12 October 2011

1 ASKAR YAHUDI BERSAMAAN DENGAN 1000 TAHANAN PALESTIN





BAITULMAQDIS: Kerajaan Israel akhirnya tunduk dengan syarat pergerakan Hamas yang mentadbir Gaza kelmarin apabila bersetuju menukar lebih 1,000 tahanan Palestin dengan seorang tentera Israel yang kini ditawan kumpulan pejuang itu, Gilad Shalit, sekali gus menamatkan antara isu paling sensitif antara kedua-dua belah pihak.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang meminta Kabinetnya meluluskan pertukaran itu selepas menerima tekanan dalaman berterusan untuk membawa pulang Shalit, berkata anggota tentera itu akan bersatu semula dengan keluarganya dalam tempoh terdekat.
Penduduk Palestin di Semenanjung Gaza yang menyambut baik perjanjian itu, yang menyaksikan Mesir dan Jerman bertindak sebagai orang tengah, melepaskan tembakan sebagai meraikannya. 

Perjanjian yang sebelum ini berulang kali menemui kegagalan untuk membebaskan Shalit sejak ditangkap pada tahun 2006, tidak memberi kesan secara langsung kepada rundingan damai Asia Barat. 

Prospek memulihkan keamanan di wilayah itu dibayangi permohonan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, supaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengiktiraf negara merdeka Palestin dan meminta tindakan meluaskan penempatan penduduk Israel dihentikan jika mahu rundingan dimulakan sekali lagi.

Sumber yang terbabit dalam rundingan berkata, perjanjian itu disarankan Mesir dan ia dijangka memperbaiki sedikit hubungan rejim Zionis dengan Kaherah yang berdepan masalah sejak kejatuhan pemimpin Mesir, Hosni Mubarak. 
Pemimpin Hamas, Khaled Me-shaal, berkata Israel akan membebaskan 1,027 banduan dalam dua peringkat. Dalam masa seminggu, 450 akan ditukar untuk mendapatkan semula Shalit dan yang lainnya akan dibebaskan dua bulan kemudian. Dua puluh tujuh wanita antara yang bakal dibebaskan.

Dalam kempen yang dilancarkan ibu bapa Shalit untuk membebaskannya, saudara mara penduduk Israel yang maut dalam serangan penduduk Palestin, melobi Netanyahu tidak menyerah kalah kepada Hamas dengan membebaskan tahanan Palestin.

Ada kira-kira 6,000 tahanan Palestin di penjara Israel. Mereka dianggap wira dan digelar penduduk Palestin perjuangan menentang pencerobohan Israel dan memohon penubuhan negara berdaulat.

“Kami gembira dengan penca-paian ini dan amat bersyukur. Bagaimanapun, kegembiraan kami bercampur sedih kerana tidak mampu mendapatkan kebebasan untuk semua tahanan,” kata Meshaal dalam ucapan yang disiarkan dalam televisyen dari Damsyik.

Televisyen Israel memetik Netanyahu sebagai memberitahu ibu bapa Shalit sejak berkuasa tiga tahun lalu dia menunggu peluang membuat panggilan telefon untuk memberitahu mereka mengenai perjanjian itu.

Keluarga Shalit yang mendirikan khemah sebagai tanda protes berhampiran kediaman Netanyahu di Baitulmaqdis selama beberapa bulan, menuduh dia tidak cukup berusaha membebaskan Shalit. – Agensi 



*UMAT ISLAM SEMAKIN DITINDAS, TUNGGU MASA UNTUK DITEWASKAN..

No comments: