08 November 2013

Cerpen : Masa Rehat



Loceng sekolah masih belum berbunyi. Sama ada masa rehat belum mula, atau loceng itu sendiri sudah rosak. Masing-masing dalam kelas menunggu resah. Bila agaknya loceng akan berdering. Perut sudah berirama menahan lapar. Apa yang disampaikan oleh guru dihadapan kelas sudah menjadi hambar. Langsung tidak diterima walaupun sebutir patah bicara. Cuma yang ditunggu sebaris ayat, “terima kasih kelas”. 

Jarum jam sudah lebih daripada sepatutnya masa rehat. Buku-buku diatas meja sudah mula dikatup rapi, memberi signal kepada guru bahawasanya masa sudah tamat. Ada yang sudah mengetuk-ngetuk meja tanda protes dengan kelewatan guru membenarkan mereka keluar rehat. Namun, guru terus pengajarannya. Tanpa sedikit pun endah dengan apa yang dilakukan pelajarnya. “baiklah, saya mahu semua siapkan latihan yang saya berikan tadi sekarang juga, kalau tak siap, awak semua tak boleh keluar rehat”. Arahan jelas. Kedengaran pelajar mengeluh geram. Protes lagi. Guru terus dengan arahannya, tanpa sebarang tolak ansur. Dia nekad. 

“siapa yang sudah siap, awak boleh hantar, dan awak boleh keluar ke kantin”. Juga jelas arahan guru. Beberapa pelajar bangun, membawa buku latihannya dan diletakkan dihadapan guru itu. Jumlahnya 9 orang. Maknanya berbaki 24 orang lagi belum siap. Guru terus memandang ke arah pelajarnya. Masing-masing tekun menatap buku latihan sambil tangan menari laju menyiapkan latihan yang diberikan. Pandangan mata bersepah melihat buku latihan kawan. Mencari jawapan. Ketika ini, apa yang diharapkan adalah menyiapkan latihan secepat mungkin, sementara masa rehat masih berbaki. Lambaian nasi lemak mula memanggil ghairah. Masing-masing tidak mahu ketinggalan menikmati setiap suapan nasi lemak yang rasanya cukup lemak, ditambah dengan kepedasan sambal ikan bilis mampu membuatkan liur kecur tanpa diundang, sambil dihias dengan hirisan timun dan butiran kacang yang rangup menambah rasa pada hidangan. Namun begitu latihan mesti disiapkan. Masing-masing mula majukan kelajuan, demi menyiapkan kerja yang diberikan.

Seorang demi seorang mula menamatkan tulisan. Saat mencoretkan aksara terakhir jawapan, satu kelegaan timbul memuncak tanda kejayaan. Tanpa sebarang semak semula, keyakinan menjadi satu keberanian. Buku ditutup seraya menuju ke hadapan guru. Menghempas buku tanda protes untuk kali ketiga. Tangan guru dicapai, dihalakan ke muka lantas dicium, “terima kasih cikgu”. Usai tangan dilepaskan masing-masing meluru laju ke pintu keluar, untuk membalas lambaian nasi lemak yang kegersangan. 

Tinggal tiga orang lagi masih belum menamatkan perlumbaan demi menyiapkan latihan. Namun tiada sebarang riak resah menanti masa rehat sudah. Tangan terus menyalin jawapan rakan, bukan dengan usaha sendiri mencari jawapan. Guru membiarkan, tanda dia memberi kelonggaran. Walaupun segarang mana guru dilihat oleh anak muridnya, masih terselit sekelumit rasa kasih dan sayang, meskipun tidak dizahirkan. 

Masa rehat sudah berlangsung 10 minit. Maknanya tinggal lagi 15 minit. Tiga pelajar ini masih ralit menyalin. Membiarkan guru sendirian memandang timbunan buku dihadapannya. Sekali sekala jam tangan dipandang, serentak berdehem beberapa kali. Memberi petanda kepada anak muridnya agar cepat menyiapkan latihan. Namun tiga pelajar ini masih begitu. Jari jemari dibiarkan terus menari mencoretkan jawapan. Tanpa sebarang riak kesan provokasi yang dilontarkan guru. Mereka membalas dengan ketenangan. 

Guru semakin resah. Masa rehat berbaki 10 minit. Dia mula memikirkan sama ada anak muridnya sudah makan atau belum, ataupun mereka sengaja melambatkan masa untuk mengelakkan diri ke kantin kerana tiada wang sebagai belanja harian. Macam-macam difikirkan guru. Semuanya menjurus kearah negatif. Buruk sangka mula menguasai jemala kepala. Dia bingkas berdiri, melangkah menghampiri ketiga-tiga anak muridnya. Dia terus melihat kearah buku latihan anak muridnya. Masih belum disiapkan. Tinggal beberapa bahagian yang kosong. Dia jadi resah. 

Akhirnya dia bersuara, “sudah, awak semua siapkan dirumah”. Ketiga-tiga anak muridnya mengalih pandangan kearah gurunya. Mempamerkan wajah polos. Tanpa sebarang perasaan. “baik cikgu” balas ketiga-tiga anak muridnya. Mereka berdiri, dan berlalu pergi. Tanpa sempat menghulurkan tangan bersalaman dengan gurunya seperti kebiasaan. Dia menjadi pelik. 

Dia tinggalkan kepelikan dan kebingunan itu. Lantas dia menyusun buku-buku latihan diatas meja dihadapannya, dan mahu bergegas ke bilik guru, kerana selepas ini dia ada sesi pengajaran di kelas lain pula. Buku-buku itu didakap rapi dalam dadanya. Dia melangkah keluar daripada kelas 2RK1, dan melalui ruang koridor bangunan tingkatan dua. Dia berselisih dengan dua pelajarnya yang keluar awal kelasnya tadi. “ lambatnya cikgu keluar kelas kami, cikgu buat apa?” tanya Azar dan Izham. “kawan kamu la lambat, Faris, Ezwan dan Fathullah”. Balas guru itu bengang. Azar dan izham saling berpandangan. Riak wajahnya berubah pelik. Lantas dia berkata, “cikgu, Faris, Ezwan dan Fathullah tak datang la hari ni, demam”. Guru itu terdiam. Memandang tepat wajah Azar dan Izham. “kamu biar betul Azar” tanya guru itu untuk kepastian. “betullah cikgu, cikgu tak nampak ke dalam buku rekod pergerakan pelajar, Faris, Ezwan dan Fathullah tak hadir”. Baru guru itu teringat, dia tidak memeriksa buku rekod pergerakan pelajar yang merekodkan setiap pergerakan dan kehadiran pelajar. Dia menjadi pelik. Kalau Faris, Ezwan dan Fathullah tak hadir, habis siapa ketiga-tiga pelajar yang ditunggunya sebentar tadi? Bulu romanya mula berdiri. Persoalan itu berlegar bergegas mencari jawapan. Tidak juga dia temui jawapan. Akhirnya dia memilih untuk berlalu pergi, meninggalkan Azar dan Izham sendiri. Biarlah hanya dia mengerti, apa yang terjadi untuk hari ini. Persoalan itu, kekal mati tanpa jawapan yang pasti. Disatu sudut hujung koridor, tiga susuk tidak berwajah tajam memerhati...

*cerita ini rekaan semata-mata tanpa ada kena mengena dengan yang hidup ataupun yang mati... 


No comments: