak pandai mengatur masa. Tuhan itu Maha Adil.

Jujur, menulis adalah salah satu kegemaran aku. Sedari cilik, tugasan menulis karangan, adalah tugasan yang akan mendapat perhatian daripada aku. Aku suka mengarang, sampaikan aku rasa sangat cemburu bila ada orang lain dapat markah lebih tinggi dalam tugasan karangan. Serius aku cemburu. 



Sampai ke hari ini, minat itu masih ada. Cuma jarang untuk disempurnakan. Entah la. Aku sendiri tak tahu, kadang-kadang nafsu nak menulis tu membuak-buak minta dilampiaskan, sampai satu masa nafsu itu seolah-olah didatangai mati pucuk yang mendadak. Hilang nafsu dan selera. Itu sifat aku yang susah nak dibuang. Mungkin ada ubatnya, yang dah lama aku cuba cari. Masih tak jumpa. 

Aku mahu ubat yang mampu menyembuhkan masalah aku secara semula jadi. Aku tak mahu terlalu bergantung dengan ubat, seperti mereka yang mati nafsu, langsung bergantung dengan viagra. Itu bukan aku. Aku mahu ubat secara suntikan, yang berkesan untuk membangkitkan nafsu aku untuk selamanya, tanpa perlu bergantung untuk seterusnya. 

Mungkin aku akan jumpa. Ya, Tuhan itu Maha Adil. 

Kadang-kadang aku sangat cemburu dengan mereka yang mampu mencurahkan idea dalam penulisan. Cantik dan tersusun. Aku teringin nak berkarya macam tu. Menulis dengan penuh perasaan, melahirkan karya penuh nilai empati. Ya, aku teringin seperti itu. Mungkin perjalanan aku masih panjang. Masih banyak ilmu mengarang perlu aku selongkar dan cerna, jika mahu menjadi seperti mereka. 

Andai masa masih panjang bagi aku, kan ku cuba telaah mana yang perlu, kan ku tulis mana yang mampu, untuk buktikan, aku mampu menulis seperti mereka yang dah berjaya. 

Terima kasih kepada mereka yang selalu datang jengah laman jiwa saya. Terima kasih juga buat mereka yang selalu bagi semangat untuk menulis, terutamanya saudara Abang Amir Batrisya. Terima kasih banyak-banyak. Moga kalian mendapat rahmat Tuhan. amin.




29 October 2012

Aidiladha : destinasi hidup

Perjuangan untuk hidup, itu misi yang perlu bagi setiap entiti bernyawa. Usai dilahirkan, perjuangan ini bermula, terus tanpa henti walaupun terpaksa berhenti. Titik permulaan memang manis, ditatang degan baik dan berhati-hati. Dijaga sebaik hati. Dikasih sebesar nyawa. Diajar sepenuh ilmu. Dididik sehabis baik. 



Usai tempoh mendidik, dibiarkan mencari jalan, mencari arah perjuangan, demi kelangsungan hidup. Saat ini, ramai tersasar. Tersalah memilih haluan, berkat tak dengar nasihat. Jalan yang lurus, dipintal menjadi bengkok, kononnya cabaran. Hakikat, mencari neraka yang terpendam. 

Bila jalan sudah salah, maka arah tujunya juga salah. Destinasi salah. Laksana mahu ke kubur, menapak akhirnya sampai ke disko. Beza bukan dua arah tadi? Sama maknanya dengan perjuangan tadi. 

Selagi diberi nafas untuk jalan yang lurus, ikutlah. Sampai masa udara bukan milik kita, dan tanah menjadi ciuman kita, sudah tidak berguna lagi.. 


26 October 2012

Aidiladha : hati untuk dikasihi

Setiap manusia dikurniakan hati, untuk dikasihi dan untuk mengasihi. Setiap orang memasang impian untuk memiliki hati orang lain, sebagai dambaan kalbu, menjadi persinggahan kalam hati melabuhkan sayang dan rindu. Semua bermimpi akan itu. 



Namun tak semua mimpi itu mampu menjadi realiti. Diterjemahkan menjadi satu tatapan mata dan bisa disentuh dengan pancaindera. Dinikmati oleh mata dan disentuh dengan jiwa. Bukan kerna Tuhan kejam, cuma untuk meninggikan martabat cinta. Mahukan cinta, usahalah, sebab itu tidak sewenang wenangnya Tuhan anugerahkan cinta. Kalau cinta pandang pertama lekas jatuh ke hati, itu tipu muslihat syaitan. menipu dalam kelambu. Menyebar nafsu dalam cinta. Itu bahaya.



Kita jangan putus asa dalam mendapatkan cinta. Kerna perkara cinta luas bidangnya. Tuhan itu Maha adil. Usaha, nescaya anda kan milikinya. Tapi cinta itu ada batasnya. Bukan untuk memuaskan serakah nafsu, bukan memenuhi gejolak asmara. BUKAN. Itu buka cinta. 

#moga dia bahagia, disisi Tuhan yang Maha Penyayang, dan disamping orang yang disayang ~

22 October 2012

Cikgu Azam Aziz deaktif

salam sahabat, untuk beberapa hari akan datang, fb cikgu azam aziz akan saya deaktif/deactivate. Jangan risau, tak lama, kalau nak hubungi saya, boleh contact fon, ataupun twitter saya @cikguazamaziz, blog jiwahakir.blogspot.com juga masih berfungsi. sbb deactive, saja nak nikmati cuti hari raya haji ~ jangan risau, saya tak apa-apa =) 

Selamat hari raya aidiladha buat sahabat semua ~

19 October 2012

harapan bangsa : spekulasi

Mungkin ramai tak sedar dan cakna, isu terbaru tentang sebuah lagu, nyanyian Jaclyn Victor yang dikatakan tidak menjaga sensitiviti agama lain. Malah dikatakan bakal membawa bahana besar kepada agama lain. Turut diselitkan dalam sebuah spekulasi, ramai yang terguris dan terhiris oleh lagu nyanyian jaclyn victor itu. Lagu apa sebenarnya jac nyanyi ni sampai macam tu sekali kesannya?




Pencerahan oleh Jaclyn Victor.
"Lagu itu saya rakam sekitar 2007 khusus untuk penganut agama Kristian di Sabah dan Sarawak serta pihak gereja. Ia dicipta oleh seorang paderi dengan mesej keamanan Malaysia. Sebagai seorang penganut Kristian, rasanya tidak salah jika saya yang beragama Kristian menyanyikan lagu itu."

"Lagipun, ia bukan untuk tujuan komersial. Jadi, mengapa perlu mempertikaikan lagu yang sudah lama dirakamkan itu?"

"Saya sedar, mungkin disebabkan lagu itu dinyanyikan dalam bahasa Malaysia membuatkan ramai yang melihat perkara ini sebagai tidak sensitif dan menganggap saya cuba menyebarkan fahaman Kristian. Saya menyanyi dalam bahasa Malaysia kerana kebanyakan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak bertutur dalam bahasa Malaysia."



#sebenarnya, kita terlalu cepat melatah. Isu kecil mahu diperbesarkan menjadi gajah. Walhal boleh sahaja diselesaikan dengan mudah. Sengaja cara jalan payah, semata-mata nak menadah untung dengan cara mudah.

Rasanya, itu hak dia nak nyanyi lagu agama kristian, sebab itu agama dia. Kalau lah nak kaitkan dengan isu terpesong akidah dan sebagainya, banyak lagi depan mata kita yang memesongkan umat manusia di bekas tanah malaya ni. Kenapa isu terpilih sahaja diangkat?

Rancangan television tuh, lagi la. setiap hari tayang benda yang menggalakkan kita jauh dari agama Islam, tak pesongkan akidah ke tu? kenapa pulak tak nak boikot? Inilah kita sebagai bangsa melayu.  Mudah sangat lupa. Agama menjadi sandaran politikus untuk meraih simpati dan undian. Agama dijulang bila diperlukan sahaja. Lain-lain masa, senyap sunyi, bermusim. Mungkin bagi mereka agama ini sifatnya seperti buah durian. Bermusim. 

Ini pandangan jujur aku. Mungkin ada yang tak bersetuju. Terpulang. Memang aku minat Jacklyn Victor..

30 September 2012

bodoh

kadang-kadang kita selalu rasa diri kita bodoh. tapi Tuhan jadikan kita sama...

29 September 2012

Jodoh kita

Setiap manusia mahukan yang terbaik buat diri masing-masing. Ini bukan pentingkan diri sendiri, tetapi meletakkan hak diri pada tempat yang sepatutnya. Jadi, setiap orang mahukan jodoh yang terbaik untuk dirinya. 



Jodoh ini tentunya urusan Tuhan. DIA yang lebih tahu, siapa yang terbaik untuk kita. Walaupun sedalam mana cinta kita pada seseorang kekasih, kalau dah memang dia bukan jodoh kita, tak akan menjadi nyata bahagia bergelar sepasang mempelai. Waimma sudah bergelar tunang sekalipun, kalau memang sudah tertulis dia bukan jodoh kita, tak kan kemana pun. 

Jadi, bercinta biar berpada. Jangan melampaui batas dalam bercinta. Bercinta ini selalunya dalam alam ranum. Muda mudi. Nafsunya masih membara. Darah muda membuak-buak menahan gelojak pacuan nafsu yang mengkuda



Bagi yang bercinta, usah didamba apa yang bukan milik kita. Selalunya, kalau kita perhatikan, budak-budak bila bercinta, alamnya pasti berbeza. Mereka sudah tukar segala persekitaran, menjadikan mereka ratu dan raja alam rimba. Kadang-kadang kita geli bila sepasang kekasih memanggil satu sama lain dengan panggilan dalam kamar beradu suami isteri. Mama dan papa, Umi dan Abi, dan bermacam-macam jenis nama panggilan yang pastinya jelek. Jujur aku JELEK !!



Kembali kepada jodoh, percayalah pada ketentuan Tuhan, Insyaallah, DIA lebih tahu yang terbaik buat kita. Kita hanya mampu merancang, namun DIA lah sebaik-baik perancang. Percaya pada jodoh. Baik diri kita, insyaallah Tuhan bagi jodoh yang baik buat kita. 

#bercinta selepas berkahwin 


24 September 2012

politikus kampus : UPSI

Usai mendengar rapat umum semalam bagi setiap calon yang bertanding, untuk pilihanraya kampus bagi UPSI. Pelbagai manifestor dibentang dan diumumkan oleh setiap calon dari setiap parti yang bertanding. Jadi, aku ambil kesempatan ni, nak menilai, sejauh mana keupayaan setiap calon dalam menyampaikan setiap hujah dan isi yang bakal diperjuangkan oleh setiap daripada mereka. 

barisan calon WE LOVE UPSI


Rata-rata isu yang dilontarkan dan disampaikan berkisar dunia mahasiswa. Wajib lah. Ada yang menyampaikan hujah dengan sederhana baik, dan ada juga yang teruk. Mungkin klasifikasi aku agak zalim, namun itulah hakikat yang perlu diakui oleh sesiapa yang melihat dan memerhati setiap ucapan oleh setiap calon yang bertanding. 

Bukan aku nak kata aku bagus dan lebih baik, cumanya mereka tu bakal bergelar pemimpin, khalayak utamanya adalah orang ramai yang senantiasa perlu bersemuka dan berkomunikasi. Maka skil komunikasi itu perlu dijadikan satu keutamaan. Titik beratkan skil pengucapan awam tu dulu. Belajar macam mana mahu sampaikan hujah dan isi yang cantik, bagaimana ingin menyambung ayat dengan baik, bagaimana mengawal rasa gemuruh dan gugup bila berhadapan dengan khalayak ramai, macam mana mahu menarik minat orang supaya dengar dan beri perhatian pada setiap bait yang kita lontarkan kepada umum. Itu yang perlu dijadikan priority. Bukan baju, belon, mafla atau poster yang merata-rata. Poster yang merata-rata dan belum tentu dapat menyakinkan orang ramai mengundi anda. Mafla yang cantik belum tentu dapat menarik minat khalayak yang melihatnya. 

barisan calon Mahasiswa Pendidik


Bukan aku nak menafikan fungsi barang-barang sampingan itu. Sewajarnya letakkan prioriti itu dimana haknya. Bukan sembrono bertanding membabi buta. Ini tidak, semangat nak bertanding tinggi, berkobar-kobar, mengalahkan nafsu kuda mengawan, tapi bila suruh bercakap dan membentangkan setiap hujah yang direka pun susah. Hujah sendiri pun tak mampu nak diceritakan dengan baik, inikan hujah lain yang lebih besar isunya. 

Aku agak hairan, mereka ni rata-rata sudah setahun dan lebih berada di UPSI, mungkin ilmu menjadi seorang guru, sudah ada yang dtimba. Pengalaman membentangkan tugasan, pastinya sudah pernah dilakukan, jadi kenapa bila berucap sembrono dan seperti anak murid yang sedang tersipu-sipu malu, menahan kemerahan dipipi. Tak apa, mungkin saat itu gugup menguasai diri mereka, lantas semua pengalaman hilang bak awal gemawan yang dihembus pawana. 



Ada usul yang diutarakan dan bakal diperjuangkan, hanya bersifat atas kertas, dan meraih populariti semata-mata, bukan realiti untuk dicapai dan dilaksanakan. Malas aku nak hurai panjang usul yang mana. Ada kesempatan nanti akan aku huraikan. 


Jujur aku katakan, selepas lihat dan memerhati setiap calon yang bertanding, kewibaan mereka tak seperti calon-calon PRK lepas. Tak tahu kenapa, rasanya ramai yang syok sendiri. Ini aku tulis atas pemerhatian aku. Tak ada kena mengena dengan sesiapa. Andai ada yang terguris dengan lembaran ini, aku mohon maaf dari hujung rambut hingga hujung kaki. Tiada niat nak memperkecil, Cuma menyatakan apa yang sepatutnya menjadi nyata. 

Moga semua bertanding secara sihat dan walafiat. 

Salam politikus kampus

11 September 2012

Tragedi sebelum hari kejadian.

Sesungguhnya ujian Tuhan itu buat semua hambanya. Jadi, setiap ujian yang mendatang, wajib kita terima dengan redha, atas niat, ada hikmah semua itu. Membetulkan, dan mengajar kita erti kehidupan. 

Mungkin ini ujian buat aku, semalam waktu sedang kemas dewan Kolej Ungku Omar, untuk persiapan Majls Jamuan Merdeka Raya 1Malaysia, anjuran Seranta Felda bersama PERSADA UPSI, aku ter"tragedi". AKu langgar pintu kaca dewan tu sekuat hati. Bayangkan la. 




Sebab aku langgar, pintu dewan tu kaca, jadi korang akan perasaan macam pintu tu dah dibuka. Jadi aku langgar la, ingin pintu dah dibuka. Jujur mata aku langsung tak perasan pintu kaca tu. Kalau aku perasan, tak la aku bodoh sangat nak langgar pintu tu.

Aku ingat cuma langgar biasa je, tiba-tiba kawan aku bagi tau, "azam dahi kau berdarah !! mulut kau pun sekali !!"  Aku bertambah cuak. Terus aku raba dahi. Ya, ada darah !!



Terus aku ke tandas. Cuma yang paling dekat tandas wanita, tak apa aku terjah. Tapi malangnya tak berlampu ! Tak apa aku terjah juga. Suluh guna lampu handphone. Aku tak berapa nampak luka macam mana, teruk ke tidak. Aku tunjuk pada kawan-kawan, dia orang kata teruk, kena jahit. Dia orang suruh pergi klinik. Aku tak nak. 

Alhamdulillah setakat ni tak berapa teruk la. cuma lukanya agak panjang. Insyaalla tak ada apa-apa. Yang pastinya kan berparut. Tak apa lah, mungkin dugaan pertama untuk majlis pertama PERSADA UPSI. 

Terima kasih banyak-banyak sahabat-sahabat yang banyak membantu malam semalam. Hanya Tuhan sahaja dapat balas jasa kalian. Terima kasih banyak-banyak !!

08 September 2012

zyraroxx: follower datang bertubi-tubi


Dah lama tak join segment, so atas sebab tu la aku join segmen ni. Nampak macam seronok je, blog cik zyra pun cantik dan comel. Siap berkaton-katon lagi. SO siapa yang sudi berkunjung, join dan follow, terima kasih =) 

#isnin ni da start kuliah 

06 September 2012

Tulisan dan Tulis Tangan

Tangan ni sudah liat, kelembutan untuk menulis juga sudah hilang. Skil-skil menulis dengan baik dan cantik tulisannya juga sudah semakin dihakis pergi. Inilah penangan bila sudah lama tak menulis. Bayangkan suda tiga bulan tak menulis panjang. Hasilnya comot dan bercakaran tulisan, huruf seperti hilang pedoman, mabuk minum todi. Mungkin.



Tak apelah, cuti masih berbaki. Ada masa untuk berlatih menulis. Caranya cari soalan karangan SPM, mana yang menarik dihati, jawab soalan karangan tu. Insyaallah latihan menulis macam tu dapat mencambahkan minda yang sudah terpuruk bersawang akibat cuti yang panjang. Bersihkan sawang tu dengan mengorek akal, mencari ide untuk disemaikan dalam karangan, dan cambahkan ia dengan pendirian, pandangan dan persepsi sendiri. 



Sekarang ni aku sedang cuba. Akan aku pastikan aku siap tiga karangan sebelum hari isnin ni. Insyaallah. Moga dipermudahkan. Jom cuba sahabat !!

#selak buku soalan SPM adik


05 September 2012

Dunia Tanjong Malim

Sebuah pekan koboi, yang diisi dengan pelbagai jenis ragam manusia. Pelbagai watak tercipta, meski pun hanya sebuah pekan cilik, yang mahu meniti dewasa. Ramai kurang tahu, dimana letaknya Dunia Tanjong Malim. Mungkin paling umum, di Perak.



Dah dua tahun aku hirup udaranya, jujur kotor. Index udaranya selalu mencapai tahap tidak sihat. Aku jadi pelik, Dunia Tanjong Malim bukan bandar besar seperti Klang atau Shah Alam. Mana datangnya zarah-zarah toksik yang berterabur merata dalam setiap ruang udara Tanjong Malim?

Ada sahabat aku kata, Tanjong Malim ni unik, dikelilingi oleh banjaran yang tinggi dan luas. Seolah-olah terkepung dalam ruangan banjaran yang tinggi, sampaikan udaranya tak beredar cergas dan sihat. Kesannya udara yang kotor dan toksik berkumpul dan bersatu menjadi nafas yang dihirup penghuninya. Sahabat aku yang kata. 



Sudah tiga bulan aku tak ke sana. Tak tahu apa jadi. Mungkin sudah lebih cantik, yang pasti banjaran itu tak akan ditarah. 

Minggu lepas pasti ramai yang pertama kalinya menjejakkan kaki ke Dunia Tanjong Malim. Menghantar suku sakat ke UPSI. Untuk timba ilmu. Mencari pedoman dunia dan akhirat. 



Dunia Tanjong Malim, sebuah harapan dan kenangan. Mencipta memori dan kisah silam bagi sesiapa yang  mengenali UPSI, sedari Sultan Idris Training College, membawa kepada Maktab Perguruan Sultan Idris, terus menjadi Institut Perguruan Sultan Idris, dan akhirnya menjadi Universiti Pendidikan Sultan Idris. 

Menggamit kenangan, bergelar anak kandung suluh budiman =)

#kisah kecil Dunia Tanjong Malim

30 August 2012

Merdeka kan Anak Muda

Selamat menyambut tanggal 31 Ogos. Tarikh bebasnya tanah melayu. Dah 55 tahun kita merdeka. Setengah abad. Kalau umur manusia, sudah injak dan beralih fasa usia emas. Banyak sudah berubah. Sedari aku umur 7 tahun, sampai lah sekarang, sudah boleh mengundi. Banyak bezanya dalam lingkungan 20 tahun belakangan ni. 



Tapi kita masih banyak masalah. Mentaliti, moraliti, sahsiah, dan banyak lagi. Apa sebenarnya punca kita jadi macam ni? 

Masalah paling utama tetapi menjadi sampingan, moral remaja. Masalah sosial, isu lapuk yang tak pernah dan boleh diselesaikan. Mungkin kerana terlalu asyik isu ini dimainkan, sampai menjadi siulan bosan bagi yang mendengarnya. 

Ini bukan masalah bosan atau tak, ini tentang masa depan. Sampai bila kita nak hadap isu remaja bermasalah? sampai bila longkang-longkang kita nak diisi dengan janin bayi? sampai bila jalan raya kita menjadi gelanggang peraduan rempit? sampai bila anak muda kita mahu jadi gelandangan ? sampai bila? sampai hujung nyawa? sampai kiamat? 



Kalau lah setiap daripada kita tahu dan faham peranan sebagai warganegara, nescaya semua masalah ni tak akan timbul. Setiap dari kita asyik menunding jari. Tak pernah akui kesilapan dan kesialan diri. 

Malam ni ambang merdeka, berderet anak muda mengorbankan dara dan teruna mereka sembrono. Meraikan penuh nikmat setiap desahan mengikut pacuan nafsu yang berkuda. Merdeka dengan penuh kemaksiatan dan kebejatan. Kemeriahan seperti itu mereka dambakan, bukan dengan gemaan bacaan surah yasin, sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Illahi atas keamanan yang dikurniakan. 

Jangan jadikan mereka anak muda, sebagai punca, pandang mereka sebagai mangsa semasa. Selamanya kita jatuhkan hukuman buat mereka tanpa kenal dan faham jiwa mereka, sehingga itulah kita tak kan berjaya memadam noda dalam jiwa anak muda. 

Pandang, dengar, faham & selam setiap jiwa anak muda. Cari mana silapnya, supaya dikemudian hari mereka membina negara, bukan menjatuhkan negara. 

MERDEKA ! MERDEKA ! MERDEKA !

#janjiDitepati

18 August 2012

salam lebaran : jiwa hakir

Selamat hari raya maaf zahir dan batin, aku ucapkan buat semua sahabat, tak kira kenal atau tidak, yang sudi menjengah dan membaca blog jiwa saya ni. Kejap je rasa kan, tiba-tiba esok dah raya dah. Masa berputar ke berlari??



Seperti tahun-tahun yang lepas, aku akan beraya di rumah sendiri, di Felda Raja Alias 4, Seri Jempol Negeri sembilan. Usai solat sunat hari raya dan makan berjemaah bersama famili, mula la bertolak ke kampung mak & abah, Batu Pahat Johor. Untung dua-dua kampung dekat, tak ada la konflik dan krisis pulang beraya. 



Bila nak raya ni, pastinya banyak memori dan kenangan kan. Terlalu banyak kenangan dalam episod raya aku. Antaranya, pernah satu episod raya, tak ingat tahun bila, aku dah siap-siap beli songkok nak bawa sembahyang raya, bila esok paginya nak pergi masjid, songkok tu hilang ! punya la kelam kabut cari tak jugak jumpa. Kena marah dengan mak lagi. Sudahnya pergi pakai songkok lama. pilu. 



Balik tu, jumpe songkok, nyorok belakang kotak. Tak ada rezki nak bawa p masjid kan. 

Tahun ni raya terisi dengan kursus induksi PERSADA kebangsaan di UPM. Raya ke-6 dah kena pegi UPM. Tak apa lah, pengorbanan untuk orang lain kan. Moga segalanya dipermudahkan oleh Tuhan. 

Salam lebaran ~

10 August 2012

panas, mood hilang

sejak dua menjak ni, cuaca agak panas, tengok suhu pada jam yang bertermometer kat rumah aku ni, angka nya 34 darjah celcius ! gila bukan ! Entah lah, mungkin ujian Tuhan buat hambanya yang berpuasa. Kita redha sahaja lah. Bila panas ni kan, macam-macam benda nak dibuat tak jadi.



Contoh macam aku ni, nak menulis blog, ideanya Ya Allah melimpah ruah Tuhan bagi, bila nak menulisnya masyaallah malasnya !! mood sudah dihilangkan dengan hadirnya panas. Tak apa, ada masa akan ada mood untuk menulis. 

#cerpen pertama aku, sejak mulai ditulis sebelum ramadhan, belum temu penyudahnya hingga kini, judulnya Pondan Di tepi Musola... 


30 July 2012

tragedi mercun: alah bisa tegal biasa

Setiap kali ramadhan tiba, saat bahagia buat semua. Tak kira, dari semulia-mulia imam, hingga lah ke sehina-hina hamba. Semua meraikan mengikut caranya. Pastinya berbeza setiap mereka. Setahun hanya sekali, merayakannya wajib sekali bagi mereka, dan kita. 



Mercun? Bunga Api? ya. alat mengghairahkan ramadhan buat segelintir manusia. Siapa sangka, bingit dentuman mercun yang seakan suasana medan perang, jadi santapan halwa telinga pada malam-malam ramadhan yang mulia di negara kita. Cukup meriah. Seolah-olah berperang mengikut penjuru mukim perumahan, mungkin juga ikut kariah masjid, tak pun ikut parti, lawan sesama sendiri. Siapa dentuman paling kuat dan cantik cahayanya, dialah juara rakyat!!

mercun macam ni agaknya berapa harga??


Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah ditepi pantai. Siulan orang tua, buat nasihat generasinya. Namun, masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Padanan yang cantik untuk bahasa dan suasana. Tiap kali tibanya ramadhan, berita tentang kecelakaan mercun menjadi santapan Buletin Utama. Jari jemari yang Tuhan kurniakan cukup sepuluh, hilang satu demi satu, putus separuh berkecai akibat dentuman mercun. Agaknya nanti bila di akhirat, menghadap Tuhan, Dia tanya kenapa jari tak cukup sepuluh seperti mana waktu Dia ciptakan kamu? agak-agak nak jawab apa? wallahualam..

hilang..


Serik tu perkara subjektif. Susah manusia nak faham tentang serik. Kita tengok berita saudara kita dari entah mana putus jari, kita jadi gementar. Lepas dua tiga minit, hilang perasaan gementar, lantas pacuan nafsu yang menggila menggoda jari jemari untuk membakar sumbu mercun yang seolah-olah memanggil-manggil untuk dibakar. Lantaran iman yang goyah, dan sikap inovasi yang menguasai setiap cabang saraf, timbul idea untuk menaik taraf mercun yang sedia ada. Harap letupan nanti yang kan terhasil, seperti atom yang menggegar Nagasaki. Nah bila dibakar, putus jari jemari. 

kegilaan ramai


Ingat lagi tahun lepas, satu tragedi berlaku apabila sebuah rumah usang yang menjadi markas dan gudang simpanan bekalan mercun,  meletup hingga mengorbankan seorang kanak-kanak berusia 6 tahun, hinggakan mayatnya berkecai dan tercampak ke atas pokok setinggi 15 meter. Lihat bahana mercun, tapi kita tak pernah sedar dan insaf, sebab agaknya insaf tu bagi mereka yang sudah kena, bukan kita. Mungkin la. 



Undang-undang sudah ada. Penguatkuasaan juga sudah ada. Cuma yang tinggal adalah kesedaran dalam setiap jiwa manusia dia negara kita. Ada masalah kita selalu tunding jari menyalahkan pihak berkuasa, tapi kita tak pernah menilai diri kita samada kita dah betul dalam setiap tindakan kita. Ya, tiada manusia yang sempurna, tetapi cubalah ke arah sempurna. Muhasabah diri kita. Sampai bila kita nak terus hidup dalam lingkaran kebejatan diri kita sendiri? sampai bila kita nak menyulam dosa menjadi tiket ke neraka? sampai bila? 

Perkara paling jauh dengan kita adalah masa lepas, dan perkara yang paling dekat dengan kita adalah mati. Moga, kita sentiasa mendapat hidayah dariNya..

Salam Ramadhan 

24 July 2012

8 jam, emosi dan mentaliti

Usai tonton filem 8 jam. Mula-mula persepsi, mesti babak klise, dan ulangan skil pergaduhan samseng kota menjadi taruhan. Melodi cinta ulangan filem-filem yang selalu menjadi buah tangan pembikin filem malaya. Watak sampingan yang kaku, menjadi pak pacak yang memeriahkan setiap babak. Ya, antara klise ini ada dalam filem ni. Tapi tak semua. 





Mengangkat tema anak jalanan yang tersepit antara ruang hidup yang sempit, dibebani dengan emosi dan perasaan yang sangat berat dan tertekan, membuatkan filem ni nampak realitinya. Kisah anak lorong, yang menghirup suasana lorong yang gelap, dengan setiap sisi hidupnya dilatari dengan kemiskinan dan kesengsaraan, ibu yang ditindas, membuatkan kita percaya, ini realiti hidup di lorong. Lorong bandar-bandar besar yang hipokrit dengan kebajikan rakyat.
Bagi aku, antara yang paling aku suka bila watak utama, Alang Budiman, yang sebenarnya mentalnya sakit, bukan bermakna dia gila, cuma dia tertekan dan emosi yang terganggu hingga menjadi pendaman yang menunggu untuk meletus. Akhirnya dia menjadi watak yang tidak stabil emosi dalam melampiaskan amarahnya. Kalau dilihat, sukar percaya kalau watak alang itu benar-benar wujud dalam persekitaran 1Malaysia, watak yang sukar dijangka keadaan mentalnya. sebenarnya, itulah yang dihadapi kita hari ini, kesihatan mental. 





Bukan fizikal sahaja yang perlu dirawat, mental juga perlu dijaga dan dipelihara. Supaya segala batas-batas sebagai manusia kita mampu jaga. Sama dengan watak alang, sejak kecil tiada bimbingan lantaran ibu yang sibuk dengan pencarian sekelumit rezki, ditambah dengan ketiadaan ayah tempat berlindung, tiada sahabat untuk berkongsi cerita untuk melepaskan perasaan, berkongsi masalah meredakan amarah, semua itu tiada untuk alang. Jadi tidak hairan, dia bertingkah menyalahi agama dan undang-undang. 


Bagi aku, babak aksi juga seimbang, menarik, cuma gerakan kaku masih ada. Pendapat la, kalau babak aksi dikurangkan, dan diisi dengan kisah-kisah yang lebih meruntun jiwa, pastinya filem ini mampu membuatkan sesiapa yang menonton terkesan. Garapan rangkanya sudah cantik, lain dari filem aksi malaya yang lain. 


Garapan hujung pengkisahan juga menarik. Seolah-olah filem ini diangkat daripada kisah benar, mungkin juga. Tiada babak kebahagian pada penghujungnya. Filem ini selesa begitu hujungnya.


Sinematografinya seperti biasa. Biasa dan sederhana. Semua tempat seolah-olah pernah kita tonton dalam filem-filem malaya yang lain. Rasanya sudah sampai masa pembikin filem cari bandar-bandar besar lain selain KL untuk dijadikan pentas lakonan. 


#sekadar bercerita ikut apa yang dirasa bila menontonnya..

23 July 2012

kesakitan jiwa

Jiwa itu laksana kain yang putih, bersih dan suci tatkala dilahirkan. Kemudian, dia dicorakkan mengikut apa yang anda lakukan, apa yang anda fikirkan. hasilnya, lahirlah pelbagai jenis corak yang menghiasi setiap ruang jiwa anda. Nampak mudah, mahu jiwa yang bersih, fikir dna buatlah perkara yang bersih, yakni baik, dan sebaliknya. Bermodalkan air liur memang senang, percuma, dan sentiasa percuma tanpa usaha. 

Memiliki jiwa yang tenteram sangat didambakan setiap insan. Lebih-lebih lagi mereka yang sering dengan kekacauan. Kadang kala jiwa yang terganggu membikin hati tak tenang, perbuatan tak terurus dan tak semenggah.



Bunuh diri, jiwa sakit, tertekan, semua itu bahana emosi dan jiwa yang terganggu. Ruang akal yang disempitkan oleh tekanan jiwa dan emosi membuatkan ruang pemikiran rasional dan relevan terbantut. Maka  perbuatan yang menyalahi akal dan juga agama menjadi sandaran tingkah laku. 

