31 December 2010

UBAT Vs MATI

“Dialah yang mencipta mati dan hidup untuk menguji siapa di antara kamu yang paling baik amalannya”
-Surah Al-Mulk. Ayat 2-

Tertarik untuk melarikkan pena berkaitan isu ini. Hasil cetusan seorang kenalan rapat. Ubat satu bahan yang menjadi inspirasi buat para doktor untuk membawa cahaya harapan bagi sang pesakit. Malah menjadi satu entiti misteri dan sangat menakutkan buat sang pesakit untuk dihadapi. Rata-rata menganggap ubat adalah satu objek misteri dan amat magik untuk difikirkan.





Ada satu kisah tentang seorang lelaki yang disabitkan dengan penyakit  kronik lagi membahayakan nyawa. Hanya ditilik memiliki hari-hari yang singkat sahaja untuk terus bernafas di bumi Illahi. Apalah daya agaknya tika mengetahui ajal akan tiba tidak berapa lama. Sedih bukan kepalang. Namun kecekalan hati, untuk meneruskan misi sebagai manusia dan khalifah dibumi Illahi, hidup diteruskan dan diisi dengan kegembiraan dan kesyukuran. Senyuman dan tawa sering menjadi penghias hari-hari terakhir lelaki itu. Dia tak pernah kecewa dengan takdirnya, dia tak pernah mengeluh suratan kehidupannya. Tetapi dia terus gagah, dan tabah menongkah hari-hari hidupnya. Hinggalah dia yang ditakdirkan hanya memiliki talian nyawa sehingga enam bulan, terus bisa bernafas menjangkau tilikan doktor. Takdirnya terus bersinar, dia menjumpai seorang gadis yang berpekerti mulia, dan itulah jodoh buatnya. Mereka sangat bahagia, kehidupan dilingkari gurau senda, akhlak mulia sebuah keluarga, juga rezki yang melimpah ruah. Tidak ketinggalan dianugerahkan  cahaya mata yang comel. Alangkah asyiknya kehidupan mereka, sehingga lelaki itu lupa akan penyakitnya. Benar-benar lupa.

Namun apakan daya. Janji Allah itu pasti. Setiap yang bernyawa pasti akan menemui penghujung hayatnya. Yang bermula pasti akan diakhiri. Tiba satu saat, dia mula menampakkan keadaannya yang sebenar. Dia menghidap penyakit kanser paru-paru dan juga tumor di otak. Sebenarnya dia merahsiakan penyakit yang dihadapi daripada isterinya. Apabila isteri kesayangannya mengetahui hakikat itu, si isteri terus mengalirkan airmata. Si isteri tak menyangka, suami yang sering menghiburkan hatinya, mengisi ruang-ruang disisi hidupnya, bakal pergi buat selama-lamanya. Namun, si isteri terpaksa tabah, dia terpaksa menangis  didalam hati, kerna tak mahu melemahkan semangat dan kecekalan suami tercinta. Dia meladeni sang suami dengan sepenuh kasih sayang, kerana itulah kasih sayang yang terakhir dapat dia berikan sebelum suaminya dijemput Illahi. Lelaki itu terus tabah. Mengisi ruang-ruang masa terakhirnya bersama insan-insan tercinta. 

Akhirnya, dia tidak mampu lagi untuk bertahan. Tepat jam sepuluh pagi, hari jumaat, sambil disisi keluarga terdekat, turut didampingi isteri tercinta, dan diapit chaya matanya yang masih kecil lagi,dan masih lagi belum sempat memanggil nama gelaran ayah buatnya,  dia menghembuskan nafasnya buat terakhir kali. Alangkah manisnya dia, sebelum dia pergi, dia sempat memohon keampunan dari semua. Pemergiannya amat dirasai. Lebih-lebih lagi buat si isteri yang menanti dengan tabah, anak kecil yang belum mengerti falsafah kehidupan, juga keluarga yang banyak berjasa buatnya. Dia pergi meninggalkan falsafah kecekalan hidup buat insan-insan yang hilang harapan. Harapan untuk terus bahagia meniti hari-hari akhir kehidupan.

Inilah secebis kisah kehidupan. Hidup sentiasa berputar. Apabila kita ditimpa musibah, itu bukanlah satu penamat kehidupan, tetapi sebagai ujian agar kita lenih tabah dan kuat. Ubat bukan penyelesaian masalah, tetapi sebagai satu kaedah menyelesaikan masalah. Kadang-kadang semangat yang kuat, jiwa yang kental, dan redha dengan ketentuan Illahi, adalah ubat yang paling mujarab merawat jiwa. Kebergantungan hidup kepada ubat-ubatan adalah tipikal. Namun tak salah bergantung kepada ubat-ubatan, kerna itu adalah sebuah harapan.

Apabila ujian itu kita terima, sebaik-baiknya adalah sabar. Memang sukar untuk merealitikannya, mungkin akan timbul dibenak masing-masing,cakap senang la, cuba sendiri yang kena”. Kita tak mampu berbuat apa-apa kecuali berusaha dan tabah dengan ujian. Segala-gala yang terjadi dan tercipta ada hikmahnya. Cuma kita yang tak nak memahaminya.

sumber

24 December 2010

Bunuh Diri:SOLUSI atau FANTASI

Mati  itu pasti, namun masa itu yang belum pasti, kerna kita hanyalah manusia biasa yang terbatas ilmu akhirat. Namun ada antara kita yang masih memilih menentukan matinya. Bunuh diri.
Inilah hakikat yang semakin berkembang dalam masyarakat kita. Rata-rata sudah sebati akan isu ini. Seolah-olah sudah menjadi perkara biasa, dan tak perlu dihiraukan sangat. Bunuh diri ialah perbuatan untuk menamatkan hayat atau perbuatan memusnahkan diri, biasanya kerana enggan berhadapan dengan sesuatu perkara yang dianggap tidak dapat ditangani.




Sebenarnya, apa punca kepada permasalahan ini? Berdasarkan pengalaman aku, baru-baru ni, ada satu kes yang berdekatan dengan kejiranan aku, bunuh diri. Punca?? Dikatakan halusinasi, ada bayangan yang sering mengganggu dia. Dan akhirnya, dia melepaskan nyawanya dengan menggantung dirinya pada sebatang pokok berhampiran rumahnya. Alangkah mudahnya mengakhiri hidup bukan. Inilah pertimbangan yang dilakukan tanpa asas akal bijaksana dan tidak dilingkungi agama. Hasilnya tersungkur jatuh ditelunjuk syaitan yang menghasut. Ibu penat menanggung beban dan derita selama Sembilan bulan, diasuh, dididik dengan kasih sayang, akhirnya memilih jalan yang tidak diredhai untuk “pulang”.

Seseorang yang mengalami gangguan emosi, perlu kita layan dengan bijaksana. Segala ungkapan dan nasihat kita perlu berakal, kerna setiap butir kata yang keluar dari mulut kita, saat kita berdepan dengan mangsa kecelaruan emosi ini, mereka akan memamahnya dan menimbangnya bukan dengan kewarasan akal. Mereka terlalu pendek akal untuk membuat keputusan, hingga akhirnya memilih jalan pintas dengan memutuskan nyawa.
Hukum membunuh diri adalah haram. Dijelaskan dalam hadis Nabi s.a.w, yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. mafhumnya;

 “Sesiapa yang terjun dari bukit membunuh dirinya, dia akan terjun ke dalam neraka jahannam kakal di dalamnya selama-lamanya. Sesiapa yang meminum racun membunuh diiri, racun itu akan berada di dalam gengamannya, dia akan menghirup racun itu di dalam neraka jahannam kekal di dalamnya selama-lamanya. Siapa yang membunuh dirinya dengan besi, maka besi itu akan berada dalam gengamannya, dia akan menikamkannya di perutnya di dalam neraka jahannam, kekal di dalamnya selama-lamanya.” (HR al-Bukhari dan Muslim)


Kebanyakkan mereka yang membunuh diri ini adalah mereka yang ingin lari daripada masalah. Masalah tak akan dapat diselesaikan dengan melarikan diri dan lebih teruk lagi jika menggunakan cara membunuh diri. Hal ini kerana di akhirat kelak lagi terseksa mereka yang membunuh diri.

 Dibuktikan melalui hadis Nabi s.a.w  yang diriwayatkan oleh Thabit bin Dhohak;

 “Sesiapa yang membunuh dirinya dengan sesuatu benda di dunia, dia akan diazabkan dengan benda tersebut di hari kiamat.” (HR al-Bukhari dan Muslim)


Daripada Jundub bin Abdillah R.A. (جندب بن عبد الله), katanya Nabi S.A.W. bersabda:

“Dahulu dikalangan umat sebelum kamu ada seorang lelaki yang ada kecederaan (kemudian menjadi ulser), lalu dia tidak bersabar menanggung kesakitannya, lalu dia mengambil pisau dan memotong tangannya sehingga darah tidak berhenti sehinggalah dia mati. Firman Allah S.W.T.: “Tergesa-gesa hambaku kepadaKu (dengan membunuh diri), aku haramkan untuknya syurga.” (al-Bukhari dan Muslim)


Itulah azab nanti di akhirat kelak. Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya, Cuma kita sahaja yang berputus asa dalam mencarinya. Bagi mereka-mereka yang berdepan dengan situsi kritikal, yang melibatkan emosi dan jiwa, kembalilah kepada asalnya. Ingatlah pada Pencipta kita, agar kita memperoleh hidayah dariNya, dan dijauhkan perkara-perkara yang tidak disukainya.

Buat insan-insan yang memiliki jiwa-jiwa yang kacau, pergilah mencari hidayahNya, kerna hidayahNya ada dimana-mana, asalkan hati kita ikhlas mencarinya..insyallah..

17 December 2010

lelaki kita tak romantik!!!

Terdetik dalam hati untuk merungkai satu misteri. Suka aku meralitkan kisah cinta, kerna sehati dan sejiwang dengan ku. Mungkin ramai diantara kita begitu jijik dengan istilah jiwang, seolah-olah terpalit dosa yang maha besar apabila bergelumang dengan situasi jiwang. Kenapa kita terlalu paranoid dengan istilah ini?? Persoalan yang akan aku kupas nanti.

indahnya perhubungan kalau secara halal..


Sebenarnya kita terlalu hipokrit untuk menjadi diri sendiri. Kita terlalu takut untuk mendedahkan siapa kita yang sebenar. Bila bercerita tentang cinta, kita masih lagi hipokrit. Susah ke menjadi diri sendiri??? Entah. Aku pun masib belum berjaya menjadi diri sendiri. Mungkin ini tabiat kita yang sudah dikurung oleh tradisi sejak zaman-berzaman, dan juga dijaga batas-batas agama yang mulia. Beruntung kita dilingkari akar budaya dan dedaunan adat yang indah, walaupun dipandang hina oleh mata-mata yang mendustakan asal keturunannya. Inilah manusia, tak pernah kenal erti bersyukur, sering kali mengherdik yang lain tatkala di atas, senantiasa menfitnah yang diatas. Sampai bila kita terperuk dalam lingkungan pemikiran begini.

Berbalik isu asal, jiwang. Baru-baru ini terbit satu berita mengenai lelaki melayu tak romantik. Lebih kurang tak jiwang la, sebab tu ramai wanita-wanita Malaya lari sangap mencari cinta lelaki Lombok, tidak kurang juga bangla. Haish begitulah kegersangan wanita-wanita Malaya kan, sanggup bergolok gadai mencari cinta lelaki-lelaki luar. Mungkin akibat terpengaruh dengan agenda kehidupan artis Malaysia yang suka sangat berpasangan dengan orang luar. Ada klas katanya. Entah la manusia sekarang, semakin berubah dan menjadi pelik.

Jadi, persoalan mengenai romantik atau istilah kampungnya jiwang, perlukan satu jawaban, agar lelaki-lelaki Malaya kita tidak berputih mata melihat wanita-wanita pujaan Malaya kita lari dipikul balik oleh mamat bangla juga terkecuali Nepal dan indon. Sebagai lelaki Malaya, kita harus berubah! (wah…ahli politik dah nie) kaedah drastik perlu kita lakukan, agar nanti kita tak terduduk menggigit jari merenung nasib. Biarlah kita dihina dan dicop sebagai mat jiwang dan sebagainya, asalkan kita punyai kecintaan terhadap diri sendiri untuk mencintai yang lain, sayang menyayang antara satu sama lain, saling berkasihi sesama kita, itulah yang kita perlu. Kembalikan jiwa-jiwa romantik lelaki-lelaki pujaan Malaya tika dahulu yang mashur, menerusi lakonan-lakonan filem-filem klasik yang asyik. Kita terjemahkan lakonan menjadi sebuah realiti kehidupan. Kembalikan zaman itu, agar kita menjadi kembali romantik, dan menjadi perhatian wanita-wanita Malaya kembali. Ayuh berubah!!

perhubungan yang berkekalan hingga ke akhir hayat..


Namun, sebelum kita mula mencintai yang lain, kuatkan dahulu cinta pada pencipta kita. Kita dicipta hasil kasih sayangNYA. Moga menerusi cinta kita padaNYA, menjadikan kita lebih kuat untuk mengharungi gelombang kehidupan, dan seterusnya dianugerahkan perasaan cinta yang suci.. insyaallah..



14 December 2010

rindu zaman kanak-kanak: hari ini kita lain

Terkenang zaman tika aku kanak-kanak. Seronok, gembira, riang tawa, sentiasa menghias hari-hari ku. Tak lupa juga kadang kala disinari tangis dan duka, gara-gara kenakalan sendiri. Semua itu amat indah. Bermain bersama-sama rakan, galah panjang, nyorok-nyorok, baling tin, baling selipar, rondas, khemah-khemah, gasing, konda kondi, dan main kejar-kejar. Semua itu sangat indah untuk dikenang kembali. Namun apabila teringat, jiwa seakan-akan ingin kembali ke zaman tika cilik. Alahai..

Namun apabila aku lihat sekarang, semua kisah cilik ku sudah tidak sama dengan si cilik kini. Sungguh lain rupanya. Sekarang segala-gala sudah berubah, mentaliti kuno semakin terjajah dalam pojok fikir ibu bapa masa kini. Entahlah, tak tahu salah siapa. Bila dipertikaikan, nanti jawapannya, duniakan dah berubah, dulu lain, sekarang lain. Itulah jawapan klise yang sentiasa dihambur. Habis tu, tak kan la nak salahkan masa pula?? Masa tu Allah yang cipta. Dan akhirnya, tiada siapa dapat menjawabnya.

Kini jika kita lihat, kanak-kanak hari ini dieksploitasi oleh tangan-tangan hancing yang rakus. Mereka mempergunakan kanak-kanak sebagai modal memperdagangkan perniagaan mereka. Lihat sahajalah, di tv-tv, pelbagai rancangan hiburan yang menggunakan kanak-kanak sebagai elemen utama disiarkan. Kanak-kanak dilatih untuk menjadi seorang penyanyi, menjadi seorang artis, diajar selok belok dunia yang penuh dengan noda, diajar bergosip, dilatih berskandal, dan sebagainya. Inikah modal insan untuk kita gunakan membangunkan negara??

Aku sangat setuju apabila kerajaan memperkenalkan Rang Undang-Undang kanak-Kanak dan Orang Muda (pekerjaan)(pindaan) 2010. Pada masa ini, akta itu berfungsi mengawal dan menetapkan syarat penggajian kanak-kanak di bawah umur 14 tahun dan orang muda di bawah umur 16 tahun, dan selepas dipinda, akta menetapkan syarat penggajian kanak-kanak ialah mereka yang berumur 15 tahun dan orang muda berumur 18 tahun. Menurut Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam  "Bagi kanak-kanak, mereka dibenarkan melakukan pekerjaan yang ringan bersesuaian dengan kapasiti mereka dalam perniagaan keluarga," . apabila diluluskan kelak, kanak-kanak yang ingin menceburi industri hiburan seperti menjadi penyanyi atau pun menjadi pelakon, perlulah mendapat kelulusan daripada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja. Selain itu, kanak-kanak yang terlibat perlu diberi cuti sehari dalam seminggu serta waktu bekerja dan bersekolah tidak melebihi tujuh jam, dan juga tertakluk kepada peraturan seperti sumbangan insurans dan jaminan keselamatan oleh pihak yang mengambil mereka bekerja.

Sememangnya negara kita perlukan akta ini, kerana kanak-kanak kita masa kini sering saja dikaburi keindahan dunia populariti sebagai seorang artis, hingga lupa meneruskan legasi ilmu yang terbilang sejak zaman berzaman. Mentaliti mereka sudah diselaputi dengan kebebasan menjadi seorang dewasa, tanpa perlu melalui dan menjalani fasa-fasa kehidupan untuk menjadi seorang dewasa. Dan akhirnya, mereka menjadi bukan sepatutnya.

Menjadi seorang kanak-kanak adalah indah, tapi langsung kita tak sedari, sehinggalah kita meninggalkannya…


".................Sebetulnya masjid kita 'anti kanak-kanak', yang belum bersunat pula dihalau duduk di belakang. Konon 'belum masanya'. Tidak hairanlah anak-anak menjadi pelarian dan mendapat perhatian di sisi Uncle Aznil..........."
-Faisal Tehrani-

kita masih satu

tercoret entry kali ini terjadi kerna satu peristiwa. Berlaku pada 10 Disember 2010, tika itu aku berada di Port Dickson..


Hari itu hari jumaat, aku berada di bumi PD. Pergi ke masjid menunaikan suruhan Illahi. Usai solat, kami (bersama keluarga sahabat) segera pulang, kerna hari agak panas sekali. Dalam perjalanan pulang, sampai di satu simpang empat, kenderaan dari keempat-empat arah berhenti. Seolah-olah berada  dalam alam fantasi Doraemon, apabila Nobita menekan butang memberhentikan masa. Agak pelik ketika itu, lampu masih hijau, kenapa kenderaan di hadapan tidak mahu bergerak? Persoalan menghurungi segenap ruang kereta, sambil anak mata mula memerhati, dan mencari punca. Tak semena-mena terdengar pukulan gentang bertalu-talu, muncul sebaris orang ramai berjalan kaki seolah-olah sedang dalam satu perarakan.

Rupa-rupanya, perarakan kematian seorang cina. Apa yang begitu menarik minat aku ialah, aku lihat kita masih lagi ada toleransi antara pelbagai kaum. Semua seakan-akan saling menghormati kepada si mati, dengan memberikan laluan kepada perarakan tersebut. Walaupun negara kita sedang dilanda tsunami politik perkauman sempit, rakyatnya masih lagi bersatu, saling memahami antara satu sama lain, bantu membantu, dan saling melemparkan senyuman. Sebenarnya, keadaan huru hara antara kaum di negara kita ini, sebenarnya adalah hasil dari perasaan tamak haloba, yang rakus menguasai diri, sehingga kita lupa akan kepentingan perpaduan antara kita.....

Moga tersingkap tirai kebenaran... Melalui pemerhatian terhadap sekecil kecil bahan, kita mampu merungkaikannya menjadi seluas-luas ilmu pengetahuan...

06 December 2010

keluarga cina

Post pertama dari rumah..Tertarik untuk aku bercerita tentang sesuatu yang indah. Keluarga cina. Apa signifikannya keluarga cina ini??
Cerita bermula berdasarkan pengalaman aku masa aku pulang ke negeri kesayangan aku, Negeri Sembilan. Sampai di Seremban aku terus naik bas nak balik ke Jempol. Dalam bas tu, aku duduk dekat bahagian belakang sekali, jadi pemandangannya memang luas, aku nampak setiap pergerakan yang berlaku dalam bas tu. Nak dijadikan cerita, penumpang yang duduk dihadapan aku ialah satu famili berbangsa cina, yang terdiri daripada seorang ibu, yang sedang memangku bayinya, sambil disisinya seorang anak gadis dalam lingkungan umur 13 tahun, dan diiringi dua pahlawan cilik yang comel, dan aku kira berumur 4 atau 5 tahun. Semuanya seramai lima orang, cuma tidak kelihatan ialah bapa mereka. Aku kira tidak perlu aku jelaskan kenapa (sebab aku tak tahu). Sepanjang perjalanan dari Seremban hinggalah ke Bahau, aku lihat keluarga ini tidak banyak masalah, pahlawan-pahlawan ciliknya langsung tidak selincah bermaharajalela dalam bas. Bayi yang sekecil bantal busuk, langsung tak merengek membingit telinga, anak gadis langsung duduk ayu mengalahkan Gadis Melayu. Semuanya seakan sempurna.
Bagaimana aku melihat si ibu yang ralit mengendong bayinya, sambil memerhatikan pahlawan cilik berdua, tak terkecuali mengintai anak perawannya, tekun menjalankan tanggungjawabnya tanpa suami disisi. Mungkin ada kisah disebaliknya yang tidak aku ketahui, yang menyelimuti kamus hidup wanita cina ini. Hakikat yang nyata, dia merupakan wanita yang gigih dan kuat. Walaupun aku tak pernah kenal siapa dia, tak pernah jumpa dan lihat dia, dan tak juga aku ketahui asal usulnya, tetapi aku yakin dan percaya, dia adalah wanita yang perkasa. Perkasa dari segi menjaga anak-anak seramai empat orang, yang masih lagi kecil belaka, yang masih memerlukan kasih sayang seorang bapa yang secukupnya. Namun dia dan anak-anaknya masih lagi tersenyum melihat dunia. Tabahnya mereka.
Setibanya aku di Bahau, sambil menunggu gerangan yang akan menjemputku, terlihat aku lagi keluarga cina ini. Mereka sedang menunggu gerangan yang bakal menjemput mereka, seperti aku. Datang sebuah kereta, yang dipandu lelaki tua, sambil ditemani seorang wanita tua, yang selayaknya aku gelar sebagai nenek dan atuk. Keluarga tadi segera menerpa kearah kereta tersebut terus menyalami kedua-dua orang tua tersebut, dan segera meninggalkan kawasan Stesen Bas Bahau.
Itulah keluarga. Keluarga yang gigih membelah dugaan, keluarga yang kuat menampar halangan, dan keluarga yang perkasa menerajang ujian. Hingga akhirnya mencium kebahagiaan. Indah kan hidup. Dilatari pelbagai ujian, dihujani pelbagai halangan, disinari bermacam-macam dugaan, dan akhirnya, diberi ganjaran kemanisan kebahagian.
Inilah kisah ku tentang keluarga cina, belum ku temui tentang famili melayu..salam permisi..

05 December 2010

selesai sudah.

Selesai sudah sesi pembelajaran untuk sem 1 sesi 2010/2011. Setelah berhempas pulas mengolah kepala otak nie, mengerah kudrat berlemak-lemak nie, akhirnya sampai juga penghujungnya. Kalau ikut analogi puasa, lebih kurang dah raya la. Semua mula berpusu-pusu pulang ke destinasi masing-masing. Tanpa menoleh pak guard dan mama guard yang setia menanti di pintu pagar. Keinginan untuk sampai kerumah mengatasi segala-galanya, hingga ada yang tertinggal barang untuk dibawa. Inilah ragam tika cuti bermula. Sedih mula berarak menutupi langit mereka yang lambat pulang, dan juga buat mereka yang tak pulang ke desa. Perasaan bercampur baur, terngiang-ingang sandiwara rakan sebilik, syahdunya saat itu...
Apapun yang terjadi, kehidupan harus diteruskan, meniti gelombang harapan, agar sampai ke destinasi juga. Biarlah lewat seribu tahun, asalkan kaki jejak ke tanah harapan. Sebagai akhirnya, selamat bercuti sahabat-sahabat ku, moga terus sukses meniti hari-hari tanpa buku di rumah. Moga berjumpa lagi pada sem hadapan. wasalam!!
-blog ini akan terus bernafas, tidak mengikut cuti-