17 January 2011

ayam bertelur sebiji, riuh sekampung


Gambar di atas menceritakan pelbagai episod yang berlaku. Selepas detik itu, pelbagai kejadian yang tak disangka-sangka berlaku sekelip mata sahaja. Umpama terkena sumpahan magis Harry Potter. 

Aku ingin bercerita perihal peribahasa melayu kita pada kali ini. Ayam bertelur sebiji, riuh sekampung. Maksudnya lebih kurang, kejayaan yang kecil, tetapi hebohnya melata dan bersungguh-sungguh. Apa kaitan dengan gambar di atas?? 

Baru-baru ini, seperti yang kalian tau, pasukan harimau malaya, sudah pon berjaya memecah tembok zaman kejatuhan bola sepak malaya. Pasukan bola sepak Malaysia berjaya merangkul kejayaan dalam Piala Suzuki AFF edisi 2010. Namun, itu bukanlah penceritaan asas entry kali ini. Cerita asasnya, tentang bagaimana kejayaan ini diuruskan.

Semenjak pasukan Malaysia ini menjulang piala tersebut, semua rakyat malaysia akan terpaku dan terkhayal dengan peristiwa itu. Seolah-olah sebuah perkara yang mustahil berlaku sudah berjaya dijelmakan dan menjadi realiti. Semua memberi perhatian kepada mereka, pelbagai pihak mula menunjukkan minat kearah mereka. Ganjaran mencurah-curah umpama air hujan turun membasahi kegersangan bumi. Pemain pula mula menunjukkan egois mereka secara separa sedar. Mereka dijulang setinggi awan, diangkat separas kepala, dijunjung seangkatan mulia. Inilah sikap kita, terlalu khayal akan secebis kejayaan, sehingga lupa akan hakikat kenyataan. 

Seharusnya kejayaan yang kecil dan singkat ini, menjadi satu peringatan kepada kita, agar lebih sedar dan bangkit dari khayalan minda. Lupakan lah misi Mat Jenin itu, usah lah warisinya zaman berzaman. Kuburkanlah bersama zaman kegemilangan idelogi Mat Jenin.

Pasukan bola sepak kita terus diangkat menjadi anak emas. Diangkat darjatnya dengan dipertimbangkan dimasukkan dalam kempen Road To London. Kejayaan kecil itu terus dijadikan penanda aras kemajuan legasi bola sepak Malaysia. Aku katakan tidak(pendapat aku). Bukankah pujian yang melambung itu sebenarnya adalah pembunuh karier secara senyap . "tak mati dengan kutukan, tak hidup dengan pujian". 
Seharusnya kejayaan itu sekadar berpada-pada. Usahlah berlebih-lebihan. Kelak membunuh diri sendiri. Adakah dengan kejayaan kecil itu sudah menunjukkan bola sepak kita sebaris dengan legasi pasukan bola sepak negara lain?? Sudah tentu tidak. 

Aku bukan tak suka dengan kejayaan pasukan Malaysia, malah aku bangga dengan pencapaian anak watan kita. Namun apa yang aku bimbangkan akhirnya nanti, kita ni bangsa melayu, cepat sangat melatah dan mudah berkhayal dengan pujian ( Mewarisi ideologi Mat Jenin). Nanti pemain-pemain kita akan terbuai dengan keindahan pujian, lantas terumbang ambing dibadai arus kehidupan. Lagi mendidih aku apabila terbaca tentang pemain yang diarak bagai pahlawan melayu Melaka yang baru pulang berperang dari menentang kerajaan Majapahit. Diarak penuh kemahsyuran. Aku bukan jeles@cemburu, tak terdetik langsung nak iri hati dengan mereka, tetapi takut nanti lupa diri mula kuasai mentaliti. Falsafah bongkak mula diguna pakai, dan diaplikasi secara membuta tuli. Akhirnya tersungkur menyembah bumi, langsung nanti tidak dipeduli.


Inilah hakikat dunia. Bila dipuji dan dipuja, terus bongkak mendada ke langit, langsung tak peduli rumput dibawah kaki. Kejayaan yang kecil itu, Tuhan anugerahkan buat kita sebagai satu nikmat, dan juga sebagai satu ujian, untuk melihat kita mengatasi dan menguruskan kejayaan yang secebis itu dengan kesyukuran, tanpa menghiasinya secara bongkak. Moga apabila kita dianugerahkan kejayaan mahupun musibah, hadapilah dengan ketenangan, dan keyakinan, bahawa segala ketentuan itu ada kebaikkan disebaliknya.

~moga pasukan bola sepak kebangsaan terus mekar~

2 comments:

Affan said...

betul, pujian banyak sangat pun tak elok juga, takut lupa diri. apa2 pun harap pemain malaysia dapat kekalkan momentum

chekgu azam aziz said...

setuju, nak puji pun berpada-pada la. Moga terus ada kesinambungan kejayaan..amin..