Ketenangan itu sukar untuk dicari sebagai peneman jiwa, kalau kita tak percaya dengan kuasaNya. Tuhan sudah memberi tunjuk ajar, mahu ketenangan berzikirlah memuji Dia. Insyaallah jiwa yang kusut dan serabut, kan mudah terurai dan meleraikan setiap simpulan jiwa yang berbelit mengikat perasaan menjadi normal. Tetapi, kita sombong. Tak mahu ikut. Itulah yang jadi, bila jadi bodoh sombong. 



Peliharalah jiwa dan emosi mu, supaya sentiasa menjadi dampingan hidayah Tuhan, supaya kita tak lari dari menghadapnya. Moga setiap ruang dalam jiwa kita ka senantiasa terisi dengan hidayah, dan ketenangan yang abadi.. 


09 July 2012

segmen Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan

"Wahai manusia, kini datang bulan yang mulia, bulan yang berkat"


Assalamualaikum buat sahabat semua. moga sihat hendaknya. Kali ni, terbit rasa dijiwa untuk buat satu segmen. segmen yang biasa-biasa saja. Cikgu nama kan segmen Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan, sempena menanti dan merayakan kedatangan bulan ramadhan. ya lah, ramadhan dah dekat, jadi dengan penyebaran segmen ni membuatkan kita jadi lebih teruja untuk menikmati dan menghargai bulan ramadhan nanti.



Ganjarannya?? harap maaflah, cikgu tak menyediakan apa-apa ganjaran yang cantik, comel, mahal ataupun beli dari jauh, dan bukan juga sponsor. Cikgu niat ikhlas buat segmen ni nak menyedarkan diri sendiri dan sahabat semua tentang kedatangan ramadhan. itu sahaja. Insyaallah, ganjaran dariNya lagi Maha Hebat.

Tiada syarat yang pelik mahupun susah. Seperti segmen-segmen lain, cuma perlu buat begini;

1- buat satu entry bertajuk Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan. Dalam entry itu anda boleh ceritakan pengalaman berpuasa anda, ataupun ganjaran/kelebihan  bulan Ramadhan.

2- letakkan gambar banner segmen ini pada entry anda, dan link kan ke blog Jiwa Saya ni

3- tag kan pada kawan-kawan blogger yang lain, tidak ada kuantiti yang dihadkan, terpulang buat anda.

4- tiada paksaan, follow lah blog Jiwa Saya milik cikgu Azam Aziz ni.


5- kalau sudah siap, tinggalkan link entry anda pada komen dibawah


6- mudah kan



tarikh akhir untuk segmen ini, sampai menjelangnya satu Syawal. Moga kita dapat berdakwah dan menyebarkan tentang agama Allah dengan apa jua medium, termasuk blog. 
Salam sahabat buat semua =)



03 July 2012

keluarga baru

Kali ni nak kenalkan ahli keluarga baru rumah kami, namanya Si Mini. Warna oren putih. 


dia sangat lincah, pantang kalau ada orang ke dapur, mesti dia kejar !!



27 June 2012

Gemuk pun manusia juga


kadang-kadang kalau kita terlalu taksub dengan kurus, dapat membunuh keyakinan kita kepada umum. Berdosa ke kalau gemuk? Yang kurus tak ada hak menghina yang gemuk, gemuk juga ciptaan Tuhan, siapa kamu sebagai manusia nak mempertikaikan ciptaan Tuhan? Kamu beruntung kalau kurus, kamu juga beruntung kalau gemuk, sebabnya itulah sebaik-baik kejadian yang Tuhan anugerahkan buat kamu. 



Ya, aku akui, badan yang ramping kurus itu nampak lebih molek, cantik dan kacak, yang berisi itu tak berapa nak molek. Itu pendapat segelintir dan mungkin juga kebanyakkan orang. Kena sedar, pendapat itu bersifat subjektif, lebih-lebih lagi perihal kecantikan dan kehenseman. Pandangan setiap manusia itu berbeza. Contoh, pertandingan ratu cantik, Miss Universe atau Miss World, kadang-kadang kita selera asia ni, akan kata, " cantik sangat ke perempuan tu sampai menang miss world?? biasa je aku tengok..."



Kadang-kadang ketaksuban ni lah yang menghalang kita ikhlas dan taat menunjukan kesetian kepada agama dan Tuhan. bayangkan, terlalu paranoid dengan kegemukan, sanggup berpuasa setiap hari semata-mata takut gemuk. Niat sudah salah. Beribadat kerana nak kurus, bukan taat kepada Tuhan. 

Kecantikan akhlak lebih baik daripada kecantikan wajah. Bersyukur dengan apa yang ada, insyaallah Tuhan melihatnya =)