21 December 2011

Fikir Sebelum Bertindak


Dalam kita ghairah mengikut rentak dunia politik negara, ada diantara kita yang tersepit dan menjadi mangsa keadaan bagi individu-individu tertentu. Sehingga wujud istilah diperkudakan dan diperlembukan. Hakikatnya, haiwan tidak bersalah. Dengan sikap yang terburu-buru demi melakukan sesuatu tindakan, maka kesan yang bakal diterima kadang-kala diluar jangkauan akal pemikiran kita dan si pelaku. Akhirnya mendatangkan kesan yang dia sendiri tidak mengharapkan itu bakal terjadi.

gambar hiasan semata-mata


Untuk melakukan sesuatu tindakan yang diluar jangkauan, perlu diambil kira lima aspek ini terlebih dahulu, demi memastika tindakan yang dilakukan menepati apa yang diinginkan dan kesan akhirnya tidak menjadi kesan luar biasa. Antara aspek yang perlu diteliti;

1. Aspek keperluan tindakan yang ingin dilakukan. Perlu untuk si pelaku tahu, apakah keperluan tindakan yang indin dilakukan. Adakah pada hari ini tindakan yang ingin dilakukan adalah tindakan yang terdesak, dan wajib untuk dilaksanakan, mahu tidak mahu perlu dilakukan dan jika tidak dilaksanakan bakal mengundang padah. Apakah perkara yang mendesak supaya tindakan ini dilakukan? Persoalan ini perlu dijawab untuk memastikan aspek keperluan tindakan dapat dipenuhi. Ada diantara kita yang sembrono, membuta tuli, dan membabi buta bertindak, tanpa mengetahui apa keperluan mereka melakukan tindakan sebegitu rupa. Seolah-olah orang bodoh yang diperbodohkan.

2. Siapa yang terlibat dalam tindakan itu. Hal ini amat penting, kerana perkara ini bakal menentukan hala tuju tindakan yang akan dilakukan. Jika tindakan yang dilakukan hanya melibatkan rakan sejawatan semata-mata, maka hasil dan skala kesannya kita dapat jangka. Bayangkan kalau entiti yang terlibat dalam tindakan itu, melibatkan entiti asing yang mempunyai pengaruh dan kuasa yang besar, maka skala kesan dan akibatnya bakal juga besar. Mungkin sahaja anda bakal "hilang akal" memikirkan kesan hasil tindakan yang anda lakukan. Maka, analisis terlebih dahulu entiti yang terlibat dalam tindakan yang bakal anda lakukan. 

3. Modus operandi ataupun metode yang anda gunakan. Hal ini penting untuk dilihat terlebih dahulu dalam merangka tindakan, kerana ada segelintir diantara kita yang pandai akalnya, namun bodoh tatkala melaksanakannya. Objektif dijadikan sebagai sasaran yang mandatori untuk dicapai, maka usaha dan jalan untuk mencapai kepada objektif dilakukan dengan apa jua cara, termasuklah baik dan buruk. Sebab itu wujud kata-kata ini, matlamat tidak menghalalkan cara. Analogi mudah, anda mahu menderma, namun anda tiada wang. Anda curi wang orang lain untuk menderma kepada fakir miskin. Ya, matlamat anda sangat murni dan baik, namun cacat dan cela apabila cara anda mendapatkan duit daripada jalan yang salah dan tidak diredhai Allah SWT. Maka, fikirkan, adakah jalan yang anda pilih, adalah baik, bukan buruk.

4. Niat anda melakukan tindakan. Semua akui, niat adalah aspek terpenting dalam Islam. Tiada niat, maka huru haralah iman kita. Niat itulah menentukan hala tuju tindakan kita, samada baik atau buruk tindakan yang bakal kita lakukan.

“Segala amalan adalah berdasarkan niat. Setiap orang hanya mendapat apa yang diniatkan. Justeru, sesiapa yang penghijrahannya adalah menuju kepada Allah dan RasulNya, maka penghijrahannya adalah penghijrahan kepada Allah dan RasulNya. Sesiapa yang penghijrahannya kerana dunia yang bakal diperolehi atau kerana wanita yang bakal dikahwini maka penghijrahannya adalah penghijrahan menuju kepada apa yang dingininya”.-Hadis Sahih Bukhari dan Muslim-


Niat ini, kalau buruk, maka buruklah apa yang kita lakukan, kalau niatnya baik, maka baiklah tindakan yang kita laksanakan. Ada tiga cara untuk membentuk niat yang baik sebelum kita lakukan sesuatu tindakan. Yang pertama, berniatlah dengan apa yang bakal kita lakukan itu adalah ibadah,  yang kedua berniatlah dengan apa yang kita lakukan kerana Allah SWT bukan selain daripaNya, dan yang ketiga berniatlah kerana kita ikut perintah Allah SWT. Insyaallah niat yang dipandu dengan iman, hasilnya bakal lumayan dan mendapat redha disisi Tuhan. 

5. Kesan tindakan yang bakal dilakukan. Perkara inilah yang menjadi titik akhir kepada tindakan yang bakal kita lakukan. Walaupun hasilnya adalah selepas tindakan, tidak terkecuali untuk aspek ini dianalisis terlebih dahulu. Adakalanya, kita dapat menjangka dan meramal apa yang bakal berlaku dengan tindakan yang kita lakukan. Perlu kita lihat, sama ada kesan yang  terhasil daripada tindakan kita itu, daripada kesan jangka masa pendek, dan kesan jangka masa panjang. Dua aspek yang dipecahkan ini, memberi jawapan kepada kita, sama ada tindakan yang kita lakukan ini betul atau tidak Jika kesan masa pendeknya hanya mendatangkan kesan negatif semata-mata, dan kesan masa panjangnya juga negatif, maka terbuktilah kebenaran tentang tindakan itu. Nilailah, kesan yang bakal diperoleh, sebelum anda lakukan sesuatu tindakan itu. 

gambar hiasan semata-mata



Bukan mudah untuk melakukan tindakan yang luar jangka ini, kerana kesannya juga bakal luar jangkaan.  Seboleh-bolehnya, fikir panjang terlebih dahulu, gunakan akal yang dikurniakan Tuhan untuk anda nilai sebarang tindakan yang bakal anda lakukan, tidak mahu nanti, sudah terhantuk baru nak terngadah. 

Sekadar berkongsi pandangan, kalau silap, harap dibetulkan..

No comments: