PADANG TERAP 12 Ogos – Seorang warga emas maut manakala isterinya parah selepas ditetak dengan sebilah parang oleh anak mereka yang naik berang dalam kejadian amuk di Kampung Pasir Putih, Kuala Nerang di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang, Seman Siron, 60, meninggal dunia di Hospital Kuala Nerang akibat cedera parah di kepala, kedua-dua belah tangan dan putus pergelangan kaki kanan akibat tetakan tanpa belas kasihan oleh anak ketiga daripada enam beradik itu.
Isteri mangsa, Hasnah Abdul Majid, 58, pula terpaksa menerima lima jahitan di belakang kepala yang cedera sepanjang 10 sentimeter, namun keadaannya dilaporkan stabil.
Kejadian dikatakan bermula apabila suspek naik angin setelah tindakannya memarahi anak buahnya kerana membuat bising ketika menunggu waktu berbuka puasa dan berang dengan kehadiran kucing yang berkeliaran setelah ditegur adik ipar suspek, Mohd. Nazrin Zainon, 32.
Pemuda berusia 33 tahun itu kemudian mengambil sebilah parang penebas sepanjang 40 sentimeter di luar rumah sebelum menyerang adik iparnya itu, bagaimanapun Mohd. Nazrin sempat menyelamat dan melarikan diri bersama tiga anaknya berusia enam hingga 11 tahun.
Seman yang cuba mententeramkan keadaan turut ditetak suspek yang kemudian menyerang ibunya, Hasnah yang cuba menghalang anaknya itu daripada terus menetak suaminya.
Suspek yang masih bujang melarikan diri dengan membawa bersama bahagian kaki bapanya yang terputus itu setelah seorang jiran mengarahkannya berhenti daripada terus mengamuk di samping bertindak memukul tangan suspek dengan sebatang kayu.
DI SINI…Mohd Nor menunjukkan tempat kaki mangsa dibuang suspek.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Ku Yaacob Ku Hamad berkata, kedua-dua mangsa yang cedera segera dikejarkan ke Hospital Kuala Nerang oleh ahli keluarga mereka tetapi Seman disahkan meninggal dunia kira-kira 30 minit selepas kejadian sementara Hasmah yang dilaporkan stabil dibenarkan pulang tengah hari ini.
Katanya, mayat Seman dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat sebelum jenazahnya dituntut oleh waris bagi urusan pengkebumian.
Menurut Ku Yaacob, pihaknya menemui bahagian kaki mangsa yang dilarikan suspek kira-kira lima meter dari bahagian luar dapur rumahnya.
Menurut beliau, polis dengan bantuan penduduk kampung sedang giat mengesan suspek yang dipercayai bersembunyi di dalam hutan di Puncak Janing dan menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Katanya, semakan polis mendapati suspek yang masih bujang dan bekerja kampung tidak mempunyai rekod gangguan mental di hospital, bagaimanapun difahamkan pemuda itu pernah mendapatkan rawatan secara tradisional akibat tekanan jiwa.
*dunia semakin tak selamat. Pembunuh senantiasa 'lahir' setiap hari di Malaysia. Seperti yang aku coretkan dalam tulisan disini, sememangnya semakin sukar kes bunuh ini ditangani, mahupun dicegah. Punca pembunuhan kali ini adalah masalah mental. Ya, masalah ini semakin berat dan bertambah buruk. mental masyarakat kita sudah tak stabil untuk menerima tekanan. Akibat faktor persekitaran yang kurang menyenangkan, membuaskan lagi tekanan dalam jiwa, sehingga dimuntahkan dengan tingkah laku luar batasan seperti membunuh. Seharusnya isu tekanan mental ini ditangani secara holistik oleh pihak berwajib, dengar pun di Malaysia kita cuma ada 200 ++ pakar psikitri, untuk mendengar keluh resah 28.3 juta rakyat Malaysia, bayangkan..
Jika anda mengalami tekanan, kembali lah pada Tuhan. Bacalah mukjirat teragung zaman berzaman sampai kiamat, yakni Al Quran. Moga ketenangan kembali menyirna keresahan dalam benak fikir, juga jiwa anda..
salam ramadhan..
No comments:
Post a Comment